Cetak       Kongsi


Ucapan Gabenor di Majlis Makan Malam Tahunan 2017 Pejabat BNM Kota Kinabalu, Sabah

Penyampai Governor Muhammad bin Ibrahim, FCB Tempat: Pejabat BNM Kota Kinabalu, Sabah Bahasa: Bahasa Malaysia Tarikh Ucapan: 28 Oct 2017

Terima kasih kepada semua kerana dapat berkumpul pada malam ini untuk meraikan Majlis Makan Malam Tahunan Pejabat BNM Kota Kinabalu.

Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran semua rakan kolaborasi kita yang terdiri daripada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan. Ini adalah kali pertama majlis makan malam kita diserikan dengan kehadiran rakan-rakan kolaborasi dari jabatan dan agensi lain. Saya yakin inisiatif seperti ini akan dapat mengukuhkan lagi kerjasama antara agensi dalam usaha BNM untuk meningkatkan sumbangan kami kepada Sabah.

Selamat datang juga saya ucapkan kepada semua warga kerja BNM KK, MEPS Currency Management Sdn Bhd (MCM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang hadir pada malam ini.

Pada tahun ini, tema “Neon Night” telah dipilih bagi menceriakan dan memeriahkan lagi majlis makan malam yang gilang gemilang ini. Tema ini memberi gambaran bahawa cahaya yang pelbagai warna boleh menjadi penunjuk arah untuk kita terus bergerak maju dalam kegelapan.

Ia diibaratkan sebagai idea-idea baru yang boleh membantu kita menyelesaikan isu dan permasalahan yang di Kepelbagaian cahaya juga melambangkan kolaborasi dan kerjasama antara agensi adalah kritikal untuk menjadikan kita berkesan demi menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Saya ingin menyentuh dua perkara pada malam ini.

  1. Pertama, keadaan ekonomi negara yang lebih kukuh serta perkembangan ekonomi Sabah yang memberangsangkan; dan
  2. Kedua, pendekatan yang lebih sistematik dengan kerjasama pelbagai pihak diperlukan dalam menangani isu rumah mampu milik.

Keadaan ekonomi negara yang lebih kukuh serta perkembangan ekonomi Sabah yang memberangsangkan

Mandat utama bagi Bank Negara, adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dalam keadaan kadar inflasi yang rendah dan stabil. Sebagai sebuah Bank Pusat, Bank Negara merupakan satu-satunya institusi dalam negara yang berupaya mengawal persekitaran monetari untuk menjana aktiviti ekonomi dalam negara.

Dalam mengawal persekitaran monetari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia telah dipertanggungjawab untuk menentukan dasar monetari yang bersesuaian dengan perkembangan ekonomi semasa melalui penetapan Kadar Dasar Semalaman (atau lebih dikenali dengan nama Overnight Policy Rate, OPR). Kadar OPR inilah yang akan mempengaruhi kadar pinjaman pembiayaan serta deposit di pasaran kewangan tempatan dan seterusnya aktiviti ekonomi dalam negara.  

Kedudukan ekonomi negara pada ketika ini, secara agregat, adalah baik dan berada di landasan yang kukuh. Pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh pada enam bulan pertama tahun 2017, telah melangkaui jangkaan awal dan ini merupakan hasil dorongan daripada aktiviti ekonomi dalam negeri dan eksport yang lebih mantap. Prospek pertumbuhan disokong oleh pertumbuhan global yang lebih positif yang melonjakkan prestasi sektor luaran negara. Permintaan dalam negeri juga terus memacu pertumbuhan, disokong oleh peningkatan pendapatan dan pasaran pekerja yang lebih baik serta projek infrastruktur dan pelaburan modal baharu yang giat dilaksanakan.

Kadar inflasi secara keseluruhannya terus sederhana walaupun mencatatkan sedikit peningkatan pada tahun ini berbanding tahun 2016. Kenaikan inflasi yang dialami setakat ini dijangka hanya sementara berdasarkan jangkaan bahawa faktor kenaikan kos global akan semakin berkurang menjelang akhir tahun 2017 dan pada tahun 2018.

