Pada 30 Julai 2010, sebuah Mahkamah Daerah di Singapura telah menjatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun dan tujuh tahun masing-masing ke atas dua individu yang berkaitan dengan Sunshine Empire Sdn. Bhd., iaitu Phang Wah dan Jackie Hoo Choon Cheat kerana menjalankan skim pelaburan secara penipuan. Mereka disabitkan kesalahan menjalankan perniagaan secara penipuan di bawah seksyen 340 Akta Syarikat Singapura dan pecah amanah jenayah di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan Singapura .
Sebelum ini, Sunshine Empire Sdn Bhd telah dikenakan denda sebanyak RM2 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Jun 2010, setelah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan di bawah seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 kerana menerima deposit daripada orang ramai tanpa lesen yang sah.
Dalam perkembangan lain, Hasri Mohd Noor, pengarah Business Time Dina Sdn. Bhd., iaitu syarikat yang berkaitan dengan Pan Phoenix Dina Sdn. Bhd., telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun oleh Mahkamah Tinggi Brunei pada 7 Ogos 2010 di bawah Perkara 93(1) Order Perbankan 2006 kerana menerima deposit secara haram. Hasri Mohd Noor sedang menghadapi tuduhan di Malaysia atas kesalahan di bawah seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Orang ramai diingatkan supaya tidak menyimpan wang atau deposit dengan institusi yang tidak berlesen atau terlibat dengan sebarang bentuk skim cepat kaya untuk mengelakkan daripada kehilangan wang mereka. Senarai institusi yang dilesenkan untuk menerima deposit di bawah undang-undang yang ditadbir oleh Bank Negara Malaysia boleh didapati di laman sesawang Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat berhubung dengan skim kewangan haram dan tindakan penguatkuasaan yang telah diambil oleh Bank Negara Malaysia di Laman Sesawang Amaran Penipuan Kewangan (http://fraudalert.bnm.gov.my).
Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini, orang ramai boleh menghubungi Bank Negara Malaysia di pusat hubungan berikut:
Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (BNMLINK)
(Pusat Perkhidmatan Pelanggan)
Tingkat Bawah, Blok D,
Jalan Dato' Onn,
50480 Kuala Lumpur
Telefon:
BNMTELELINK: 1-300-88-5465
(Pusat Perhubungan Khidmat Pelanggan)
atau
E-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my
11 Ogos 2010

