Berita & Pusat Media

 
>  Siaran Akhbar > Meningkatkan Kecekapan Proses Perbankan Melalui Dokumentasi Standard untuk Perjanjian Pinjaman Perumahan
Ref No : 12/12/08
 
Embargo : Untuk Siaran Segera    
 
Meningkatkan Kecekapan Proses Perbankan Melalui Dokumentasi Standard untuk Perjanjian Pinjaman Perumahan
 

Berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013, semua institusi perbankan dikehendaki menerima pakai dokumentasi yang standard bagi perjanjian pinjaman perumahan konvensional dan  pembiayaan rumah bagi jumlah pokok sebanyak RM500, 000 dan ke bawah.

Objektif utama inisiatif ini adalah untuk meningkatkan pemahaman peminjam dan kebolehbandingan terma dan syarat utama perjanjian pinjaman, termasuk tanggungjawab dan obligasi peminjam dan pembiaya di bawah perjanjian tersebut. Inisiatif ini merupakan usaha bersama antara Bank Negara Malaysia, PEMUDAH dan industri kewangan yang bertujuan untuk menggalakkan keberkesanan dalam proses perniagaan untuk mempertingkat kualiti penyampaian perkhidmatan dalam sektor perkhidmatan kewangan.

Institusi perbankan dikehendaki menggariskan terma dan syarat utama secara konsisten dengan menggunakan templat yang disediakan oleh Persatuan Bank-bank dalam Malaysia (ABM) setelah berunding dengan Bank Negara Malaysia. Templat itu juga menerangkan terma dan syarat utama dengan menggunakan bahasa yang mudah. Ini akan membantu pengguna untuk membuat perbandingan antara bank dan mengurangkan risiko peminjam akibat tidak memahami sepenuhnya terma kontrak perjanjian mereka disebabkan oleh perbezaan antara bank dalam huraian dan peletakan terma dan syarat utama, serta penggunaan bahasa yang tidak jelas atau kompleks.

Institusi perbankan dikehendaki menggunakan templat ini untuk semua perjanjian pinjaman perumahan konvensional dan  pembiayaan rumah yang ditawarkan kepada individu bagi pembiayaan harta kediaman yang mempunyai jumlah pokok sebanyak  RM500,000 dan ke bawah. Jumlah pokok ini hanya merujuk kepada amaun pinjaman untuk harga pembelian harta kediaman sahaja. Walau bagaimanapun, pinjaman atau pembiayaan itu boleh digunakan untuk menampung kos pengubahsuaian, Asurans Gadai Janji Berkurangan Tempoh (MRTA) atau premium insurans lain yang serupa yang dibenarkan oleh institusi perbankan dan bayaran guaman yang ditanggung berikutan pembelian harta kediaman tersebut.

Orang ramai boleh mengakses templat ini dan soalan lazim di laman sesawang ABM di www.abm.org.my

 
Bank Negara Malaysia
28 Disember 2012
 
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 28 December 2012
 

Sentiasa Berhubung

FacebookFacebook
Berinteraksi dengan kami.
TwitterTwitter
Ikuti perkembangan terkini.
 
Paparan terbaik 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 21 January 2013