Cetak       Kongsi


Ucaptama oleh Penolong Gabenor di Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Ke-13

Penyampai Encik Aznan bin Abdul Aziz Tempat: The Rizqun International Hotel, Gadong, Brunei Darussalam Bahasa: Bahasa Melayu Tarikh Ucapan: 23 Jul 2019

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya rafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta`ala, kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dipertemukan dalam Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Kali Ke-Tiga Belas (13) pada tahun ini. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada ISRA selaku pihak penganjur atas jemputan pada hari ini.

Sesungguhnya, penganjuran Muzakarah sejak lebih sedekad yang lalu telah memberi ruang dan peluang kepada kita bersama-sama mengislahkan sistem kewangan Islam di peringkat nusantara. Pelbagai idea dan inovasi telah dicetuskan melalui pemikiran dan diskusi intelek. Ini turut disusuli langkah-langkah bagi memanfaatkan potensi dan memacu prestasi kewangan Islam.

Pemerkasaan sektor kewangan ke arah pembangunan yang mampan

Jika kita teladani falsafah Syariah dengan lebih mendalam, perihal memelihara kemakmuran sejagat dan mencapai kelestarian hidup, merupakan asas yang penting dalam pembangunan sosio-ekonomi umat keseluruhannya. Dalam hal ini, Islam telah menggariskan prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan dan ketelusan sebagai panduan yang jelas dalam aktiviti muamalat dan kemasyarakatan.

Malah, falsafah ini telah diterima secara universal oleh komuniti kewangan global sebagai suatu agenda yang khusus. Contohnya, prinsip-prinsip kelestarian telah dicerminkan ke dalam kerangka Matlamat Pembangunan Lestari (“Sustainable Development Goals”) atau SDG, yang memfokuskan ke arah pembangunan sosio-ekonomi yang saksama serta pemeliharaan alam sekitar yang baik. Prinsip-prinsip ini telah dijadikan suatu sandaran yang penting dalam rumusan solusi produk dan perkhidmatan kewangan di peringkat global.

Sungguhpun demikian, keunikan falsafah Syariah berbanding amalan global ialah falsafah Syariah berpaksikan kepada kepatuhan Syariah. Jika kita renungi lanskap kewangan Islam pada hari ini, ianya telah mengalami transformasi yang melangkaui imaginasi. Integrasi dengan pasaran global melalui perdagangan merentas sempadan yang dipacu oleh revolusi digital telah mengubah corak dan rentak urus niaga kewangan Islam. Pelbagai inovasi produk dan perkhidmatan baharu telah diperkenal dan ditawarkan bagi memenuhi kehendak pelanggan yang semakin sofistikated. Walau bagaimanapun, permasalahan sosio-ekonomi semakin meruncing. Antaranya, jurang kekayaan yang semakin ketara saban tahun. Berdasarkan Laporan OXFAM yang dibincangkan di Forum Ekonomi Dunia 2019 yang berlangsung di Davos, seramai 3.8 bilion individu miskin tegar telah mengalami kemerosotan kekayaan sebanyak 11 peratus pada tahun 2018[2]. Hal ini menimbulkan persoalan, “sejauh manakah nilai teras Syariah telah diterapkan dalam penawaran produk kewangan Islam dalam menangani isu-isu sosio-ekonomi semasa?”

Tidak dinafikan bahawa terdapat inisiatif untuk menerapkan nilai-nilai ini ke dalam kerangka polisi kewangan Islam. Misalnya, di Malaysia, pengenalan Rangkakerja Pengantaraan Berasaskan Nilai (“Value-based Intermediation Framework”)[3] atau VBI pada tahun 2018 bertindak sebagai pemangkin kepada transformasi amalan kelestarian dalam sektor kewangan Islam. Khususnya, rangkakerja VBI memainkan peranan penting dalam penyelerasan antara nilai, amalan dan operasi institusi kewangan Islam ke arah mensasarkan impak positif bukan sahaja kepada pengguna produk dan perkhidmatan kewangan, malahan juga kepada alam sekitar melalui penciptaan solusi kewangan yang sejajar dengan agenda kelestarian.

Sehubungan itu, usaha-usaha mencapai matlamat kelestarian ini perlu dipamerkan sebagai suatu komitmen yang serius dalam merapatkan jurang kemakmuran sosio-ekonomi, terutamanya dalam kalangan negara-negara Islam. Jurang pelaburan yang luas antara negara membangun dalam pembiayaan projek kelestarian[4] memberi isyarat yang jelas bahawa terdapat keperluan yang mendesak untuk industri kewangan Islam memainkan peranannya dengan lebih agresif.

Oleh yang demikian, ke arah merealisasi aspirasi ini, komuniti cendekiawan Syariah mempunyai peranan yang penting dalam bersama-sama melaksanakan anjakan paradigma (paradigm shift) dalam merumus inisiatif yang progresif dan berupaya merubah (game changing initiatives) bercirikan tiga elemen utama:

Pertama: Penerapan instrumen sosial ke dalam produk kewangan bagi menjana impak yang lebih signifikan;
Kedua: Pemerkasaan kolaborasi antara sektor dalam meningkatkan sinergi dan hasil dalam inisiatif sosial; dan
Ketiga: Integrasi teknologi untuk capaian yang lebih menyeluruh dan efisien.

