Cetak       Kongsi


Ucapan Alu-aluan oleh Timbalan Gabenor di Persidangan FOMCA 2017 ‘Ke Arah Strategi Pendidikan Kewangan yang Efektif untuk Malaysia’ ‘Merealisasikan Kesejahteraan Kewangan’

Penyampai Encik Abdul Rasheed Ghaffour Tempat: Lanai Kijang, Kuala Lumpur Bahasa: Bahasa Malaysia Tarikh Ucapan: 03 Oct 2017

Saya amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk berucap pada persidangan FOMCA pagi ini. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada FOMCA atas inisiatif yang wajar diberikan pujian kerana dapat menarik penyertaan pihak-pihak berkepentingan yang menjadi peneraju dalam bidang celik kewangan pada hari ini. Persidangan hari ini yang bertemakan 'Ke arah Strategi Pendidikan Kewangan yang Efektif untuk Malaysia' adalah sangat relevan dan memberi peluang yang luas kepada agensi-agensi kerajaan, korporat, persatuan-persatuan pengguna, para akademik malah semua yang hadir pada hari ini untuk bertukar-tukar pandangan dan berbincang tentang isu-isu penting dalam pendidikan kewangan.

Pada hari ini, kita hidup dalam persekitaran yang semakin mencabar. Cara bekerja kita juga kini semakin diambil alih oleh komputer. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia sedang menghadapi perubahan sosioekonomi, termasuklah peralihan demografi, urbanisasi dan jangka hayat yang semakin panjang. Faktor-faktor ini bukan sahaja memberikan impak terhadap cara perkhidmatan kewangan dijalankan, malah turut memberikan impak terhadap pengetahuan yang diperlukan oleh para pengguna untuk membuat keputusan yang bijak dalam merealisasikan kesejahteraan kewangan. Oleh itu, agenda untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku yang wajar apabila membuat keputusan kewangan merupakan agenda penting untuk negara. Hari ini, saya ingin berkongsi wawasan kita dalam merealisasikan kesejahteraan kewangan untuk rakyat Malaysia melalui celik kewangan dan pendidikan kewangan.

Saya ingin berkongsi empat pemerhatian saya tentang tahap celik kewangan di Malaysia.

Pertama, rakyat Malaysia mempunyai daya tahan kewangan yang rendah dan mudah terjejas oleh kejutan kewangan. Berdasarkan kaji selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan yang dijalankan pada 2015, lebih 75% daripada rakyat Malaysia mengalami kesukaran untuk mendapatkan RM1,000 tunai ketika menghadapi saat kecemasan. Sebanyak 32% rakyat Malaysia mampu menampung perbelanjaan hanya untuk seminggu sahaja paling lama, sekiranya mereka kehilangan sumber pendapatan utama. Pada saat kecemasan, rakyat Malaysia juga akan bertindak mengurangkan perbelanjaan atau meminjam daripada rakan dan ahli keluarga, atau bergantung pada kemudahan kredit seperti kad kredit dan pelan bayaran ansuran. Dalam situasi yang ideal, kita perlu memiliki simpanan untuk menampung sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan sara hidup sekiranya kita kehilangan sumber pendapatan utama.

Kedua, kaji selidik yang sama juga telah menunjukkan bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia tidak berpandangan jauh dan tidak mempedulikan masa depan serta lebih memberikan fokus terhadap keperluan jangka pendek. Ciri-ciri ini jelas terdapat dalam kalangan generasi alaf baharu. Generasi alaf baharu ini menunjukkan minat yang lebih mendalam untuk mengikuti arus digital yang terkini. Kajian oleh Asian Institute of Finance 2015 mendapati sebilangan besar belia mempunyai kos pinjaman yang tinggi – 38% belia bergantung pada pinjaman peribadi, manakala 47% lagi berbelanja besar menggunakan kad kredit. Mereka sering kali mendapati hutang tersebut membebankan dan menjerumuskan mereka ke dalam kancah kewangan. Dari Januari hingga Ogos tahun ini, data daripada AKPK menunjukkan sebanyak 3,400 peminjam yang berusia antara 20 – 30 tahun telah mendapatkan bantuan AKPK, jika dibandingkan dengan hanya 3,400 peminjam untuk keseluruhan tahun 2016.

