Cetak       Kongsi


Ucapan Alu-aluan Gabenor di Karnival Kewangan Sabah - “Memanfaatkan Rangkuman Kewangan untuk Mencapai Aspirasi Meningkatkan Taraf Sosioekonomi di Sabah”

Penyampai Muhammad bin Ibrahim Tempat: Suria Mall, Kota Kinabalu, Sabah Bahasa: Bahasa Malaysia Tarikh Ucapan: 04 Aug 2017

Alhamdulillah kita dapat bersama-sama menghadiri Majlis PerasmianKarnival Kewangan di Sabah. Karnival ini merupakan inisiatif dan kerjasama pelbagai kementerian, agensi dan institusi kewangan untuk bersama-sama meningkatkan tahap kesedaran awam mengenai perkhidmatan kewangan, pengurusan kewangan dan perlindungan pengguna. Selain daripada itu, karnival ini juga bertujuan untuk mendekatkan institusi kewangan dan agensi berkaitan dengan orang awam, terutamanya rakyat Sabah.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah, kerana sudi hadir untuk bersama-sama kita dan seterusnya merasmikan Karnival Kewangan Sabah pada hari ini.

Negeri Sabah telah menunjukkan prestasi kemajuan pembangunan negeri yang memberangsangkan. Kadar pertumbuhan ekonomi dari segi keluaran dalam negeri kasar (KDNK) mencatat 6.1% pada tahun 2015.

Melangkah ke hadapan, Sabah beraspirasi menjadi gerbang bagi perdagangan, pelaburan dan pelancongan, dengan peluang pekerjaan yang kukuh, tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, serta komuniti yang bersatu padu dan harmoni.

Ucapan saya akan menyentuh tiga perkara utama dalam memacu pembangunan ekonomi dan sektor kewangan negeri Sabah:

  1. Pertama, langkah spesifik untuk memastikan kelancaran kemudahan pembiayaan kepada usahawan, khususnya usahawan kecil dan sederhana;
  2. Kedua, menumpukan perhatian kepada perkhidmatan kewangan yang bersifat transformatif dan melangkaui akses  bagi menyokong masyarakat membina daya tahan kewangan dan meningkatkan pendapatan; dan 
  3. Ketiga, tanggungjawab kita dalam membuat keputusan kewangan peribadi sebagai seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

Memastikan kelancaran kemudahan pembiayaan kepada usahawan melalui langkah spesifik yang disasarkan

Selaras dengan aspirasi Koridor Pembangunan Sabah, satu ekosistem pembiayaan yang holistik telah diwujudkan bagi menyokong persekitaran perniagaan yang kondusif. Setakat Disember 2016, institusi perbankan telah menyalurkan RM16.1 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana di Sabah. Ini mencakupi 68 peratus daripada jumlah pembiayaan kepada perniagaan di negeri ini.

Ekosistem pembiayaan turut dilengkapi oleh Credit Guarantee Corporation (CGC) yang menyediakan jaminan kepada usahawan tanpa cagaran untuk mendapatkan kemudahan pinjaman. Terdapat juga Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil bagi usahawan yang menghadapi masalah aliran tunai dan Tabung Khas Bank Negara Malaysia dalam menyokong akses kepada pembiayaan. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, kadar pinjaman tidak berbayar (atau NPL) oleh usahawan di Sabah juga adalah antara yang terendah dalam negara.

Namun begitu, kami peka bahawa terdapat segelintir usahawan yang menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan terutamanya yang baru memulakan perniagaan atau terlibat dalam bidang pertumbuhan baharu dan dalam peralihan, contohnya biomas, hotel, dan perkapalan. Selain daripada itu, para usahawan kini perlu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi (digital disruption). Pendigitalan dan perkongsian ekonomi (sharing economy) pada dasarnya telah mengubah cara berurus niaga.