Penerapan instrumen sosial ke dalam produk kewangan bagi menjana impak yang lebih signifikan

Dalam usaha memastikan pembangunan sosio-ekonomi yang progresif, pelaksanaan zakat, wakaf dan sadaqah tidak seharusnya terhad kepada penyediaan keperluan asas dan sara diri semata-mata. Seringkali juga ianya disalurkan khusus bagi tujuan keagamaan seperti membina masjid dan madrasah. Sebaliknya, instrumen kewangan sosial ini seharusnya turut disasarkan bagi tujuan membantu golongan fakir miskin mencapai kemampuan mandiri dalam jangka masa panjang. Hal ini dapat dicapai sekiranya pihak berkuasa dan institusi kewangan bekerjasama dalam menyalurkan dana kewangan sosial ini sebagai sumber bantuan modal perniagaan yang dilengkapi dengan khidmat latihan, nasihat dan kepakaran teknikal dan pengurusan.

Inisiatif seumpama ini dapat membantu golongan fakir dan miskin keluar daripada had kadar kemampuan minimum (had kifayah). Misalnya, di Indonesia, bagi setiap 100 orang penerima zakat sebagai modal usaha ekonomi, sebanyak 17% telah berjaya keluar daripada status asnaf dalam tempoh kurang 5 tahun. Ini merupakan suatu pencapaian yang memberangsangkan. Melihatkan kepada hal ini, masih banyak usaha yang dapat dipergiat bagi merapatkan jurang sosio-ekonomi masyarakat serantau.

Oleh itu, institusi kewangan Islam perlu tampil dengan solusi dan produk kewangan yang lebih inovatif dan inklusif melalui penerapan instrumen kewangan sosial ke dalam penawaran produk dan perkhidmatan oleh institusi kewangan Islam. Inisiatif ini menjadikan pengurusan dan penggunaan fasiliti instrumen sosial menjadi lebih berkesan dan menyeluruh. Di Malaysia misalnya, kerjasama antara enam (6) buah institusi perbankan Islam dengan Majlis Agama Islam Negeri membolehkan institusi perbankan Islam menawarkan kemudahan kutipan dan penyaluran dana bagi pelanggan mereka menerusi platform digital MyWakaf, lantas memudahkan orang ramai untuk berwakaf.[5] Platform ini bukan sahaja memudahkan aktiviti wakaf, malah telah memupuk budaya ketelusan menerusi penzahiran maklumat yang terperinci berkenaan penggunaan dana wakaf yang dikumpul. Pada tahun 2018, Bank Muamalat Malaysia Berhad sebagai salah sebuah institusi perbankan dalam kerjasama strategik tersebut telah melaporkan kutipan dana wakaf sebanyak RM20 juta.[6]

Selaras dengan prinsip yang diterapkan dalam Syariah berkenaan amanah dalam pentadbiran, pihak yang diberi mandat untuk menerajui institusi pentadbiran sosial juga perlu menitikberatkan pelaksanaan tata urus yang baik (good governance) dengan integriti dan akauntabiliti. Sejarah telah membuktikan bahawa melalui kebijaksanaan Khalifah Umar bin Abdul Aziz dalam mentadbir urusan baitul mal dan perbendaharaan negara, beliau telah berjaya melancarkan urusan kewangan melalui operasi kutipan dan penyaluran dana zakat dan wakaf yang tersusun dan efisien, lantas mewujudkan kesejahteraan dalam masyarakat sehingga tiada lagi fakir miskin di zaman tersebut[7]. Sirah ini perlu dijadikan tauladan dalam membentuk budaya tadbir urus yang baik di kalangan institusi pentadbiran zakat dan wakaf serta institusi kewangan Islam melalui pematuhan prinsip pendedahan (disclosure) dan ketelusan (transparency) untuk meningkatkan keyakinan masyarakat awam, terutamanya dalam pengurusan dan penyaluran dana zakat dan wakaf.  

Satu contoh yang boleh dilihat adalah akreditasi ISO 9001 Majlis Ugama Islam Singapura[8] yang diperolehi daripada Singapore Quality Institute. Akreditasi tersebut memberi tumpuan terhadap penzahiran maklumat yang jelas, tepat dan relevan untuk makluman umum, selain mengiktiraf kualiti pengurusan dana dan harta wakaf. Hal ini perlu dititikberatkan oleh badan-badan pengurusan zakat dan majlis-majlis agama. Kualiti urus tadbir juga dapat dipertingkatkan melalui kerjasama strategik bersama institusi kewangan berikutan peraturan-peraturan tata urus pentadbiran korporat sedia ada yang perlu dipatuhi oleh institusi kewangan secara am. Penzahiran sedemikian bukan sahaja bertujuan memaklumkan tentang aktiviti kewangan sosial yang telah dilaksanakan, malah dapat memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung impak positif kepada pembangunan sosio-ekonomi yang telah mereka hasilkan menerusi sumbangan zakat, wakaf dan sadaqah.