Ketiga, sebilangan besar rakyat Malaysia tidak membuat perancangan kewangan jangka panjang. Hanya 40% rakyat Malaysia menganggap mereka telah bersedia dari segi kewangan untuk persaraan walaupun jangka hayat mereka semakin panjang. Garis kemiskinan di Malaysia pada masa ini ialah RM950 sebulan, dan menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), seorang pesara memerlukan sekitar RM228,000 apabila bersara bagi menjana sumber pendapatan pelaburan yang mencukupi untuk menjalani kehidupan melebihi garis kemiskinan bagi tempoh 20 tahun yang akan datang. Walau bagaimanapun, menurut Khazanah Research Institute, purata simpanan KWSP oleh mereka yang berusia 51 – 55 hanyalah sebanyak RM160,000. Kurangnya kesedaran terhadap kepentingan mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi boleh menyebabkan masalah yang lebih besar, termasuklah kesukaran untuk mengekalkan taraf hidup selepas persaraan.

Keempat, rakyat Malaysia masih kurang memahami tentang risiko dan pulangan, dan tidak mampu membuat keputusan kewangan yang bijak. Rakyat Malaysia masih mudah terdedah pada penipuan dan penyalahgunaan kewangan. Menurut polis, jumlah penipuan kewangan yang dilaporkan di Malaysia telah meningkat ke tahap yang membimbangkan sebanyak 1,883 kes antara 2015 sehingga suku pertama 2017, dengan jumlah kerugian terkumpul sebanyak RM379 juta. Ini menunjukkan bahawa sikap tamak dan tidak ambil peduli boleh menyebabkan kebanyakan mangsa membuat keputusan kewangan yang tidak bijak.

Berdasarkan pemerhatian saya, banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap celik kewangan bagi merealisasikan kesejahteraan kewangan untuk rakyat Malaysia tercapai.

Usaha untuk meningkatkan celik kewangan bukanlah sesuatu yang mudah, malah mengambil masa yang lama. Melalui pendidikan kewangan yang berterusan dan efektif, pengguna boleh menambah pemahaman mereka tentang produk dan perkhidmatan kewangan, dan meningkatkan kemahiran dan keyakinan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak dalam kehidupan seharian mereka. Pendidikan kewangan menggalakkan pengguna untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik, merancang masa depan dan menguruskan risiko yang berkaitan dengan perihal kewangan.

Meskipun kita akur bahawa pendidikan kewangan memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap celik kewangan, namun pendidikan kewangan sahaja masih belum mencukupi. Pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh juga perlu dipraktikkan supaya berlakunya perubahan yang positif dalam tingkah laku ke arah gaya hidup kewangan yang sihat. Sehubungan dengan itu, inisiatif untuk meningkatkan tahap celik kewangan haruslah diterapkan secara menyeluruh. Matlamat utamanya adalah untuk menggalakkan perubahan tingkah laku yang berterusan pada setiap peringkat kehidupan.

Mengumumkan penggubalan strategi kebangsaan untuk celik kewangan

Seperti tema persidangan ini – “Ke arah strategi pendidikan kewangan yang efektif untuk Malaysia”, ingin saya kongsikan bersama hadirin sekalian bahawa satu strategi kebangsaan lima tahun untuk meningkatkan tahap celik kewangan sedang dirumuskan. Strategi kebangsaan bersandarkan tiga teras utama:

  • Ketelusan: Mempunyai wawasan yang telus dalam merealisasikan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia.
  • Kolaborasi: Celik kewangan merupakan tanggungjawab bersama. Oleh itu, kerjasama yang padu diperlukan daripada semua pihak berkepentingan.
  • Komitmen: Menjurus ke arah pendekatan berorientasikan keberhasilan dalam pelaksanaan.

Izinkan saya untuk menghuraikan setiap teras ini satu persatu.

Pertama ialah ketelusan. Kita mempunyai wawasan yang jelas untuk merealisasikan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia dengan memajukan dan meningkatkan tahap celik kewangan. Matlamat wawasan adalah untuk membentuk masyarakat yang mempunyai tingkah laku kewangan yang bertanggungjawab, mampu menguruskan kewangan dengan baik, dan dapat menjamin keselamatan kewangan. Rakyat yang mempunyai kesejahteraan kewangan mempunyai kebebasan dalam membuat pilihan untuk menjalani kehidupan yang bermakna.

Kesejahteraan kewangan ialah prasyarat untuk ekonomi yang lebih produktif, berdaya tahan dan inklusif. Sesungguhnya, usaha untuk mencapai kesejahteraan kewangan individu ialah usaha yang wajar dan mengambil masa yang lama. Oleh itu, dalam jangka panjang, pelaksanaan strategi kebangsaan akan diselaraskan dengan aspirasi kerajaan jangka panjang di bawah inisiatif Kluster Kewangan yang terkandung dalam Transformasi Nasional 2050 – ataupun lebih dikenali sebagai TN50. Dengan ini, saya mengalu-alukan pandangan dan idea selanjutnya daripada para hadirin yang menyertai persidangan ini tentang aspirasi kesejahteraan kewangan yang ingin dicapai demi masa depan Malaysia .

