Print       Share


Ucapan Gabenor di Karnival Kewangan Kedah

Speaker: Muhammad bin Ibrahim, FCB Venue: TH Hotel & Convention Center, Alor Setar Language: Bahasa Malaysia Speech Date: 19 Jan 2018

Alhamdulillah pada hari ini kita dapat berkumpul untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Kewangan Kedah.

Saya ingin merakamkan setulus penghargaan kepada Yang Berhormat Dato’ Wira Dr. Ku Abdul Rahman bin Ku Ismail, atas kesudian beliau untuk mewakili Menteri Besar Kedah dan merasmikan karnival pada hari ini.

Karnival Kewangan Kedah merupakan siri keempat progam karnival kewangan yang dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia dan industri kewangan. Karnival Kewangan pertama telah diadakan pada Januari 2017, di Kuala Lumpur. Pemilihan Kedah sebagai lokasi karnival adalah bersesuaian dengan hasrat kami secara berterusan untuk meningkatkan tahap pendidikan kewangan di kalangan rakyat. Di Kedah lebih 60% daripada jumlah mukim di negeri ini masih menghadapi perkhidmatan kewangan yang terhad.

Karnival ini akan membuka peluang kepada orang ramai untuk memahami pelbagai aspek kewangan, termasuk produk serta perkhidmatan kewangan, akses kepada pembiayaan dan bantuan penyelesaian masalah kewangan. Bank Negara Malaysia akan menganjurkan karnival kewangan seterusnya di wilayah Pantai Timur pada separuh kedua tahun ini.

Saya ingin menyentuh tiga perkara pada hari ini:

  • Pertama, mengenai kepentingan pengurusan kewangan yang berhemat,
  • Kedua, penggunaan sistem pembayaran secara elektronik (e-pembayaran) sebagai pemangkin meningkatkan produktiviti.
  • Ketiga, manfaat “ekonomi perkongsian” atau “shared economy” sebagai strategi untuk menambah pendapatan isi rumah.

Kepentingan pengurusan kewangan yang berhemat bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif

Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah berkata “Kita perlu senantiasa mempersiapkan diri melalui latihan dan menajamkan kemahiran hidup dari semasa ke semasa”. Kata-kata ini telah menjadi kenyataan. Pelbagai agensi dan institusi kewangan telah terus bergiat dan berusaha untuk meningkatkan tahap celik kewangan sebagai satu kaedah untuk menajamkan kemahiran hidup di kalangan rakyat.

Rakyat yang celik kewangan akan dapat membuat keputusan kewangan dengan lebih baik. Mereka biasanya lebih berhemat dalam merancang keperluan kewangan, bebas daripada belenggu hutang dan bersedia untuk menjalani kehidupan selepas bersara. Sesungguhnya, pengurusan kewangan yang berhemat dapat menyumbang kepada pengurusan sumber ekonomi yang lebih berkesan dan membantu ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia berserta agensi-agensi kerajaan serta institusi kewangan telah merencana untuk mendekati rakyat dalam program rangkuman kewangan. Sebanyak 48 program rangkuman kewangan telah dilaksanakan di kawasan-kawasan pedalaman negeri Kedah seperti Nami, Kupang, Jeniang dan Lubuk Merbau sejak tahun 2012.

Di peringkat nasional pula, usaha terus digembleng untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat dengan pelbagai inisiatif dan pendekatan baharu. Yang terkini, Bank Negara Malaysia telah memperkenalkan satu prakarsa baharu pada petang ini yang dinamakan “eCCRIS”. eCCRIS merupakan platform untuk mengakses laporan CCRIS secara atas talian. Ia membolehkan pengguna kewangan memantau maklumat pinjaman tanpa mengira waktu dan tempat melalui akses internet. Inisiatif ini juga akan meningkatkan tahap kecekapan serta memudahkan dan memendekkan proses penilaian pinjaman orang ramai daripada 11 institusi kewangan di Malaysia.

