Print       Share


Ucapan Alu-Aluan Gabenor di Karnival Kewangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)

Speaker: Governor Muhammad bin Ibrahim, FCB Venue: PWTC, Kuala Lumpur Language: Bahasa Melayu Speech Date: 13 Jan 2017

Alhamdulillah kita dapat bersama-sama berkumpul pada pagi ini untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Kewangan. Karnival ini diadakan buat julung kalinya dan merupakan inisiatif dan kerjasama pelbagai kementerian, agensi dan institusi kewangan. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran awam mengenai tiga perkara penting; perkhidmatan kewangan, ilmu mengurus kewangan dan perlindungan pengguna.

Saya ingin merakamkan setulus penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Johari bin Abdul Ghani, Menteri Kewangan II, yang dapat meluangkan masa untuk bersama-sama kita pada hari ini dan seterusnya merasmikan Karnival Kewangan ini.

Kewangan mempunyai kuasa transformasi bagi mengubah kehidupan rakyat

Ilmu kewangan merupakan satu keperluan penting.  Ia juga mempunyai keupayaan transformasi bagi mengubah kehidupan masyarakat. Kita memerlukan ilmu dan khidmat kewangan untuk menyempurnakan dan meningkatkan kualiti kehidupan. Keupayaan dan pengetahuan untuk menyimpan, melabur dan meminjam adalah skil kehidupan yang perlu pada zaman ini sama ada secara individu atau perniagaan.  Ilmu kewangan penting terutamanya dalam bidang perniagaan untuk tujuan pembiayaan atau menjana pendapatan termasuk perniagaan yang beroperasi pada skala yang kecil.

Pelbagai usaha telah dijalankan untuk meningkatkan lagi rangkuman kewangan di Malaysia. Setakat ini hasilnya adalah memberangsangkan. Peratusan pencapaian  adalah tinggi dan terus meningkat. Kini hampir sebahagian besar (lebih 90%) daripada rakyat Malaysia mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang formal, 92% orang dewasa mempunyai akaun simpanan, dan 98% para pengguna mempunyai akaun pinjaman berbayar. Tinjauan yang telah dijalankan juga menunjukkan tahap kepuasan pengguna terhadap perkhidmatan kewangan meningkat daripada 61% pada tahun 2011 kepada 73% pada tahun 2015. Kita akan terus berusaha agar tahap kepuasan ini terus meningkat.

Industri perbankan merupakan sumber utama dana kepada sektor isi rumah dan perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan nilai pinjaman berjumlah RM1.5 trilion pada akhir November 2016. Memandangkan peranan industri perbankan adalah penting, Bank Negara Malaysia akan terus membangunkan sistem kewangan negara secara progresif dan inklusif. Kita akan memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada ekosistem pembiayaan yang terdapat di negara ini.

Pengetahuan peniaga dan pengguna tentang khidmat kewangan perlu sentiasa dipertingkatkan

Usaha telah diambil hasil telah dijana, namun kita tidak semestinya berpuas hati dengan pencapaian rangkuman kewangan setakat ini. Malah usaha kita perlu dipergiatkan lagi. Masih terdapat jurang dalam hal akses kewangan dalam kalangan masyarakat di Malaysia, yang perlu ditangani oleh semua pihak. Bank Negara Malaysia akur dengan pelbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Antara isu semasa yang dibangkitkan oleh para peniaga ialah kesukaran PKS dan syarikat yang baru memulakan perniagaan untuk mendapatkan pembiayaan.  Antara faktor yang diutarakan ialah ketiadaan cagaran, ataupun rekod prestasi yang tidak mencukupi, terutamanya bagi perniagaan yang terlibat dalam bidang pertumbuhan baharu.

Para pengguna juga menghadapi beberapa masalah. Isu yang sering dihadapi oleh pengguna kewangan adalah seperti;

  • Maklumat yang salah mengenai produk kewangan yang dimaklumkan kepada pengguna dan ada kalanya menjual produk secara paksa;
  • Tidak menghalusi kandungan kontrak dan kurang kefahaman tentang terma dan syarat berikutan khidmat nasihat yang kurang telus yang mengakibatkan pertikaian tentang kadar faedah atau jumlah baki pinjaman atau penyelesaian tuntutan insurans;
  • Kurang keupayaan dan disiplin kewangan yang lemah dalam mengurus pinjaman yang mengakibatkan tahap keberhutangan isi rumah tinggi.

Langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi masalah kesukaran kewangan

Selain pembiayaan oleh sektor perbankan, dalam menangani isu-isu ini, Bank Negara Malaysia serta agensi-agensi lain seperti Suruhanjaya Sekuriti, Suruhanjaya Koperasi, Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN akan terus memberikan tumpuan untuk meningkatkan peranan pembiayaan bukan bank. Ini termasuk pemfaktoran, pajakan serta pembiayaan berasaskan pasaran seperti pembiayaan crowd-funding dan peminjaman P2P (peer-to-peer) sebagai cara pembiayaan alternatif untuk perniagaan kecil yang tidak mempunyai rekod kewangan yang cukup.

Dari aspek perlindungan pengguna, pihak Bank terus memperkasakan mekanisme pembelaan yang boleh diyakini dan mesra pengguna melalui Skim Ombudsman Kewangan, di samping memperkukuh lagi dasar berkenaan amalan pasaran institusi kewangan bagi memastikan pengguna mendapat layanan yang adil.

Pihak Bank juga akan terus meningkatkan inisiatif celik kewangan untuk memastikan khidmat nasihat kewangan yang diberikan oleh institusi kewangan, Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) Bank Negara Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dapat meninggikan lagi kemahiran kewangan pengguna. Pelbagai inisiatif juga sedang diambil dalam meningkatkan pembelajaran ilmu kewangan pada peringkat sekolah, universiti serta program-program pendidikan kewangan yang lebih fokus serta berimpak tinggi oleh AKPK bagi masyarakat remaja dan dewasa.

Tindakan yang perlu diambil oleh peniaga dan pengguna

Walau bagaimanapun, matlamat celik kewangan tidak akan dapat dicapai sepenuhnya jika usaha-usaha hanya bergantung pada pihak berkuasa sahaja. Pengguna juga mempunyai peranan yang sama penting dalam mencorakkan pencapaian dan penyampaian perkhidmatan kewangan. Sesungguhnya, tindakan dan sikap penggunalah yang akan menjadi penentu bagaimana ilmu serta pembiayaan kewangan dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa beberapa tindakan penting perlu diambil oleh peniaga dan pengguna kewangan.

Peniaga perlu memastikan dokumen dan rekod perniagaan mereka adalah betul dan lengkap bagi memudahkan penilaian kredit. Kemahiran peniaga dalam aspek-aspek penting dan semasa, seperti pemasaran, pengurusan inventori dan kewangan dan e-dagang juga perlu sentiasa dipertingkatkan bagi membantu menyakinkan lagi pihak bank dan pelabur lain tentang prospek pertumbuhan jangka panjang dan daya saing perniagaan bagi tujuan pembiayaan. Oleh itu, penting saya tekankan di sini bahawa industri perbankan adalah dalam perniagaan pemberian kredit. Hanya dengan memberikan kredit, pihak bank dapat memperoleh keuntungan. Jadi, jika kredit tidak diberikan maka tidak untunglah industri perbankan. Fakta ini penting untuk direnungkan kerana ada rungutan yang pihak bank enggan memberikan pinjaman. Sekiranya, perniagaan mempunyai potensi, sewajarnya tidak ada sebarang masalah untuk mendapatkan pinjaman. Jika terdapat sebarang masalah, peniaga perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada LINK .  

Pihak yang menjaga kepentingan pengguna dan persatuan perniagaan juga boleh memainkan peranan secara proaktif dalam mengemas kini maklumat tentang pelbagai jaminan, skim khas, dan pembiayaan alternatif yang tersedia. Masih banyak perusahaan mikro yang bergantung pada pembiayaan pinjaman peribadi disebabkan ketiadaan maklumat dan kesedaran tentang wujudnya kemudahan pembiayaan dalam pasaran. Akibatnya, mereka membayar kadar faedah yang tinggi untuk menjelaskan hutang peribadi yang diambil, sedangkan kemudahan pembiayaan yang lebih kos efektif yang sedia ada tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Oleh itu, persatuan perniagaan juga perlu memperkukuh peranan mereka dengan mendalami punca permasalahan yang sebenar sebelum menyuarakan isu berhubung dengan akses kepada pembiayaan. Pada lazimnya, isu yang dibangkitkan oleh persatuan perniagaan lebih berbentuk aduan umum yang tidak dikaji dengan menyeluruh dan spesifik, justeru sukar diselesaikan kerana kekurangan fakta sokongan. Persatuan perniagaan juga perlu memainkan peranan dengan memberikan nasihat kepada ahli-ahli mereka mengenai perkara-perkara yang berkaitan seperti kecekapan serta daya saing perniagaan, penggunaan teknologi dan penggunaan e-pembayaran yang lebih murah dan selamat .