Kesejahteraan kewangan bukanlah tentang soal menjadi kaya. Ia sebenarnya merupakan keupayaan untuk hidup mengikut kemampuan serta boleh membuat keputusan kewangan yang bertanggungjawab. Tahap kesejahteraan kewangan seseorang merupakan cerminan dua faktor – pertama, tahap celik kewangannya (ilmu pengetahuan), dan kedua, latar belakang ekonominya.

Keadaan persekitaran peribadi dan ekonomi yang tidak begitu menggalakkan, contohnya bagi kebanyakan daripada kita yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang tinggal di bandar, mungkin lebih banyak bergantung pada faktor luaran dan tidak mudah untuk diubah. Sebaliknya, celik kewangan ialah ciri-ciri yang ada dalam diri setiap individu yang boleh kita kawal. Dengan langkah, motivasi dan disiplin diri yang betul, tahap celik kewangan seseorang individu boleh ditingkatkan dengan sendirinya. Lebih penting lagi, langkah-langkah tersebut boleh menjadi elemen yang penting untuk meningkatkan keadaan persekitaran peribadi dan ekonomi seseorang individu.

Namun, keadaan sebaliknya juga boleh berlaku – tanpa celik kewangan kesejahteraan kewangan seseorang boleh berubah. Acap kali kita melihat individu yang telah biasa hidup senang, sebagai contoh, golongan profesional yang berpendapatan tinggi, terjerumus ke dalam kancah masalah kewangan akibat pengurusan kewangan yang lemah. Sebaliknya, golongan kurang berada pula mampu hidup selesa mengikut kemampuan mereka kerana mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemat dan hidup secara sederhana.

Aspirasi dan objektif strategi kebangsaan bagi literasi kewangan telah dirumuskan dengan teliti oleh Financial Education Network (FE Network), sejak penubuhannya penghujung tahun 2016. Keberhasilan strategik, bidang keutamaan dan kumpulan sasaran telah dikenal pasti. Strategi kebangsaan bagi celik kewangan telah mengenal pasti lima bidang keutamaan strategik yang meliputi semua peringkat kehidupan – bermula dari langkah menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak hinggalah usaha memupuk tingkah laku positif dalam kalangan orang dewasa dan mempersiapkan rakyat Malaysia untuk melalui tempoh persaraan yang selesa. Pelan tindakan khusus akan dirumuskan untuk menjangkau khalayak awam selain memenuhi keperluan kumpulan sasaran yang tertentu.

Teras kedua ialah ‘kolaborasi’. Saya percaya tanggungjawab bersama dan usaha bersepadu merupakan tonggak utama kejayaan pelaksanaan strategi kebangsaan untuk mencapai matlamat yang kita inginkan. Ia memerlukan usaha gigih dan berterusan dalam jangka panjang oleh semua pihak, termasuk pihak berkuasa, sektor awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan para pengguna sendiri untuk merealisasikan matlamat meningkatkan tahap celik kewangan.

Setiap pihak berkepentingan mempunyai kekuatan masing-masing. Meskipun ada daripada mereka yang merupakan pakar bidang kewangan yang boleh menjadi sumber rujukan berwibawa dalam pelaksanaan pendidikan kewangan kepada kumpulan sasaran, namun ada juga yang lain mempunyai akses kepada saluran hubungan yang penting untuk menjangkau pihak awam. Acap kali, banyak juga agensi terbabit yang berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan ‘tempoh boleh memberikan pendidikan’ seperti masa mula bekerja; memasuki alam perkahwinan; atau persediaan menghadapi persaraan, yang tentunya banyak melibatkan keputusan kewangan yang utama. Strategi kebangsaan akan menjadi pemangkin kepada pihak berkepentingan untuk bekerjasama dalam menggunakan sumber, kepakaran atau kuasa kukuh masing-masing untuk menyediakan pendidikan kewangan yang holistik dan merangkumi rakyat di seluruh negara. Sehubungan dengan itu, penekanan atau perubahan dasar pihak berkepentingan yang berkenaan dijangka berlaku untuk mempengaruhi perubahan dalam tingkah laku pengguna.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, usaha bersepadu sektor swasta dengan sektor awam telah membawa kepada pelaksanaan inisiatif pendidikan kewangan yang khusus. Sebagai contoh, elemen pendidikan kewangan telah pun diterapkan dalam kurikulum sekolah untuk murid Tahun 1, dan Tahun 4 hingga 6, serta Tingkatan 1 hasil kolaborasi berkesan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Bank Negara Malaysia. Saya amat gembira dengan institusi kewangan dan sektor swasta yang turut memainkan peranan untuk memperkukuh pembelajaran dalam darjah melalui aktiviti ko-kurikulum dan program pendidikan kewangan masing-masing yang dirangka khusus. Melangkah ke hadapan, banyak lagi inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk memupuk nilai-nilai pengurusan kewangan yang positif dalam kalangan 5 juta pelajar sekolah melalui perkongsian tanggungjawab yang lebih besar.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada FOMCA atas inisiatif pendidikan kewangan yang sedang dilaksanakannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini. FOMCA merupakan rakan kongsi penting dan bermakna dalam segmen pendidikan ini. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengalu-alukan kesediaan FOMCA berganding bahu bersama-sama dengan FE Network untuk meningkatkan tahap celik kewangan pengguna di bawah satu strategi kebangsaan yang sama.

