Selaras dengan usaha global untuk mencegah pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, berkuat kuasa 1 Januari 2010, pengembara yang memasuki atau meninggalkan Malaysia dengan membawa wang tunai dan/atau instrumen pembawa boleh niaga (contohnya cek kembara, cek pembawa) melebihi nilai bersamaan dengan USD10,000 dimestikan membuat pengisytiharan dalam borang Kastam No. 22 . Borang Kastam No. 22 disediakan di kaunter-kaunter sebelum tempat pemeriksaan Kastam di kesemua pintu masuk dan keluar Malaysia.
Pengisytiharan ini tertakluk di bawah seksyen 23 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) dan selaras dengan Cadangan Khas IX oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan yang menghendaki negara-negara mewujudkan langkah-langkah untuk mengesan pemindahan wang tunai dan instrumen pembawa boleh niaga merentas sempadan secara fizikal. Pengembara boleh didenda sehingga RM1 juta dan/atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun sekiranya gagal membuat pengisytiharan atau membuat pengisytiharan palsu.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Kastam Diraja Malaysia atau Bank Negara Malaysia di pusat perhubungan berikut:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia
Cawangan Perhubungan Awam
Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia
Tel: 1-800-88-8855/+6 03-8882 4803/+6 03-8882 2929 atau
E-mel: kastam: kastam@customs.gov.my/aduan@customs.gov.my
Laman Sesawang: http://www.customs.gov.my
Bank Negara Malaysia
BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Pelanggan)
Tel: 1-300-88-5465 atau
E-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my
Laman Sesawang: http://www.bnm.gov.my
Lihat Juga: Maklumat lanjut mengenai
Keperluan Pengisytiharan Mata Wang yang Baharu
Bank Negara Malaysia
23 Disember 2009
Nota Tambahan untuk Media:
- Menteri Kewangan telah meluluskan penggunaan seksyen 23 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) berkuat kuasa 1Januari 2010.
- Keperluan baharu ini selaras dengan usaha global untuk mencegah aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. Negara-negara seperti Kanada , United Kingdom, Australia, New Zealand, Jepun, Filipina dan Singapura telah menerima pakai keperluan pengisytiharan yang sama untuk pemindahan wang tunai dan instrumen pembawa boleh niaga secara fizikal .
- Kastam Diraja Malaysia merupakan pihak berkuasa kompeten yang bertanggungjawab menguatkuasakan keperluan baharu ini. Perbandingan keperluan pengisytiharan mata wang mengikut negeri adalah seperti yang berikut:
Negara |
Pihak Berkuasa yang Berkaitan |
Tarikh Kuat Kuasa |
Amaun |
Singapura |
Singapore Police Force |
1 November 2007 |
S$30,000 atau lebih |
Filipina |
Central Bank of Philippines |
11 Februari 2006 |
US$10,000 atau lebih |
Jepun |
Japan Customs |
1 Jun 2008 |
1 juta yen atau lebih |
New Zealand |
New Zealand Customs |
11 Februari 2006 |
NZ$10,000 atau lebih |
Australia |
Australian Transaction Reports and Analysis Centre (AUSTRAC) and Australian Customs (for currency declaration) |
13 Disember 2006 |
AUD$10,000 atau lebih |
United Kingdom |
HM Revenue and Customs |
15 Jun 2007 |
10,000 euro atau lebih |
Kanada |
Canada Border Services Agency |
6 Januari 2003 |
Can$10,000 |
Nota: Wang tunai termasuk mata wang kertas, duit syiling, draf bank, cek dan sebarang jenis cek kembara, kecuali untuk New Zealand, yang mendefinisikan wang tunai sebagai duit syiling atau wang kertas New Zealand atau negara asing.
23 Disember 2009