Perkembangan aktiviti ekonomi yang menggalakkan ini telah dapat dikecapi dalam keadaan dasar monetari akomodatif. Prospek ekonomi yang dijangka akan terus kukuh serta kadar inflasi yang sederhana akan memberi ruang yang lebih fleksibel kepada Jawatankuasa Dasar Monetari untuk menilai kesesuaian kadar OPR semasa, selaras dengan kedudukan makroekonomi negara. Justeru, Jawatankuasa Dasar Monetari akan terus memantau prospek ekonomi dan kadar inflasi dari semasa ke semasa untuk memastikan ia tidak terdedah kepada risiko ketidakstabilan.

Ada setengah pihak mengambarkan bahawa kadar faedah yang rendah adalah baik untuk ekonomi. Tanggapan ini adalah tidak benar. Ia perlu diperbetulkan.

Membiarkan kadar faedah terus berada di paras yang sangat rendah untuk jangka masa yang panjang akan mendatangkan pelbagai risiko ketidakseimbangan kewangan. Ia boleh menyebabkan banyak kelemahan. Kadar pulangan deposit yang terlalu rendah boleh menggalakkan penyimpan mengalihkan pelaburan mereka kepada asset yang lebih berisiko dan bersifat spekulatif untuk mengejar pulangan yang lebih tinggi. Malah ada yang terlibat dalam skim deposit haram yang menyebabkan kehilangan dana yang besar. Kos pinjaman yang terlalu rendah juga boleh menyebabkan hutang yang berlebihan oleh isi rumah dan perniagaan. Kadar faedah yang terlalu rendah juga menggalakkan sikap suka mengambil risiko secara keterlaluan. Ini termasuk mengambil pinjaman secara keterlaluan walaupun keupayaan membayar adalah lemah.

Oleh itu, MPC sentiasa mengambil kira keadaan semasa dan impak ke hadapan berdasarkan data yang terkini.

Selaras dengan ekonomi negara yang menggalakkan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah telah berkembang pada kadar 4.7%, melebihi paras nasional (4.2%) pada tahun 2016. Perkembangan tersebut didorong oleh sektor perlombongan dan sektor perkhidmatan. Ekonomi Sabah juga telah disokong oleh industri pelancongan yang terus berkembang pesat dengan bilangan pelancong seramai 3.43 juta orang pada tahun 2016, melangkaui angka tertinggi yang pernah dicatatkan sebelumnya pada tahun 2013 iaitu 3.38 juta orang. Peningkatan ini disebabkan oleh perhubungan pengangkutan udara yang lebih baik, pemulihan keyakinan di kalangan pelancong serta usaha-usaha promosi yang dilakukan oleh sektor awam dan swasta. Dari segi sosioekonomi, peningkatan telah dicatatkan bagi pendapatan isi rumah dan kadar kemiskinan yang menurun.

Melangkah kehadapan, keperluan terhadap perkhidmatan kewangan akan terus meningkat selari dengan pembangunan ekonomi negeri Sabah. Melihat kepada perkembangan positif ini, Bank Negara akan terus membantu dengan mempertingkatkan kefahaman institusi kewangan mengenai keunikan ekonomi Sabah dan seterusnya meningkatkan akses kepada pembiayaan di kalangan pemain industri Sabah.

Sebagai contoh, bersempena dengan Karnival Kewangan Sabah pada bulan Ogos yang lalu, kita telah mengadakan sesi dialog bersama wakil-wakil utama daripada kerajaan negeri dan industri untuk membincangkan isu-isu ekonomi dan sistem kewangan semasa di Sabah.

Kesinambungan daripada sesi dialog tersebut, pada 23 Oktober, Bank Negara telah mengadakan sesi interaksi bersama wakil Ketua Pegawai Risiko daripada institusi kewangan bagi membincangkan isu-isu yang telah dibangkitkan oleh wakil kerajaan negeri dan golongan perniagaan. Usaha sebegini akan diteruskan bagi memastikan sektor kewangan kekal efektif dalam memenuhi keperluan masa hadapan segenap lapisan masyarakat di Sabah.

