Berita & Pusat Media

>  Siaran Akhbar > Anugerah Diraja Kewangan Islam Malaysia
Ref No :
 
Embargo : Untuk Siaran Segera    
 
Anugerah Diraja Kewangan Islam Malaysia
 

Pencarian untuk mengiktiraf dan menghargai individu cemerlang yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada kewangan Islam global telah mendapat pengesahan Diraja.

Atas perakuan Kerajaan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah perkenan dengan cadangan bagi menggunakan perkataan 'Diraja'atau 'Royal' sebagai sebahagian nama untuk Anugerah yang telah diperkenalkan tersebut.

Pengesahan Diraja ini sudah pasti akan meningkatkan prestij Anugerah ini, yang diterajui oleh inisiatif Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).

Tan Sri Dato'Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi, Jawatankuasa Eksekutif MIFC dalam melahirkan rasa penghargaannya berkata, "Kami amat berbesar hati dengan pengurniaan pengiktirafan Diraja bagi Anugerah yang julung-julung kali diberikan ini. Pengurniaan ini akan memberi kami inspirasi untuk terus membangunkan kewangan Islam global."

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah berkenan untuk menganugerahkan pengiktirafan yang berprestij ini pada satu majlis khas yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2010.

Berbeza dengan anugerah komersial yang lazimnya diasaskan kepada urus niaga, anugerah ini menekankan rekod kecemerlangan dan sumbangan unggul seseorang individu dalam kemajuan kewangan Islam global.

Satu jemaah juri antarabangsa bebas yang dipengerusikan oleh Tun Musa Hitam, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi Yayasan Forum Kewangan Islam Sedunia akan memilih individu yang layak.

Inisiatif MIFC pada hari ini mempamerkan logo Anugerah yang berbentuk lima berlian. Berlian-berlian ini melambangkan rukun Islam yang lima di samping prinsip kewangan Islam iaitu: tadbir urus yang baik, ketelusan, kesaksamaan, kepercayaan dan perkongsian risiko.

Pencalonan untuk Anugerah ini ditutup pada 15 Julai 2010 dan penerima Anugerah akan diumumkan pada 25 Oktober 2010. Untuk maklumat lanjut tentang Anugerah ini, sila layari www.mifc.com/award .

 Untuk Pertanyaan Media

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Jabatan Hal Ehwal Korporat
Abdul Jalil Hamid / Tel: +603 6204 8931
Suresh Krishnan / Tel: +603 6204 8758
Faks: +603 6201 5078
E-mel: cau@seccom.com.my

 

Mengenai MIFC

Pada Ogos 2006, inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) telah dilancarkan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.

Inisiatif MIFC ini terdiri daripada rangkaian komuniti pengawal selia kewangan dan pasaran, termasuk Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan dan Bursa Malaysia, kementerian dan agensi Kerajaan bersama-sama dengan penyertaan industri daripada perbankan, takaful, institusi pasaran modal, institusi pembangunan modal insan dan syarikat perkhidmatan profesional yang menyertai dan bekerjasama dalam kewangan Islam.

Inisiatif MIFC disokong oleh amalan terbaik antarabangsa dalam perundangan, pengawalseliaan dan Syariah yang membolehkan pengamal industri mengendalikan perniagaan antarabangsa dalam kewangan Islam di Malaysia dalam bidang yang berkaitan dengan Originasi Sukuk, Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam, Perbankan Islam Antarabangsa, Takaful Antarabangsa dan Pembangunan Modal Insan, di samping menikmati insentif-insentif yang menarik.

Jawatankuasa Eksekutif MIFC terdiri daripada pegawai-pegawai kanan daripada kementerian dan agensi Kerajaan yang utama, pengawal selia kewangan dan pasaran dan institusi kewangan. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk menilai/menyediakan hala tuju dasar bagi memastikan pelaksanaan inisiatif MIFC yang selaras dan berkesan.

Layari www.mifc.com untuk maklumat lanjut.

 

Mengenai Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia ditubuhkan pada tahun 1959 di bawah Akta Bank Negara Malaysia 1958 (Semakan 2009). Pada dasarnya, bank pusat ini diamanahkan untuk memelihara kestabilan monetari dan kewangan dan memastikan pengawasan terhadap sistem pembayaran di dalam negara.

Sejak penubuhannya, Bank Negara Malaysia telah memberikan sumbangan yang besar ke arah pembangunan sektor kewangan yang komprehensif, cekap dan berdaya tahan yang berupaya memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan yang semakin canggih. Sektor kewangan Malaysia kini merangkumi kedua-dua sistem kewangan konvensional dan Islam.