Kini rakyat Malaysia di Kedah dapat mendapatkan produk perlindungan insurans/takaful mampu milik dengan pelancaran “Perlindungan Tenang” pada bulan November yang lalu. Perlindungan Tenang disasarkan khusus untuk isi rumah daripada golongan berpendapatan rendah yang masih belum mempunyai sebarang produk perlindungan. Bagi orang ramai yang ingin memiliki produk perlindungan insurans/takaful mampu milik bolehlah mencari produk yang tertera logo “Perlindungan Tenang”.

Sistem e-pembayaran sebagai pemangkin peningkatkan produktiviti

Migrasi kepada pembayaran secara elektronik oleh agensi kerajaan dan pihak swasta akan memberi banyak kemudahan kepada orang ramai disamping menjimatkan kos, meningkatkan keselamatan serta memperkasa daya saing ekonomi. Sejajar dengan perkembangan pesat dalam teknologi digital, promosi e-pembayaran sedang giat dijalankan disamping kempen untuk mengurangkan penggunaan wang tunai dan cek.

Sehubungan dengan itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kedah atas pelaksanaan inisiatif e-pembayaran di sekolah-sekolah semasa program Digital Langkawi 2017. Usaha seumpama ini merupakan langkah yang positif bagi memastikan aspirasi “Cashless Society” dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50) tercapai.

Sejak pelaksanaan Pelan Sektor Kewangan 2011-2020, penggunaan cek telah menurun sebanyak 42% daripada 205 juta cek kepada 120 juta cek pada tahun 2017. Walau bagaimanapun, penggunaan cek oleh golongan usahawan dalam urusan pembayaran kepada agensi-agensi kerajaan masih tinggi, iaitu sebanyak 19 juta cek pada tahun 2016.

Dalam usaha untuk mengurangkan lagi jumlah penggunaan cek dan wang tunai, inisiatif Kad Korporat MyDebit bakal dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd atau PayNet serta institusi kewangan tempatan. Kad Korporat MyDebit ini membolehkan institusi korporat atau usahawan membuat pembayaran kepada agensi-agensi kerajaan sama ada di kaunter agensi kerajaan berkenaan, ataupun di cawangan-cawangan bank terpilih tanpa menggunakan cek atau wang tunai.

Manfaat “ekonomi perkongsian” untuk menambah pendapatan isi rumah

Perkembangan pesat teknologi digital telah mewujudkan satu model ekonomi baharu yang dikenali sebagai “Ekonomi Perkongsian”. Melalui model ini, seseorang individu boleh menyewa aset milikan orang lain melalui platform digital dan seterusnya membuka peluang pendapatan dan pekerjaan.

Bagi memastikan usaha ini menjadi kenyataan, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah menerajui kempen digital untuk meningkatkan pendapatan tambahan di kalangan rakyat Malaysia melalui inisiatif digital eRezeki dan eUsahawan. Individu dan isi rumah yang berpendapatan sederhana dan rendah boleh mengambil peluang menerusi eRezeki untuk menambah pendapatan mereka. Sementara itu, usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menceburi perniagaan digital melalui program eUsahawan agar mereka dapat terus kekal kompetitif serta berpeluang untuk menembusi pasaran antarabangsa. Bagi membuka peluang ini kepada rakyat negeri Kedah, Karnival Kewangan Kedah membawa program eRezeki dan eUsahawan. Semua pengunjung digalakkan menyertai program ini dan mengambil manfaat daripadanya.

Walaupun dalam usaha untuk menambah pendapatan, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati agar tidak terjebak dalam skim cepat kaya dan pelaburan yang belum tentu kesahihannya. Terlalu ramai orang yang terjebak dalam skim cepat kaya kerana janji-janji manis, yang menawarkan pulangan yang tidak munasabah.

Jadilah pelabur yang bijak dengan mendapatkan maklumat yang sah sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Orang ramai boleh melawati laman web BNM untuk membuat semakan tentang individu dan syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.

Akhir kata, saya berharap rakyat negeri Kedah dapat meraih manfaat daripada karnival ini. Kunjungilah gerai-gerai pameran yang disediakan dan marilah turut serta dalam aktiviti yang berunsurkan pengurusan kewangan yang direka khas untuk anda semua. Insya-Allah diharapkan semoga Karnival Kewangan ini dapat menjadi titik permulaan dalam ikhtiar kita untuk memperkasakan masyarakat celik kewangan.

 

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.