Pendekatan yang lebih sistematik dengan kerjasama pelbagai pihak diperlukan dalam menangani isu rumah mampu milik

Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11: 2016-2020), kerajaan telah menetapkan strategi bagi meningkatkan akses kepada perumahan mampu milik mengikut kumpulan sasar untuk memenuhi keperluan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana serta golongan miskin. Dalam pembentangan Bajet 2018 semalam, YAB Perdana Menteri juga telah mengumumkan peruntukan RM2.2 bilion bagi meningkatkan bekalan rumah mampu milik sebanyak 247,900 unit melalui pelbagai skim perumahan. Bagi tempoh 2012-2014, peningkatan 118,000 isi rumah baharu memperlihatkan ketidak-sepadanan permintaan dan bekalan rumah dengan purata rumah siap dibina adalah 85,000 unit. Seperti yang dinyatakan oleh portal “Housing Watch” (portal yang menyediakan analisis, nasihat dan maklumat mengenai pasaran perumahan Malaysia) ketidak-sepadanan ini semakin membimbangkan apabila pelancaran hartanah baharu kini sangat cenderung kepada hartanah dengan harga pasaran melebihi RM250,000 (2014-1Q2017: 76%). Secara khususnya di Sabah, lebih daripada 70% hartanah baharu yang dilancarkan antara 2014 dan 2016 adalah berharga melebihi RM250,000, melebihi kemampuan kebanyakan isi rumah di Negeri Sabah. Apa yang kita saksikan adalah ‘market failures’ dalam penawaran rumah mampu milik. Pihak swasta tidak mampu memenuhi permintaan untuk golongan yang ingin memperolehi rumah kategori ini.

Ahli ekonomi yang terkenal, John Maynard Keynes pernah berkata, “The difficulty lies not so much in developing new ideas as in escaping from old ones”. Dari pemerhatian saya, kata-kata ini mencerminkan keadaan kini yang membelenggu isu berkaitan rumah mampu milik di negara ini. Meskipun pihak Bank dan institusi kewangan telah menjelaskan secara nyata dan disokong dengan maklumat terperinci berkaitan kelulusan dan jumlah pembiayaan perumahan yang telah disalurkan, masih terdapat lagi pihak yang menunding jari kepada industri kewangan sebagai punca utama kegagalan rakyat memiliki rumah. Ini adalah tidak benar. Pihak-pihak berkepentingan ini lebih cenderung mensensasikan isu ini untuk mencapai objektif mereka serta enggan memainkan peranan yang lebih efektif dalam menyelesaikan masalah ini.

Saya yakin tiada faedah yang boleh diperoleh daripada terus saling menyalahi atau mengungkit sejarah yang menyumbang kepada keadaan kita pada hari ini. Sebaliknya, kita perlu mencari idea dan pendekatan baharu yang akan membantu kita mencapai aspirasi untuk menyediakan perumahan yang berkualiti dan mampu milik kepada setiap rakyat. Menyedari bahawa Dasar Perumahan Negara sedang dikaji semula dan dijangkakan akan dimuktamadkan sepenuhnya pada hujung tahun ini, izinkan saya berkongsi lima idea pada pendapat saya yang akan menggerakkan negara ke tahap baharu dalam menangani isu rumah mampu milik.

Pertama, keperluan satu pihak berkuasa tunggal (“single authority”) untuk menerajui dasar perumahan mampu milik adalah kritikal. Pihak berkuasa ini berperanan menggubal sasaran dan strategi bagi merapatkan jurang bekalan rumah mampu milik yang sedia ada, menentukan standard minimum rumah mampu milik yang dibina, di samping memantau kesemua agensi nasional dan negeri yang bertanggungjawab dalam penyediaan rumah mampu milik.

Kedua, kewujudan pangkalan data yang bersepadu di peringkat nasional (“integrated database”) akan dapat membantu semua pihak membuat keputusan dengan lebih terperinci dalam perancangan pembangunan rumah mampu milik. Sebagai contoh, pangkalan data ini akan membantu pihak berkuasa, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam pelaksanaan dasar perumahan mampu milik. Pemaju pula akan dapat memahami pasaran perumahan yang lebih jelas, seterusnya menggalakkan mereka membina rumah mampu milik dengan harga, saiz dan lokasi yang bertepatan dengan permintaan pasaran. Inisiatif ini juga akan memastikan hanya golongan yang memerlukan, layak membeli rumah mampu milik yang disediakan.

