Berita & Pusat Media

 
>  Siaran Akhbar > Resolusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia
Ref No : 06/10/12
 
Embargo : Untuk Siaran Segera    
 
Resolusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia
 

Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia dalam mesyuaratnya yang ke-95 pada 28 Januari 2010 telah memutuskan bahawa ta'widh (ganti rugi) boleh dikenakan bagi kelewatan pembayaran obligasi kewangan hasil daripada akad-akad pertukaran (seperti jual beli dan sewa beli) dan qard (hutang). Walau bagaimanapun, ta'widh hanya boleh dikenakan selepas tamat tempoh pelunasan hutang yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang berkontrak. Jumlah ta'widh yang diterima boleh diambil kira sebagai pendapatan oleh penjual/pembiaya/pemiutang atas dasar ganti rugi bagi kerugian sebenar yang ditanggung oleh penjual/pemberi biaya/pemiutang. Kadar ta'widh akan ditentukan oleh pihak berkuasa iaitu Bank Negara Malaysia.

Di samping itu, MPS dalam mesyuaratnya yang ke-101 pada 20 Mei 2010 turut memutuskan perkara berikut:

1. Ibra' (Rebat) bagi Pembiayaan Berdasarkan Kontrak Jual Beli

Selaras dengan keperluan untuk menjaga maslahah (kepentingan umum) serta memastikan keadilan terhadap pembiaya dan pelanggan, institusi perbankan Islam dikehendaki memberikan ibra' kepada pelanggan yang melunaskan hutang lebih awal bagi pembiayaan berdasarkan kontrak jual beli (seperti bai' bithaman ajil atau murabahah ). Bagi mengelakkan ketidakpastian berhubung dengan hak pelanggan untuk menerima ibra' daripada institusi perbankan Islam, pemberian ibra' tersebut perlu dimasukkan sebagai salah satu klausa dalam dokumentasi undang-undang pembiayaan tersebut. Penentuan formula ibra' akan diselaraskan oleh Bank Negara Malaysia.

2. Mekanisme Caj Pembayaran Lewat untuk Institusi Perbankan Islam

Bagi mewujudkan mekanisme pencegahan kes-kes kemungkiran oleh pelanggan dalam melunaskan obligasi kewangan hasil daripada kontrak yang dibuat secara Islam, pengenaan caj pembayaran lewat oleh institusi perbankan Islam yang merangkumi kedua-dua konsep gharamah (denda atau penalti) dan ta'widh (ganti rugi) adalah dibenarkan. Gharamah tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan, dan perlu disalurkan kepada badan-badan kebajikan tertentu. Walau bagaimanapun, institusi perbankan Islam boleh mengiktiraf ta'widh sebagai pendapatan atas dasar ia dikenakan kepada pelanggan sebagai ganti rugi bagi kerugian sebenar yang ditanggung oleh institusi perbankan Islam.

Sebagai langkah untuk melindungi kepentingan pelanggan, pengenaan caj pembayaran lewat oleh institusi perbankan Islam harus mengambil kira aspek keupayaan kewangan pelanggan. Kadar maksimum gharamah dan ta'widh yang boleh dikenakan oleh institusi perbankan Islam akan ditentukan oleh Bank Negara Malaysia.

Tarikh kuat kuasa pelaksanaan resolusi berhubung dengan ibra' dan mekanisme caj pembayaran lewat akan ditentukan dalam garis panduan yang akan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.

Sekretariat
Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia
29 Jun 2010

 
Bank Negara Malaysia
29 Jun 2010
 
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 29 June 2010
 

Sentiasa Berhubung

FacebookFacebook
Berinteraksi dengan kami.
TwitterTwitter
Ikuti perkembangan terkini.
 
Paparan terbaik 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 21 January 2013