Berita & Pusat Media

 
>  Siaran Akhbar > Pernyataan Dasar Monetari
Ref No : 05/12/03
 
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam0 00 pada hari Jumaat 11 Mei 2012
 
Pernyataan Dasar Monetari
 
Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Meskipun proses pemulihan ekonomi global berterusan, perkembangan yang berlaku baru-baru ini meningkatkan risiko kepada pertumbuhan global. Tekanan yang dihadapi oleh pasaran kewangan antarabangsa muncul semula berikutan ketidakpastian yang semakin meningkat mengenai pelaksanaan dasar dan kebimbangan terhadap krisis hutang kerajaan di kawasan euro yang timbul kembali. Kegiatan ekonomi di Eropah juga terus dipengaruhi oleh konsolidasi fiskal yang sedang dilaksanakan, pengantaraan kewangan yang terjejas dan keadaan pasaran pekerja yang lemah. Di Amerika Utara, data ekonomi terkini adalah bercampur-campur, lantas menunjukkan ketidakpastian terhadap kadar pemulihan ekonomi. Di Asia pula, walaupun aktiviti ekonomi terus disokong oleh permintaan dalam negeri, momentum pertumbuhan telah menerima kesan daripada aktiviti perdagangan antarabangsa yang lebih perlahan.

Sungguhpun ekonomi Malaysia menerima kesan daripada perkembangan global, permintaan dalam negeri terus menyokong pertumbuhan, didorong oleh aktiviti penggunaan dan pelaburan yang mampan. Melangkah ke hadapan, trend ini dijangka berterusan. Penggunaan swasta disokong oleh keadaan guna tenaga yang stabil, pertumbuhan pendapatan dan langkah-langkah sektor awam. Aktiviti pelaburan dipacu terutamanya oleh industri berorientasikan dalam negeri, sektor komoditi dan sektor awam.

Inflasi dijangka menjadi sederhana pada tahun 2012 selaras dengan terdapatnya peningkatan bekalan dalam negeri dan keadaan permintaan yang stabil. Risiko yang inflasi akan menjadi lebih tinggi mungkin timbul terutamanya daripada gangguan bekalan global dan mengakibatkan kenaikan harga global untuk tenaga dan komoditi.

Pada penilaian MPC, masih terdapat ketidaktentuan yang berterusan akibat daripada keadaan ekonomi dan kewangan global. Oleh itu, MPC akan terus membuat penilaian terhadap keadaan yang sentiasa berubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
 
Bank Negara Malaysia
11 Mei 2012
 
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 24 May 2012
 

Sentiasa Berhubung

FacebookFacebook
Berinteraksi dengan kami.
TwitterTwitter
Ikuti perkembangan terkini.
 
Paparan terbaik 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 21 January 2013