Ketiga, mewujudkan pasaran rumah sewa yang mencukupi adalah penting dalam membantu golongan berpendapatan rendah dan tenaga kerja baharu seperti para graduan. Ini bertepatan dengan pengumuman YAB Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2018 bahawa kerajaan akan menggubal Akta Sewaan Rumah Kediaman untuk melindungi penyewa dan pemilik rumah. Penubuhan suatu Tribunal Penyewaan bagi menyelesaikan sebarang pertikaian di antara pemilik rumah dan penyewa adalah satu langkah yang diperlukan. Inisiatif kerajaan memberikan pengecualian cukai ke atas pendapatan sewaan sebanyak 50% bagi sewaan sehingga RM2,000 juga diharapkan dapat meningkatkan pasaran rumah sewa. Bank Negara Malaysia kini juga sedang bekerjasama dengan pihak Cagamas bagi menyokong usaha untuk mempergiatkan pembinaan serta penawaran rumah untuk disewa melalui penyediaan suatu model pembiayaan yang inovatif untuk penyewa dan pemaju.

Keempat, polisi pengurusan tanah untuk tujuan perumahan yang lebih baik diperlukan bagi menangani isu perumahan mampu milik dan mengurangkan isu hartanah tidak terjual. Kajian menunjukkan bahawa kos tanah adalah faktor utama yang mempengaruhi penetapan harga rumah, menyumbang antara 8% hingga 23% daripada kos pembinaan hartanah. Langkah lain termasuklah penambahbaikan berkaitan penggunaan tanah milik kerajaan dan polisi penggunaan tanah persendirian bagi membuka peluang pembangunan hartanah yang lebih mampan.

Kelima, langkah-langkah yang telah dikenal pasti dalam Dasar Perumahan Negara 1.0 seperti penggunaan pendekatan perindustrian dalam pembinaan hartanah mestilah terus dipertingkatkan. Pemaju perlu meningkatkan produktiviti mereka dengan memberikan komitmen yang tinggi dalam menyediakan perumahan mampu milik seperti penggunaan teknologi terkini yang dapat membantu mengurangkan kos dan mempercepatkan proses pembinaan.

Saya juga ingin menekankan bahawa isu perumahan mampu milik bukan hanya tanggungjawab sepenuhnya pihak kerajaan, malah pihak pemaju juga perlu lebih proaktif dengan mengambil pendekatan “skin in the game”. Para pemaju sewajarnya mewujudkan inisiatif-inisiatif baharu dalam membantu para pembeli. Sebagai contoh, pihak pemaju boleh mencadangkan penubuhan syarikat kredit yang menawarkan pembiayaan bagi bayaran deposit pembelian rumah mampu milik, atau memberikan jaminan kewangan (“financial guarantee”) kepada golongan yang sukar mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan. Pihak pemaju juga boleh memberikan sumbangan lain seperti penganjuran karnival rumah mampu milik di seluruh pelusuk negara bagi membantu para pembeli mengenal pasti hartanah yang mereka inginkan.

Contoh lain yang boleh saya kongsikan adalah seperti inisiatif Bank Negara, melalui LINK dan Pejabat-pejabat Bank Negara Malaysia, yang turut sama menyertai program-program PR1MA dan Malaysian Property Expo (MAPEX) bagi membantu meningkatkan kesedaran bakal pembeli berhubung perbezaan antara kemampuan memiliki dan membeli rumah. Bank Negara Malaysia juga telah membantu pihak Setiausaha Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Johor dan Pulau Pinang dalam memahami proses penilaian kelayakan pinjaman perumahan daripada pihak institusi kewangan.

Pendekatan yang sistematik dan holistik, serta inisiatif-inisiatif yang bersifat proaktif sebegini akan dapat membantu meningkatkan peluang kumpulan sasar untuk memiliki rumah, seterusnya memberikan ruang kepada pihak kerajaan untuk memberikan tumpuan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan golongan miskin.

Saya ingin mengucapkan terima kasih atas dedikasi dan kesetiaan warga kerja Pejabat Bank Negara Malaysia Kota Kinabalu terhadap Bank selama ini. Marilah kita terus fokus dalam menjalankan mandat kita. Marilah kita bersama-sama membawa pembangunan yang lebih tinggi dan bermakna kepada Sabah. Saya percaya kita mampu melakukannya.

Ucapan tahniah dan terima kasih juga ditujukan kepada Jawatankuasa Majlis Makan Malam yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan majlis malam ini.

Sekian. Terima kasih dan selamat menjamu selera.

 

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.