FOMCA, melalui entiti sekutu dan rangkaiannya yang meluas di seluruh negara, boleh memainkan peranan penting dalam dua aspek. Cadangan saya adalah seperti yang berikut. Pertama, FOMCA boleh memperluas jangkauannya untuk mendidik dan memupuk kesedaran mengenai pentingnya celik kewangan, terutamanya dalam sektor tidak formal. Penting juga bagi inisiatif pendidikan kewangan kita menjangkau khalayak awam.

Kedua, FOMCA boleh bertindak sebagai medium yang merangsang pemikiran dan pandangan ke hadapan badan pengguna bukan kerajaan untuk memberikan keutamaan terhadap pendidikan kewangan dalam agenda mereka. Melalui perbincangan dan interaksi dengan persatuan wanita, ibu bapa, belia, atlet dan juga artis, FOMCA boleh membantu memupuk kesedaran dan menjajarkan minda pemikiran terhadap pendidikan kewangan pada peringkat organisasi.

Pendidikan kewangan ialah proses dua hala. Bagi menjadikan pendidikan ini berkesan, pengguna sendiri perlu memainkan peranan dan menguruskan kedudukan kewangan mereka. Budaya ‘hidup ikut kemampuan sendiri’ dan bukannya ‘hidup hanya sekali’ harus dijadikan pegangan masyarakat kita. Anjakan paradigma sebegini penting untuk membentuk masyarakat yang bertanggungjawab dari segi kewangan.

Teras ketiga dan terakhir ialah ‘Komitmen’. Saya ingin memetik kata-kata Abraham Lincoln, “Komitmenlah yang akan mengubah impian menjadi realiti”. Jika tiada komitmen, usaha meningkatkan tahap celik dan kesejahteraan kewangan akan hanya tinggal harapan dan impian rakyat negara ini semata-mata.

FE Network komited untuk menerajui strategi kebangsaan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan. Sehubungan dengan itu, saya menggesa semua pihak berkepentingan untuk menyertai kami dan bersama-sama mengorak langkah ke arah kesejahteraan kewangan. Komitmen pelbagai agensi pada tahap yang berbeza adalah penting, terutamanya dalam bidang tumpuan utama masing-masing.

Inisiatif pendidikan kewangan di bawah strategi kebangsaan akan meliputi semua aspek dan sentiasa dinilai serta ditambah baik untuk memastikan inisiatif tersebut terus relevan dan memberikan impak yang diinginkan. Untuk tujuan itu, saya menggalakkan agensi-agensi yang hadir hari ini untuk menjalankan kajian tingkah laku pengguna bagi mengenal pasti faktor pendorong keputusan kewangan mereka yang lebih baik di bawah keadaan yang berbeza. Hasil kajian tersebut boleh membantu menambah baik inisiatif pendidikan kewangan dan menjadi alat yang kukuh untuk memupuk komitmen pengguna. Ikutlah jejak FOMCA yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam melaksanakan pendekatan sebegini.

Sebagai kesimpulan, saya telah berkongsi dengan anda semua visi dan aspirasi kita untuk mencapai kesejahteraan kewangan di negara ini. Untuk merealisasikan visi dan aspirasi tersebut, kita perlu meningkatkan tahap celik kewangan rakyat negara ini menerusi strategi kebangsaan celik kewangan yang akan menentukan hala tuju kita untuk mencapai kesejahteraan kewangan seluruh rakyat Malaysia.

Namun, strategi kebangsaan hanya akan bermakna sekiranya segala matlamat yang dirancang berjaya dicapai. Oleh itu, perjalanan ini masih jauh tetapi hasilnya berbaloi kerana kejayaan yang lebih besar bermula dengan langkah yang kecil. Semoga persidangan ini akan menjadi platform bagi kita semua berkongsi pendapat selain berbincang mengenai idea-idea yang kita ada untuk merealisasikan visi ini. Akhir kata, saya yakin persidangan ini akan dapat mencapai matlamatnya, seterusnya menjana banyak manfaat untuk kita semua.

 

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.