Memandangkan Malaysia mempunyai kelebihan berbanding dalam kewangan Islam, Bank Negara Malaysia telah menerajui inisiatif untuk mempromosikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa. Melalui inisiatif ini, Bank Negara Malaysia meluluskan lesen bagi penubuhan Bank-bank Islam Antarabangsa, dan Pengendali Takaful Antarabangsa di samping memberikan tumpuan pada pembangunan institusi, termasuk penubuhan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA) dalam usaha menggalakkan latihan, pendidikan dan penyelidikan bagi meningkatkan pembangunan tenaga mahir dalam industri perkhidmatan kewangan Islam. Sementara itu, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia memastikan pelaksanaan prinsip Syariah dalam perkhidmatan kewangan Islam oleh penyedia perkhidmatan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia. Majlis ini juga berperanan sebagai penasihat kepada Bank Negara Malaysia dalam perkara Syariah.

Layari www.bnm.gov.my untuk maklumat lanjut.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab kepada Menteri Kewangan, Malaysia.

SC bertanggungjawab secara langsung dalam menyelia dan memantau aktiviti-aktiviti institusi pasaran termasuk bursa dan rumah penjelasan, serta semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). Matlamat utama fungsi-fungsi ini adalah untuk melindungi para pelabur. SC juga bertanggungjawab untuk menggalakkan dan membangunkan pasaran sekuriti dan niaga hadapan di Malaysia.

SC menerajui pembangunan pasaran Modal Islam Malaysia dengan menubuhkan Majlis Penasihat Syariah (SAC) untuk memberikan nasihat berhubung dengan perkara yang berkaitan dengan aktiviti dan produk pasaran modal Islam. Sejak penubuhannya, SC telah mewujudkan rangka kerja bagi pengurusan dana dan kekayaan Islam yang komprehensif dan fasilitatif. Di samping itu, SC telah menjadi pemacu inovasi produk dalam sektor ekuiti Islam dan sukuk; selain mempromosikan pendidikan, latihan, perundingan dan penyelidikan untuk pasaran Modal Islam Malaysia.

Layari www.sc.com.my untuk maklumat lanjut.

 

Profil Juri



Tun Musa Hitam
  • Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia
  • Pengerusi, Yayasan Forum Kewangan Islam Sedunia (WIEF)
  • Pengerusi, Sime Darby Berhad
  • Ahli International Advisory Council of Brookings Doha Center


Tun Abdul Hamid Mohamad

  • Mantan Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia
  • Ahli Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
  • Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC)
  • Telah menghasilkan pelbagai kertas kerja berkaitan undang-undang Syariah


Professor Dr. Volker Nienhaus

  • Mantan Presiden, University of Marburg, Jerman
  • Ahli Senat INCEIF
  • Pakar Runding IFSB
  • Telah menghasilkan pelbagai buku dan artikel mengenai ekonomi, perbankan dan kewangan Islam


Professor Dr. Abbas Mirakhor

  • Mantan Pengarah Eksekutif IMF
  • Penerima hadiah IDB 2003 dalam ekonomi Islam
  • Telah menghasilkan tulisan dalam pelbagai bidang, termasuk kewangan Islam, teori mikroekonomi dan ekonomi matematik
  • Penyandang Pertama Kursi Kewangan Islam INCEIF (2010)


Dr. Mohamed Ali Elgari

  • Profesor Ekonomi Islam di King Abdul Aziz University, Arab Saudi
  • Mantan Pengarah, Center for Research in Islamic Economics, King Abdul Aziz University
  • Pakar Bidang Syariah Islam - Academies of the Organization of Islamic Countries dan Islamic World League


A. Riawan Amin

  • Pengerusi, Persatuan Bank-bank Islam Indonesia
  • Pengarah, General Council for Islamic Banks and Financial Institutions Indonesia
  • Mantan Presiden, Bank Muamalat Indonesia


Dr. Yahia Abdul-Rahman

  • Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, LARIBA Bank of Whittier, USA
  • Mantan Pengerusi, Islamic Shura Council of Southern California
  • Telah menyampaikan ucapan dan syarahan serta membentangkan kertas kerja di pelbagai forum kewangan Islam di seluruh dunia

 

 

 
Bank Negara Malaysia
21 Julai 2010
 
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 21 July 2010
 

Sentiasa Berhubung

FacebookFacebook
Berinteraksi dengan kami.
TwitterTwitter
Ikuti perkembangan terkini.
 
 





Paparan terbaik 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 23 August 2014