Print       Share


Ucapan Gabenor Muhammad bin Ibrahim, FCB di Karnival Kewangan Sarawak

Speaker: Muhammad bin Ibrahim, FCB Venue: CityOne Megamall, Kuching Language: Bahasa Malaysia Speech Date: 24 Nov 2017

Selamat datang ke Majlis Perasmian Karnival Kewangan Sarawak. Karnival ini adalah hasil inisiatif serta kerjasama pelbagai kementerian, agensi dan institusi kewangan. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak kerana sudi hadir bersama kita hari ini dan seterusnya merasmikan Karnival Kewangan Sarawak ini.

Ucapan saya akan menyentuh tiga fokus kepada, kepentingan inovasi dalam perkembangan ekonomi dan sektor kewangan. Ini termasuk agenda kewangan yang inklusif bagi membolehkan orang awam untuk memperoleh perkhidmatan kewangan yang berkualiti. Saya juga akan menyentuh tentang kepentingan budaya ilmu dalam meningkatkan kadar celik kewangan di kalangan rakyat.

Kepentingan inovasi untuk memacu perkembangan ekonomi dan sektor kewangan di Sarawak

Sarawak merupakan ekonomi yang ketiga terbesar di Malaysia, 10% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Pertumbuhan ekonomi negeri dijangka terus berkembang. Kerajaan negeri, melalui inisiatif “Digital Sarawak”, akan menggalakkan inovasi dan ini adalah selaras ke arah era digital pada masa yang akan datang. Aplikasi mudah alih, SarawakPay yang dilancarkan baru-baru ini, akan mentransformasikan sistem pembayaran elektronik di negeri ini. Applikasi ini akan membolehkan penyampaian perkhidmatan kewangan ke seluruh pelusuk daerah secara lebih cekap, secara lebih berkesan.

Satu inisiatif baru yang akan dilancarkan adalah “Perlindungan Tenang”. Produk perlindungan yang membawa logo ini menawarkan pelan perlindungan yang mampu dimiliki, mudah difahami dan mempunyai proses tuntutan yang mudah. Produk insurans ini direka untuk memenuhi permintaan segmen isi rumah yang masih belum mempunyai perlindungan insurans dan Takaful, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Ia juga disasarkan kepada lebih 8 juta rakyat Malaysia yang berkerja, serta 700,000 enterpris mikro, yang akan meningkatkan jangkauan perlindungan insurans dan Takaful di kalangan rakyat di negara ini. Selain itu, produk-produk ini akan dipasarkan secara lebih inovatif dan meluas menerusi pelbagai saluran termasuk telefon bimbit dan internet.

Agenda kewangan yang inklusif bagi memastikan rakyat memperoleh perkhidmatan kewangan yang berkualiti

Bank Negara Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada kewangan inklusif. Dalam hal ini, perkhidmatan kewangan di Sarawak kini telah melebar ke kawasan pedalaman seperti di Telang Usan dan Belaga. Usaha yang melibatkan ejen bank akan diteruskan lagi supaya tiada segmen masyarakat akan tercicir dalam menikmati perkhidmatan kewangan. Rangkaian ejen bank di Sarawak telah meningkat kepada 632 ejen dari hanya 14 ejen pada tahun 2012. Kini, perkhidmatan perbankan asas telah disediakan ke hampir 97% daerah dan telah dapat dinikmati oleh 99.7% penduduk di negeri ini.

Allahyarham Mantan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan Haji Satem pernah berkata, “Kita cuba sedaya upaya untuk membawa pembangunan ke kawasan luar bandar, tapi ia masih tidak mencukupi. Kita akan terus berusaha dengan lebih gigih”. Bagi menyokong aspirasi ini, kerjasama strategik telah dijalinkan untuk melaksanakan program Mini Karnival Kewangan di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Penganjuran Mini Karnival Kewangan di kawasan luar bandar telah membuka jalan untuk menambah baik kemudahan perkhidmatan kewangan seperti tambahan mesin ATM dan kaunter bergerak bagi memenuhi keperluan kewangan penduduk setempat.

Bagi melebarkan lagi penglibatan penanggung insurans di Sarawak, saya ingin mengumumkan bahawa Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) akan menubuhkan cabangnya secara rasminya di Sarawak. Inisiatif ini dijangka dapat memperluaskan lagi rangkuman insurans dengan lebih bersepadu.

