Berita & Pusat Media

 
>  Siaran Akhbar > Pernyataan Dasar Monetari
Ref No : 11/09/11
 
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam18 00 pada hari Selasa 24 November 2009
 
Pernyataan Dasar Monetari
 

Pada mesyuaratnya hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.00 peratus.

Penunjuk terkini terus memperlihatkan keadaan ekonomi dan kewangan yang lebih menggalakkan. Aktiviti ekonomi di negara-negara maju telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang lebih meluas, disokong oleh kesan daripada langkah dasar, manakala beberapa ekonomi serantau telah mencatat pertumbuhan positif pada suku ketiga. Meskipun perkembangan positif ini dijangka berterusan hingga ke tahun 2010, pemulihan ini dijangka beransur-ansur dan tidak seimbang, dengan prospek yang terus tidak menentu apabila kesan daripada sokongan dasar berkurang.

Kadar pemulihan ekonomi dalam negeri semakin bertambah baik. Melangkah ke hadapan, permintaan dalam negeri akan terus menyokong pertumbuhan terutamanya melalui penggunaan swasta dan perbelanjaan sektor awam. Ini disokong oleh pelaksanaan langkah fiskal, dasar monetari yang akomodatif dan akses yang berterusan kepada pembiayaan.

Inflasi terus menurun pada kadar yang lebih perlahan pada bulan Oktober. Penurunan yang lebih perlahan ini sebahagian besarnya mencerminkan kejatuhan kumulatif harga runcit bahan api sejak bulan Jun 2008 dan tekanan yang lebih rendah terhadap harga makanan. Inflasi dijangka bertukar positif pada beberapa bulan akan datang, memandangkan keadaan ekonomi dalam negeri menjadi kukuh. Sekiranya tidak terdapat pelarasan harga yang tidak dijangka dan kesan pengaruh luar, inflasi dijangka terus sederhana pada tahun 2010.

Dengan keadaan ekonomi dalam negeri bertambah baik dan tekanan harga serta jangkaan inflasi akan terus dibendung pada masa hadapan, penilaian yang dibuat menunjukkan pendirian dasar monetari semasa adalah wajar dan akan terus menyokong aktiviti ekonomi negara.

Mesyuarat turut meluluskan jadual mesyuarat MPC bagi tahun 2010. Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPC akan bermesyuarat sebanyak enam kali setahun. Pernyataan Dasar Monetari akan disiarkan pada pukul 6.00 petang pada hari yang sama mesyuarat MPC diadakan.

Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Tahun 2010

Bilangan

Tarikh

Pertama

26 Januari 2010 (Selasa)

Ke-2

4 Mac 2010 (Khamis)

Ke-3

13 Mei 2010 (Khamis)

Ke-4

8 Julai 2010 (Khamis)

Ke-5

2 September 2010 (Khamis)

Ke-6

12 November 2010 (Jumaat)

 
Bank Negara Malaysia
24 November 2009
 
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 24 November 2009
 

Sentiasa Berhubung

FacebookFacebook
Berinteraksi dengan kami.
TwitterTwitter
Ikuti perkembangan terkini.
 
Paparan terbaik 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 21 January 2013