Pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
Momentum pertumbuhan global telah menjadi sederhana. Aktiviti ekonomi dalam kebanyakan ekonomi maju yang utama adalah lebih perlahan dalam keadaan ketidakpastian yang semakin meningkat mengenai pelaksanaan dasar sementara keadaan pasaran kewangan antarabangsa terus tidak menentu. Perkembangan tersebut telah memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi di negara-negara lain dunia. Dalam ekonomi sedang pesat membangun termasuk Asia, permintaan dalam negeri mula menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan dalam keadaan aktiviti luaran yang terus lembap.
Meskipun ekonomi Malaysia telah menerima kesan daripada perkembangan global tersebut, permintaan dalam negeri terus menyokong pertumbuhan ekonomi. Trend ini dijangka berterusan pada masa akan datang. Perbelanjaan swasta disokong oleh pertumbuhan pendapatan dan keadaan guna tenaga yang stabil. Aktiviti pelaburan didorong terutamanya oleh perbelanjaan modal dalam industri berorientasikan dalam negeri, sektor minyak dan gas serta projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan.
Inflasi dijangka kekal sederhana sehingga akhir tahun ini dan dan awal tahun 2013. Dengan terdapatnya kapasiti berlebihan dalam ekonomi negara, permintaan dalam negeri dijangka tidak akan mewujudkan keadaan inflasi. Harga tenaga dan komoditi dunia dijangka terkawal berikutan keadaan global yang lemah. Namun, risiko yang inflasi akan menjadi lebih tinggi mungkin timbul sekiranya gangguan terhadap bekalan global mengakibatkan harga dunia yang lebih tinggi bagi komoditi.
Berdasarkan penilaian MPC, ketidaktentuan dalam persekitaran ekonomi dan kewangan global masih lagi ketara. Dalam persekitaran ini, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari semasa adalah akomodatif dan menyokong ekonomi negara. MPC akan terus membuat penilaian yang teliti terhadap keadaan yang sentiasa berubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
06 September 2012

