Berita & Pusat Media

 
>  Siaran Akhbar > Pernyataan Dasar Monetari
Ref No : 09/10/02
 
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam18 00 pada hari Khamis 02 September 2010
 
Pernyataan Dasar Monetari
 

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia mengambil keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Momentum pertumbuhan global telah menjadi sederhana dalam bulan-bulan kebelakangan ini. Dalam ekonomi maju, pertumbuhan telah menjadi lebih perlahan daripada jangkaan berikutan pasaran pekerja yang terus lemah dan berkurangnya kesan pelaksanaan rangsangan sementara daripada peningkatan inventori dan rangsangan dasar terhadap pertumbuhan ekonomi. Bagi ekonomi serantau pula, selepas mencatatkan pengembangan ekonomi yang kukuh pada separuh tahun pertama, kadar pertumbuhan eksport yang lebih perlahan akan memberikan sedikit kesan terhadap prestasi ekonomi. Walau bagaimanapun, aktiviti ekonomi dalam negeri masih kukuh. Melangkah ke hadapan, penilaian berdasarkan perkembangan ini menunjukkan bahawa pemulihan global akan berterusan, namun pada kadar yang lebih sederhana.

Ekonomi Malaysia berkembang dengan kukuh pada separuh pertama tahun ini, disokong oleh permintaan dalam negeri yang semakin meningkat, khususnya dalam sektor swasta. Seperti juga di negara-negara serantau yang lain, pertumbuhan eksport Malaysia bagaimanapun adalah lebih perlahan dalam bulan-bulan kebelakangan ini. Keadaan ini dijangka berterusan akibat pertumbuhan global yang lebih perlahan. Meskipun perkembangan luaran ini mungkin menyebabkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia menjadi lebih sederhana, melangkah ke hadapan, pertumbuhan keseluruhan akan terus disokong oleh aktiviti dalam negeri yang kukuh. Penunjuk utama menyarankan bahawa penggunaan dan pelaburan swasta akan terus berkembang. Ini juga disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, sentimen pengguna dan perniagaan yang positif, inflasi yang rendah dan keadaan kredit yang kondusif.

Inflasi dalam negeri meningkat sedikit pada bulan Jun dan Julai terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga makanan dan tenaga. Meskipun harga runcit bahan api diselaraskan pada bulan Julai, inflasi dijangka meningkat dengan sederhana pada bulan-bulan yang akan datang. Inflasi diunjurkan kekal sederhana hingga awal tahun 2011.

MPC berpendapat bahawa dasar monetari semasa adalah wajar dan konsisten dengan penilaian terkini prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi. Pada paras semasa OPR, pendirian dasar monetari akan terus akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

 
Bank Negara Malaysia
02 September 2010
 
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 02 September 2010
 

Sentiasa Berhubung

FacebookFacebook
Berinteraksi dengan kami.
TwitterTwitter
Ikuti perkembangan terkini.
 
Paparan terbaik 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 21 January 2013