Saya juga ingin menyentuh isu berkaitan rumah mampu milik. Kadar kelulusan pembiayaan untuk pinjaman perumahan di Sarawak adalah antara yang tertinggi sekali di Malaysia, iaitu sebanyak 75%, dan kebanyakannya untuk pembelian rumah pertama. Institusi kewangan telah melaksanakan tanggungjawab sosialnya untuk membantu rakyat untuk memiliki rumah mampu milik.

Adalah penting untuk semua pihak untuk berkerjasama dan berganding bahu untuk menyelesaikan masalah rumah mampu milik. Pemaju perumahan boleh membantu dengan menyediakan kemudahan kepada pembeli rumah mampu milik seperti menawarkan perkhidmatan pembayaran deposit rumah, memberikan jaminan kewangan dan menganjurkan aktiviti penyaluran maklumat tentang lokasi penawaran rumah mampu milik di seluruh negara.

Di samping itu, Bank Negara Malaysia turut menyokong usaha kerajaan dalam menggubal Akta Sewaan Rumah Kediaman untuk melindungi penyewa dan pemilik rumah, seperti yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini. Bank Negara Malaysia juga sedang bekerjasama dengan Cagamas untuk menyokong usaha mempergiatkan pembinaan serta penawaran rumah untuk disewakan melalui penyediaan suatu model pembiayaan yang inovatif untuk penyewa dan pemaju.

Budaya Ilmu dan Celik Kewangan di Kalangan Rakyat

Penerapan budaya ilmu untuk celik kewangan adalah tanggungjawab bersama pengguna dan industri kewangan. Dengan adanya pengetahuan mengenai pengurusan kewangan, kita dapat memahami risiko dan pulangan, mengamalkan perancangan kewangan jangka panjang, dan menghindar dari terjebak dalam penipuan kewangan.

Menyedari hakikat ini, Bank Negara Malaysia telah berkolaborasi dengan pelbagai pihak untuk menubuhkan Financial Education Network. Satu strategi diperingkat nasional dibangunkan bagi meningkatkan tahap celik kewangan dan kesejahteraan kewangan di kalangan rakyat. Strategi nasional ini disasarkan kepada seluruh lapisan masyarakat, bermula dari usia kanak-kanak sehinggalah golongan dewasa. Satu laman web juga akan dibina untuk orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan kewangan dengan lebih baik.

Inisiatif bersepadu untuk meningkatkan kadar celik kewangan di kalangan rakyat akan terus dilaksanakan. Sebagai contoh, program “Train the Trainer” dengan kerjasama Pejabat Ketua Menteri Sarawak baru-baru ini, telah melatih pegawai-pegawai kaunselor daripada 156 agensi di bawah seliaan Pejabat Ketua Menteri. Diharapkan inisiatif ini dapat memberi impak yang berganda dan terus menyumbang kepada peningkatan kadar celik kewangan.

Bank Negara Malaysia turut mengambil berat tentang pembangunan modal insan di seluruh negara. Setiap tahun, Bank Negara Malaysia akan menaja pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Universiti. Pada tahun ini, tajaan biasiswa lebih menfokuskan kepada pelajar daripada golongan keluarga yang berpendapatan rendah.

Modal insan yang berkualiti akan membantu meningkatkan prestasi sesebuah organisasi dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara. Sejajar dengan usaha ini, dengan sukacitanya, saya ingin mengumumkan pemberian biasiswa khas kepada dua orang kakitangan agensi kerajaan negeri Sarawak, bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana di luar negara.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya bagi pihak Bank Negara Malaysia dan semua pihak yang terlibat ingin mengucapkan sekian terima kasih. Saya berharap agar semua yang hadir akan memanfaatkan sepenuhnya kehadiran di Karnival Kewangan dengan mengunjungi semua gerai-gerai pameran dan turut serta dalam aktiviti yang direka khas untuk warga Sarawak. Harapan saya agar Karnival Kewangan ini akan berjaya memberi impak positif kepada warga Sarawak dalam mempertingkatkan pengetahuan pengurusan kewangan. Ini akan menjadi titik permulaan dalam membina masyarakat celik kewangan dan jika pendekatan ini kita dilakukan dengan bijak, ia akan mengubah hidup ke arah yang lebih sejahtera.

Terima kasih

 

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.