Berita & Pusat Media

 
>  Siaran Akhbar > Resolusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia
Ref No : 08/10/07
 
Embargo : Untuk Siaran Segera    
 
Resolusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia
 

Bank Negara Malaysia ingin memaklumkan bahawa Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia dalam mesyuaratnya yang ke-102 pada 22 Jun 2010, telah memutuskan perkara-perkara berikut:-

1. Aplikasi Wa'ad (Janji) dalam Urus niaga Hadapan Mata Wang
Institusi kewangan Islam dibenarkan untuk menggunakan urus niaga hadapan mata wang asing bagi tujuan lindung nilai berasaskan wa'd (janji) satu pihak yang membawa kesan mengikat kepada pihak yang memberi janji. Walau bagaimanapun, tiada sebarang bentuk balasan (fi) dibenarkan untuk dikenakan ke atas pihak yang menerima janji dengan mengambil pandangan bahawa pembayaran tunai awal untuk urus niaga hadapan mata wang akan membawa kepada janji dua pihak yang tidak dibenarkan syarak. Ini adalah selari dengan pendapat majoriti ulama' yang berpandangan bahawa wa'd satu pihak tanpa sebarang bentuk balasan adalah dibenarkan dalam urusniaga hadapan mata wang.

2. Bayaran Manfaat Takaful daripada Dana Risiko Peserta
MPS telah membuat keputusan bahawa bayaran manfaat takaful daripada Dana Risiko Peserta (iaitu dana yang mengumpul tabarru' (sumbangan) untuk membayar tuntutan peserta) boleh dibuat tertakluk kepada peristiwa khusus yang bukan sahaja terhasil daripada kerugian kewangan yang ditetapkan atau musibah. Ini dibenarkan dengan syarat ia dipersetujui oleh pihak-pihak yang berkontrak, iaitu peserta-peserta takaful.

Keputusan ini dibuat selari dengan ciri-ciri kontrak takaful yang dimeterai berasaskan konsep tabarru' dan ta'awuni dalam kalangan peserta-peserta takaful. Kedua-dua konsep ini membolehkan para peserta untuk bersetuju terhadap peristiwa-peristiwa yang membolehkan manfaat takaful dibayar. Terma dan syarat yang menggariskan peristiwa-peristiwa tersebut hendaklah dinyatakan dengan jelas kepada semua pihak berkontrak dalam takaful. Oleh yang demikian, dengan persetujuan semua peserta, skop pembayaran manfaat takaful daripada Dana Risiko Peserta tidak terbatas kepada kematian, kecacatan atau musibah semata-mata tetapi boleh diperluas lagi untuk memenuhi mandat-mandat yang telah dipersetujui dalam kontrak. Ciri-ciri produk takaful juga hendaklah selari dengan prinsip-prinsip Syariah dan mematuhi keperluan yang telah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia.

 

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia
25 Ogos 2010

 
Bank Negara Malaysia
25 Ogos 2010
 
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 22 November 2010
 

Sentiasa Berhubung

FacebookFacebook
Berinteraksi dengan kami.
TwitterTwitter
Ikuti perkembangan terkini.
 
Paparan terbaik 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 21 January 2013