Bank Negara Malaysia prihatin dan terus mengambil langkah berpandangan ke hadapan untuk menangani cabaran tersebut. Sebagai contoh, kami sedang bekerjasama dengan CGC untuk membangunkan satu platform pinjaman secara online yang akan memudahkan peniaga untuk membuat carian dan memohon pakej pinjaman. Kajian menunjukkan para usahawan mengambil masa hampir 25 jam untuk mencari maklumat berkaitan pilihan pembiayaan dan menyediakan kertas cadangan untuk memohon sesuatu pinjaman. Platform yang dijangka siap pada akhir tahun ini akan mengurangkan kos pencarian maklumat yang dihadapi oleh usahawan.

Suatu Makmal Mempertingkatkan Akses Pembiayaan (Financial Accelerator Lab) juga akan dilaksanakan untuk menawarkan bantuan susulan yang cepat dan sistematik kepada peminjam yang tidak berjaya dalam pilihan pakej pinjaman. Inisiatif ini penting bagi membantu mereka mengambil tindakan yang sewajarnya untuk meningkatkan peluang bagi memperoleh pinjaman pada masa hadapan.

Pembiayaan alternatif termasuk modal teroka dan kemudahan yang disediakan oleh lain-lain agensi kerajaan terus menyokong pembangunan bidang pertumbuhan baru dan usahawan yang memulakan perniagaan. Bank Negara Malaysia akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi lain seperti Suruhanjaya Sekuriti dan SME Corp Malaysia untuk membangunkan pembiayaan alternatif yang lain seperti pemfaktoran, pajakan serta pembiayaan berasaskan pasaran seperti pembiayaan crowd-funding dan peminjaman P2P (peer-to-peer).

Usaha-usaha ini merupakan lanjutan komitmen berterusan Bank Negara Malaysia dalam memastikan persekitaran ekonomi dan dasar monetari yang kondusif untuk menyokong perkembangan perniagaan.

Menumpukan perhatian kepada perkhidmatan kewangan yang bersifat transformatif

Akses kepada perkhidmatan kewangan yang formal adalah penting memandangkan besarnya impak khidmat kewangan dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan ekonomi.

Malaysia telah mencapai tahap rangkuman kewangan yang tinggi. Walau bagaimanapun terdapat 16% daripada penduduk dewasa di Sabah masih belum mempunyai akaun bank. Dalam hal ini, inisiatif ejen perbankan akan terus dipertingkatkan lagi agar kesemua golongan masyarakat dapat menikmati kemudahan perkhidmatan perbankan asas. Kini, kesemua 60 DUN di Sabah sudah mempunyai sekurang-kurangnya satu kemudahan akses kewangan, berbanding dengan hanya 24 DUN pada tahun 2011.

Dalam persekitaran masa kini yang semakin berubah dan mencabar, tanggungjawab kita menjangkau lebih daripada menyediakan akses kepada perkhidmatan kewangan. Perkhidmatan kewangan transformatif perlu direka dan ditawarkan bagi membolehkan segenap lapisan masyarakat dapat menabung, melabur dan meminjam secara produktif dan akhirnya dapat mengubah kehidupan mereka.

Bank Negara Malaysia juga sedang bekerjasama dengan pihak industri untuk mengembangkan produk simpanan mikro pemegangan jangka panjang (long term contractual microsavings), khusus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah. Produk inovatif ini memerlukan simpanan bulanan yang rendah dan menjana pulangan yang lebih tinggi dari akaun simpanan asas. Ini adalah untuk memupuk sifat menabung yang berterusan.

Sejak 1 Julai tahun ini, syarikat insurans dan pengendali takaful dikehendaki menawarkan produk perlindungan asas tanpa komisen kepada orang ramai melalui saluran pemasaran langsung, sama ada secara dalam talian atau pembelian secara terus di premis.