Pengguna pula disarankan supaya mengambil berat tentang kewangan mereka dengan membuat perancangan lebih awal dan teratur bagi memastikan pilihan kewangan yang ada digunakan secara bertanggungjawab. Ini dapat dilakukan dengan membaca dan meneliti dokumen produk bagi memahami dengan lebih mendalam tentang produk agar keputusan dapat dibuat dengan lebih bijaksana

Masalah ketidakmampuan para pengguna untuk membayar pinjaman mengikut jadual yang ditetapkan oleh bank, jika tidak diambil tindakan segera, boleh menyebabkan pembatalan atau penamatan pinjaman.

Oleh itu, sekiranya pengguna berhadapan dengan kemelut kewangan, segeralah berhubung seawal mungkin dengan institusi kewangan supaya pengaturan pembayaran semula dapat dibincang dengan cara terbaik bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang. Bank Negara Malaysia telah menyediakan pelbagai mekanisme untuk menolong orang ramai, oleh itu dapatkan nasihat daripada LINK atau AKPK.

Akhir sekali, berikutan perkembangan teknologi yang begitu pesat mempengaruhi segala aspek kehidupan, para pengguna perlu memanfaatkan teknologi bagi memudahkan lagi urusan perbankan. Sehubungan dengan itu, pengguna perlu memperkasakan ilmu pengetahuan tentang perkara yang boleh dilakukan dan perkara yang mesti dihindari dalam penggunaan teknologi. Dalam hal ini, industri perbankan serta agensi kerajaan yang lain telah mengadakan beberapa 'roadshow' untuk memberikan penjelasan dan pertolongan kepada orang ramai, termasuk komuniti perniagaan. Ambillah peluang untuk hadir ke majlis seperti ini.

Isu semasa berkenaan nilai mata wang ringgit

Saya ingin mengambil kesempatan pada hari ini untuk menyentuh isu semasa berkenaan dengan nilai ringgit yang telah menjadi perhatian rakyat Malaysia. Pada tahun 2016, nilai ringgit telah menyusut sebanyak 4.3% berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS). Pada tahun itu, ringgit mencecah tahap terendah pada paras RM4.486 berbanding dengan dolar AS. Kejatuhan ringgit ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat, sehinggakan ada yang menganggap ia mencerminkan kedudukan ekonomi kita yang semakin menurun. Di sini, saya ingin menjelaskan bahawa di bawah rejim mata wang yang fleksibel, perubahan nilai ringgit mencerminkan beberapa faktor luaran dan dalaman termasuk kekukuhan ekonomi domestik dan aliran pelaburan asing dalam pasaran kewangan. Ekonomi kita masih kekal mampan dengan prestasi pertumbuhan yang baik dalam lingkungan 4-5%, berbanding dengan prestasi ekonomi serantau dan negara pesat membangun. 

Kejatuhan nilai ringgit ini bukanlah suatu keadaan yang unik dan terpencil. Ia adalah fenomena global. Pengukuhan ketara mata wang dolar AS telah menyebabkan seluruh mata wang negara serantau dan global turut mengalami tekanan kemerosotan. Ini disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah ketidaktentuan dasar monetari di Amerika Syarikat serta ketidaktentuan perkembangan arus ekonomi dan politik dunia dan serantau. Situasi global ini telah mengganggu sentimen pasaran kewangan antarabangsa lalu mengakibatkan aliran keluar dana dari pasaran negara sedang pesat membangun. Nilai mata wang banyak negara telah merosot. Nilai ringgit juga tidak terkecuali. Nilai ringgit pula dipengaruhi struktur ekonomi dan pasaran kewangan kita yang paling terbuka dalam kalangan negara pesat membangun. Pasaran kita terdedah kepada ketidaktentuan pasaran kewangan global yang menyebabkan kebalikan pelaburan portfolio (portfolio reversal). Terdapat juga beberapa faktor khusus yang telah mempengaruhi tahap ringgit.

Pertama, segelintir pelabur telah mengambil kesempatan dalam kemelut pasaran yang tidak menentu untuk mengaut keuntungan melalui aktiviti spekulatif mata wang dalam pasaran luar pesisir (offshore ringgit NDF market). Ini terbukti apabila beberapa bank pesisir telah dikenakan tindakan undang-undang dan dikenakan denda yang berat kerana terlibat dalam manipulasi penentuan harga..

Kedua, tekanan terhadap ringgit telah menjadi lebih ketara apabila terdapatnya ketidakseimbangan terhadap permintaan dan penawaran dalam pasaran mata wang domestik. Negara kita merupakan sebuah negara pengeksport dan kedudukan akaun semasa imbangan pembayaran negara sentiasa berada pada paras lebihan sejak lebih sedekad lalu. Namun, apabila ketidakseimbangan berlaku ekoran hasil eksport dalam mata wang asing tidak ditukarkan kepada ringgit, ia memburukkan keadaan, dan seterusnya mengurangkan permintaan terhadap  mata wang ringgit. Ketidakseimbangan juga berlaku disebabkan oleh faktor khusus lain. Umpamanya, pada tahun 2015, aliran keluar berpunca daripada perbelanjaan rakyat Malaysia ke luar negara yang berjumlah RM41 bilion manakala aliran keluar disebabkan pengiriman wang oleh pekerja asing adalah sebanyak RM34 bilion. Oleh itu, apabila permintaan terhadap mata wang berkurang, maka harga mata wang tersebut akan merosot.

