Cetak       Kongsi


Ucapan Penutup Timbalan Gabenor di Karnival Kewangan Sabah

Penyampai Encik Abdul Rasheed Ghaffour Tempat: Suria Mall, Kota Kinabalu, Sabah Bahasa: Bahasa Malaysia Tarikh Ucapan: 06 Aug 2017

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Timbalan Ketua Menteri Sabah atas kesudian untuk hadir pada majlis penutup Karnival Kewangan Sabah 2017 pada petang ini. Penghargaan juga kepada Kerajaan Negeri Sabah di atas sokongan padu yang telah diberikan semenjak peringkat awal perancangan Karnival ini sehinggalah ke penghujungnya.

Saya bersyukur dan berbesar hati untuk memaklumkan bahawa Karnival Kewangan kali ini telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada penduduk Sabah. Pengunjung yang datang bukan sahaja dari sekitar Kota Kinabalu malah juga dari kawasan yang jauh seperti Tuaran, Beaufort, Kudat dan Semporna. Saya dimaklumkan, sehingga pukul 3.00 petang tadi, lebih daripada 25,000 pengunjung telah menghadiri Karnival Kewangan ini.

Memahami betapa pentingnya untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan saksama, tumpuan Karnival kewangan pada kali ini telah diberikan untuk membantu usahawan supaya menjadi lebih berdaya saing. Sehubungan itu, hari pertama Karnival Kewangan ini telah dimulakan dengan sesi bual bicara usahawan-usahawan kecil dan sederhana atau PKS dan disusuli dengan sesi mengenai peranan Credit Guarantee Corporation yang membincangkan perkara berkaitan akses kepada pembiayaan.

Pada hari kedua dan ketiga pula, fokus diberikan untuk meningkatkan kesedaran kewangan untuk orang ramai. Pelbagai sesi khusus yang membincangkan aspek pengurusan kewangan, perbankan elektronik, jenayah kewangan, insurans dan takaful serta mekanisma aduan dan penyelesaian telah di sediakan bagi para pengunjung. Seramai lebih daripada 16,000 pengunjung telah mengambil peluang untuk mendapatkan khidmat nasihat secara individu daripada semua institusi termasuk BNM, AKPK dan OFS berkaitan kewangan yang mengambil bahagian dalam Karnival Kewangan Sabah pada kali ini.

Untuk makluman para hadirin sekalian, sebanyak 43 institusi berkaitan kewangan telah menyertai karnival ini. Pelbagai jenis produk perbankan daripada simpanan, pinjaman persendirian seperti pinjaman ASB, kenderaan, perumahan sehingga pinjaman perniagaan telah ditawarkan. Lebih daripada 1000 akaun simpanan telah dibuka semasa Karnival dan lebih daripada 400 permohonan pembiayaan berjumlah lebih daripada RM30 juta telah dipohon di booth institusi perbankan. Di samping itu, karnival ini juga menawarkan produk insurans dan takaful. Sambutan yang diterima oleh syarikat insurans dan takaful terhadap produk yang mereka tawarkan adalah menggalakkan, iaitu sebanyak 130 langganan berjumlah RM850 ribu telah diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peniaga. Walaupun kehadiran sebahagian daripada anda pada hari ini adalah bersifat untuk ingin tahu tanpa niat untuk melanggan mana-mana produk, pada pendapat saya, matlamat utama Karnival ini, iaitu untuk memberi pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan kepada orang ramai, telah pun dicapai dengan jayanya.

Menyedari perlunya untuk memupuk kesedaran kewangan dari peringkat usia muda lagi, pelbagai aktiviti telah diatur untuk pengunjung kanak-kanak dari peringkat sekolah rendah dan menengah. Seramai lebih 2500 pelajar kanak-kanak telah mengunjungi karnival selama tiga hari ini. Adalah menjadi harapan kami agar wujud budaya menabung dan berbelanja secara berhemat di kalangan kanak-kanak ini sehinggalah mereka dewasa kelak.

Bersandarkan konsep “edutainment” iaitu belajar sambil berhibur, Karnival ini berjaya menerapkan ilmu pengetahuan kewangan melalui program-program dan acara-acara yang menarik seperti, permainan (games), teka-teki, penggunaan multimedia dan sebagainya. Kami juga telah mengambil peluang semasa Karnival ini berinteraksi dengan orang ramai untuk mendalami aspirasi rakyat Malaysia berkenaan peranan sektor kewangan dalam menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Hasil daripada kajiselidik sepanjang Karnival ini, kami telah menerima 936 aspirasi dari orang ramai. Antara aspirasi bernas yang kami terima termasuk tahap celik kewangan yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia, kebajikan kewangan yang berkualiti tinggi khususnya untuk para pesara dan rangkuman kewangan yang luas. Bagi pihak Bank Negara Malaysia, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan idea anda berkenaan visi bagi sektor kewangan menjelang tahun 2050. Penglibatan aktif orang ramai amat penting bagi memastikan sektor kewangan kekal efektif dalam memenuhi keperluan masa hadapan segenap lapisan masyarakat Malaysia.

Masyarakat kita pada hari ini berdepan dengan persekitaran yang lebih mencabar berikutan faktor-faktor seperti impak globalisasi, perkembangan teknologi dan perubahan gaya hidup. Dunia kewangan juga terus berkembang pesat, lebih kompetitif dan berteknologi tinggi. Sehubungan ini, ilmu pengurusan kewangan adalah suatu keperluan dan kemahiran hidup penting pada masa kini. Oleh itu, adalah diharapkan lebih banyak inisiatif sebegini dapat diteruskan dengan kerjasama di antara Bank Negara Malaysia, industri kewangan, para pengguna serta semua pihak yang berkepentingan. Saya percaya karnival ini telah menyediakan satu platform dan momentum ke arah proses interaksi serta perkongsian pengetahuan yang pastinya membawa kebaikan kepada semua pihak.

Bank Negara Malaysia, melalui Pejabat Wilayahnya, sentiasa komited untuk menjelajah ke seluruh negeri Sabah bagi memberikan pendidikan kewangan kepada setiap lapisan masyarakat dalam usaha untuk memupuk pengurusan kewangan berhemat sebagai budaya hidup. Ini adalah selaras dengan mandat Bank Negara Malaysia untuk membangunkan sebuah ekosistem kewangan yang dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat.

Pintu Pejabat Wilayah Bank Negara Malaysia di Kota Kinabalu sentiasa terbuka bagi orang ramai khususnya masyarakat Sabah. Jemputlah ke pejabat kami sekiranya mempunyai sebarang masalah atau memerlukan khidmat nasihat dan maklumat berkaitan perkhidmatan perbankan, insurans dan pengurusan kewangan yang berada dibawah kawal selia Bank Negara.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah, agensi-agensi kerajaan di atas segala kerjasama yang diberikan dalam memastikan kelancaran dan kejayaan karnival ini. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada institusi-institusi kewangan serta semua pihak yang berkaitan, yang bukan sahaja terlibat sebagai peserta, malah telah menaja pelbagai program dan hadiah sepanjang berlangsungnya Karnival Kewangan di Sabah ini dengan cemerlang.

Dengan berbekalkan semangat dan sokongan yang padu, Karnival Kewangan yang seterusnya akan diadakan di Bumi Kenyalang pada bulan November 2017 ini. Jumpa lagi di Kuching, Sarawak nanti.

Sekian, terima kasih.

 

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.