Bank Negara Malaysia juga berhasrat meningkatkan kesedaran tentang faedah membuat kiriman wang secara formal serta meningkatkan ketelusan bagi mengurangkan kos kiriman wang. Sehubungan ini, Projek Greenback 2.0 akan dilancarkan di Kota Kinabalu atas usaha sama antara Bank Negara Malaysia dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu serta Bank Dunia.

Terdapat keluhan berterusan dari orang ramai mengenai rumah mampu milik. Dalam hal ini, para pemaju perumahan mempunyai peranan yang penting bagi membina rumah pada harga yang berpatutan dan pembeli perlu mempunyai simpanan yang secukupnya dan keupayaan untuk membayar.

Pihak berkuasa yang berkaitan pula perlu memastikan rumah mampu milik yang dibina adalah mencukupi dan dilengkapi kemudahan asas seperti taska, taman permainan kanak-kanak dan kedai runcit.

Usaha pembangunan kapasiti generasi akan datang turut diberi perhatian oleh Bank Negara Malaysia dan sektor kewangan agar dapat menjana pendapatan bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Sehubungan itu, saya ingin mengumumkan bahawa satu inisiatif bersepadu oleh institusi kewangan yang berbentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), telah ditubuhkan dan dikenali sebagai Financial Industry Collective Outreach atau FINCO. Inisiatif ini tertumpu kepada pelaksanaan program peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris serta program motivasi bagi golongan kanak-kanak dan belia daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Program pertama akan dilancarkan di Sabah dan selepas ini akan dikembangkan di seluruh negara.

Penekanan terhadap pengetahuan kewangan, khidmat nasihat dan perlindungan pengguna juga merupakan elemen penting yang membolehkan rakyat memanfaatkan sepenuhnya ekosistem kewangan.

Tanggungjawab sebagai seorang pengguna yang bijak dan berhemat

Setiap orang bertanggungjawab terhadap keputusan kewangan yang dibuatnya sendiri. Keputusan kewangan yang dibuat setiap hari akan mempunyai impak yang besar atas kehidupan kita kelak. Terdapat tiga isu utama yang perlu diamalkan sebagai pengguna yang bijak dan berhemat:

Pertama, beralihlah kepada urus niaga dengan mengunakan E-pembayaran. Ini adalah penting untuk meningkatkan kecekapan, keselamatan dan mengurangkan kos urusniaga.

Sehubungan ini,  satu kempen akan dianjurkan mulai bulan Ogos 2017 hingga Mac 2018 untuk menggalakkan rakyat Sabah membuat e-bayaran di agensi kerajaan. Penyediaan terminal akan ditambah untuk meningkatkan penggunaan kad debit.

Kedua, hindarlah daripada terjebak dalam pelbagai skim cepat kaya. Elakkan diri daripada pelaburan yang mencurigakan dengan bertanya adakah munasabah untuk meraih keuntungan luar biasa, jika dibanding dengan prestasi pasaran.

Ketiga, pengguna perlu berbelanja secara berhemat mengikut kemampuan dan elak daripada berhutang berlebihan. Pada masa yang sama, pengguna perlu berusaha mencari maklumat secara aktif dan membuat perbandingan produk-produk kewangan sedia ada mengikut kesesuaian. Ini akan membantu meningkatkan persaingan dan kualiti perkhidmatan kewangan seterusnya memberi lebih pilihan kepada pengguna.

Karnival Kewangan Sabah ini menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan termasuk khidmat nasihat pengurusan dan penyelesaian masalah hutang. Saya ingin mengalakkan tuan-tuan dan puan-puan berkunjung ke ruang pameran Bank Negara Malaysia untuk berkongsi aspirasi rakyat Sabah di bawah Transformasi Nasional 2050 (TN50), serta bagaimana sektor kewangan dapat menyokong aspirasi tersebut.

Akhir kata, saya ingin menyampaikan setulus penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan  Kerajaan Negeri Sabah, agensi Kerajaan, institusi kewangan dan semua yang telah berusaha gigih untuk memastikan karnival ini dilaksanakan dengan jayanya.

 

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.