Bank Negara Malaysia telah menjalankan siasatan terhadap Dencomm Sales & Services Sdn. Bhd. kerana disyaki menjalankan aktiviti pengambilan deposit secara haram dan aktiviti pengubahan wang haram yang masing-masing merupakan kesalahan di bawah subseksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) dan subsekyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA). Subseksyen 25 (1) BAFIA 1989 melarang mana-mana individu daripada menerima, mengambil, atau menyimpan deposit tanpa lesen yang sah, manakala subseksyen 4 (1) AMLATFA 2001 pula melarang mana-mana individu daripada terlibat dalam, atau cuba untuk melibatkan diri dalam, atau bersubahat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Serbuan terhadap Dencomm Sales & Services Sdn Bhd dilakukan hari ini di premis syarikat tersebut di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor berikutan aduan yang diterima daripada orang ramai. Sejumlah aset dan dokumen syarikat yang berkenaan telah dirampas untuk tujuan penyiasatan.
Sehubungan dengan ini, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dengan skim pengambilan deposit dan skim pelaburan yang ditawarkan melalui pelbagai saluran seperti Internet, panggilan telefon, atau seminar anjuran individu atau syarikat yang tidak diberikan lesen, diluluskan atau dibenarkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
Orang ramai juga boleh merujuk kepada senarai institusi berlesen yang dibenarkan untuk mengambil deposit di laman sesawang Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bank Negara Malaysia di pusat hubungan berikut:
BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Khidmat Pelanggan)
Tel : 1-300-88-5465
Faks : (03)2174 1515
E-mel : bnmtelelink@bnm.gov.my
SMS : 15888
BNMLINK (Pusat Perkhidmatan Pelanggan)
Tingkat Bawah, Blok D
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur
(Waktu urusan: Isnin-Jumaat, 9.00 pagi - 5.00 petang)
21 April 2010