Bagi mengatasi masalah ini, Bank Negara dan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Market Committee, FMC), telah mengambil langkah-langkah intervensi untuk menyekat aktiviti spekulasi dalam pasaran luar pesisir serta melaraskan keseimbangan pasaran mata wang domestik. Di samping itu, langkah-langkah liberalisasi pasaran mata wang domestik akan terus dipertingkatkan untuk menggalakkan perkembangan dan mengukuhkan kestabilan dan daya tahannya.

Hasil daripada langkah-langkah proaktif ini, beberapa perkembangan positif telah dapat dilihat. Gangguan spekulasi terhadap ringgit dalam pasaran luar pesisir telah dapat dikawal. Di samping itu, keseimbangan permintaan terhadap nilai ringgit dalam pasaran mata wang domestik juga telah semakin baik dan turun naik dalam nilai ringgit juga semakin berkurang.

Sebagai sebuah pasaran terbuka, negara kita akan terus terdedah kepada ketidaktentuan dalam arus ekonomi dan kemelut geopolitik dunia. Oleh itu, kita perlu mengambil langkah berhemat dalam mengharungi cabaran global ini. Bank Negara Malaysia bersama FMC akan terus memantau persekitaran pasaran kewangan, dan bila difikirkan perlu, akan memperkenalkan langkah baharu untuk memantapkan lagi dasar yang sedia ada.

Terdapat juga beberapa pandangan dalam kalangan pemerhati dan penganalisis ekonomi yang meletakkan nilai ringgit pada peringkat yang tertentu sebagai nilai keseimbangan (equilibrium value of ringgit). Ia seolah-olah mencadangkan nilai ini sebagai suatu sasaran untuk kita capai bagi memastikan keseimbangan ekonomi. Ini adalah tidak tepat dan tidak produktif.

Pada pandangan saya, jelas bahawa nilai ringgit pada ketika ini tidak mencerminkan asas-asas ekonomi negara kita. Namun kita tidak seharusnya terlalu tertumpu pada nilai keseimbangan ringgit kerana nilai ini akan sentiasa berubah dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, tidak menentu dan dinamik. Saya percaya langkah-langkah yang diperkenalkan pada 2 disember 2016 akan mendekatkan nilai ringgit kepada asas ekonomi negara.

Dalam persekitaran ekonomi terkini, penting untuk kita bersama-sama menyumbang tenaga, pemikiran dan kepakaran dan terus memajukan pembangunan ekonomi negara. Kekuatan sesebuah ekonomi itu amat bergantung pada tahap produktiviti rakyatnya. Saya percaya, satu cara untuk kita dapat mempertingkatkan daya produktiviti kita adalah dengan memaksimumkan ilmu pengetahuan terutamanya dalam bidang ilmu kewangan.

Penutup

Selama tiga hari, bermula hari ini, sebanyak 100 gerai pameran menyertai Karnival ini dan menawarkan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan kewangan. Ini termasuk perkhidmatan membuka akaun bank dan membantu permohonan pinjaman, semakan CCRIS, khidmat nasihat pengurusan hutang (oleh AKPK dan Skim Penyelesaian Hutang Kecil), platform untuk mengemukakan masalah dan mendapatkan pembelaan, ruang kepada PKS yang menceburi bidang pertumbuhan baharu untuk mengemukakan kertas cadangan dan sesi ceramah kelompok.

Bagi pihak Bank Negara Malaysia dan semua yang terlibat, saya berharap anda akan memanfaatkan sepenuhnya Karnival Kewangan ini dengan mengunjungi gerai-gerai pameran dan menyertai aktiviti yang direka khas untuk para pengunjung. Semoga lawatan anda ke program ini dapat meningkatkan pengetahuan tentang kepentingan pengurusan kewangan dan jika pendekatan kita dilakukan dengan bijak, ia akan mengubah hidup ke arah yang lebih sejahtera.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada kementerian kewangan, agensi-agensi kerajaan dan institusi kewangan yang turut bekerjasama menggembleng tenaga bagi merealisasikan Karnival Kewangan ini.

Sekalung tahniah juga saya ucapkan kepada jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan bagi memastikan Karnival ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.   

 

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.