Berita & Pusat Media

 
>  Siaran Akhbar > Penyataan Dasar Monetari
Ref No : 11/10/06
 
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam18 00 pada hari Jumaat 12 November 2010
 
Penyataan Dasar Monetari
 

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Pertumbuhan ekonomi global telah menjadi sederhana pada suku ketiga, dengan prestasi pertumbuhan yang terus berbeza antara ekonomi maju dengan ekonomi sedang pesat membangun. Di rantau ini, ekonomi terus pulih walaupun kadar pertumbuhan telah menjadi sederhana disebabkan oleh permintaan luar yang semakin lemah. Keadaan pasaran kewangan antarabangsa telah menjadi lebih tidak menentu dengan peningkatan aliran modal ke pasaran sedang pesat membangun. Peralihan dalam mudah tunai global ini telah menyebabkan wujudnya risiko terhadap kestabilan makroekonomi dan kewangan dalam ekonomi pasaran yang sedang pesat membangun.

Dalam ekonomi Malaysia, penunjuk terkini bagi sektor eksport dan sektor berkaitan luar negeri mengesahkan jangkaan awal bahawa pertumbuhan akan menjadi sederhana pada suku ketiga. Walau bagaimanapun, permintaan dalam negeri telah memberikan sokongan kukuh kepada pertumbuhan. Melangkah ke hadapan, pertumbuhan keseluruhan akan terus disokong oleh aktiviti ekonomi dalam negeri. Penggunaan swasta akan mendapat manfaat daripada keadaan guna tenaga yang menggalakkan, harga komoditi yang kukuh dan keadaan pembiayaan yang akomodatif. Sementara itu, peningkatan pelaburan swasta dijangka didorong oleh perbelanjaan modal yang lebih tinggi dalam sektor berorientasikan dalam negeri.

Inflasi dalam negeri menjadi sederhana kepada 1.8% pada bulan September. Harga dijangka meningkat pada kadar yang sederhana pada bulan-bulan yang akan datang berikutan harga komoditi dan harga makanan global yang semakin meningkat. Walau bagaimanapun, inflasi dijangka kekal sederhana hingga awal tahun 2011.

MPC berpendapat bahawa paras semasa OPR adalah wajar dan konsisten dengan penilaian terkini prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi. Pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Meskipun keadaan kewangan dalam negeri terus stabil, lebih perhatian akan diberikan terhadap kemungkinan wujudnya risiko disebabkan oleh aliran modal yang besar dan tidak menentu.

Mesyuarat turut meluluskan jadual mesyuarat MPC bagi tahun 2011. Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPC akan bermesyuarat sebanyak enam kali setahun. Pernyataan Dasar Monetari akan disiarkan pada pukul 6.00 petang pada hari yang sama mesyuarat MPC diadakan.

Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Tahun 2011

Mesyuarat MPC

Tarikh

Pertama

27 Januari 2011 (Khamis)

Ke-2

11 Mac 2011 (Jumaat)

Ke-3

5 Mei 2011 (Khamis)

Ke-4

7 Julai 2011 (Khamis)

Ke-5

8 September 2011 (Khamis)

Ke-6

11 November 2011 (Jumaat)

 
Bank Negara Malaysia
12 November 2010
 
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 12 November 2010
 

Sentiasa Berhubung

FacebookFacebook
Berinteraksi dengan kami.
TwitterTwitter
Ikuti perkembangan terkini.
 
Paparan terbaik 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 21 January 2013