Kini, mobilisasi maklumat digital bergerak dengan pantas. Bagi memastikan capaian maklumat yang meluas, penzahiran melalui media sosial dan laman sesawang memainkan peranan yang penting dalam memastikan komunikasi yang lebih efektif. Justeru, institusi pentadbiran zakat dan wakaf perlu mengasah kecekapan penggunaan media sosial bagi menyalurkan maklumat yang tepat dan relevan kepada masyarakat umum.

Pemerkasaan kolaborasi antara sektor dalam meningkatkan sinergi dan hasil dalam inisiatif sosial

Pepatah ada menyebut: “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.” Dalam suasana ekonomi global yang semakin mencabar, jalinan kerjasama pelbagai sektor dalam pengurusan zakat, wakaf dan sadaqah adalah kritikal. Ini dapat memastikan pembangunan sosio-ekonomi yang progresif dan inklusif.

Melalui kerjasama sebegini, pelbagai sektor berpeluang menggembleng dan memanfaatkan kepakaran masing-masing dalam pengagihan dana sosial dan merangka strategi yang mampan dan efektif dalam usaha menangani masalah sosio-ekonomi serta merintis potensi instrumen ini ke tahap optimum.

Kolaborasi sedemikian dapat membuahkan hasil pada skala yang lebih besar. Pelbagai inisiatif yang boleh saya kongsikan melalui kerjasama seumpama ini. Antaranya ialah inisiatif klinik bergerak, hasil kerjasama antara Bank Muamalat Malaysia Berhad, Perbadanan Wakaf Selangor dan dua buah hospital dalam menyediakan akses kepada perubatan melalui kenderaan yang diubah suai menjadi klinik mudah alih. Perkhidmatan klinik ini bukan sahaja tertumpu kepada golongan sasaran sahaja, malah ia turut mensasarkan kepada kawasan bencana yang memerlukan tumpuan perubatan dan kesihatan. Sejak pengenalannya, klinik mudah alih ini telah berkhidmat kepada lebih 9,000 pesakit di pelbagai cawangan perkhidmatannya yang merangkumi 3 kawasan di Selangor dan Kelantan[9].

Kolaborasi antara Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Directorate General of New and Renewable Energy and Energy Conservation, Indonesia (DJEBTKE), yang disokong oleh Badan Amil Zakat Indonesia (BAZNAS) dan Bank Jambi juga wajar dicontohi. Pada tahun 2018, kerjasama ini telah berjaya melancarkan satu projek penyediaan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) dengan menggunakan dana zakat untuk menyediakan kemudahan elektrik kepada penduduk di daerah Jambi, Indonesia. Kira-kira 803 buah rumah yang melibatkan 4,500 penduduk di daerah Jambi telah menikmati kemudahan elektrik yang akan menjadi pemangkin kepada kelestarian ekonomi, pendidikan dan kesihatan penduduk tempatan.[10]Inisiatif ini menunjukkan kemampuan sinergi pelbagai sektor dalam menghasilkan impak yang positif kepada matlamat kelestarian. 

Menerusi perkongsian pengalaman sebegini dari negara-negara serumpun, seperti di lapangan forum pada hari ini, saya percaya ianya akan mencetuskan idea-idea baharu dalam membina inisiatif sosial yang akan memberi impak yang lebih besar dan bermakna. Oleh itu, kerjasama dan sinergi serantau perlu dipergiat dalam memperkasa instrumen kewangan sosial demi manfaat bersama.

Integrasi teknologi untuk capaian yang lebih menyeluruh dan efisien

Evolusi teknologi kini telah mengubah persekitaran perniagaan menjadi lebih dinamik. Industri kewangan Islam sudah tentunya tidak terkecuali daripada revolusi teknologi yang mencabar norma-norma amalan kewangan Islam semasa.

Dalam meningkatkan daya upaya institusi ke arah capaian yang lebih menyeluruh dan efisien, penerokaan solusi yang berinovatif menggunakan teknologi merupakan suatu langkah ke hadapan yang perlu digarap dengan tangkas. Contohnya, di Malaysia, saingan daripada 93 syarikat fintech[11] yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam tidak seharusnya dianggap sebagai penghalang daripada terus berdaya maju. Bahkan ianya harus dilihat sebagai peluang usaha sama integrasi teknologi untuk mencipta solusi yang lebih futuristik.

Potensi ini juga bukan suatu subjek yang asing dalam konteks penyediaan solusi kewangan sosial. Jika kita tinjau inisiatif salah satu syarikat fintech iaitu Finterra, satu sistem yang menggunakan teknologi blockchain yang dinamakan sebagai Waqf Chain telah dibangunkan. Ia bukan sahaja dapat mempercepatkan proses mengumpul dana wakaf untuk pembangunan sesuatu projek wakaf, tetapi juga dapat menjamin ketelusan dalam pengurusannya.

Integrasi teknologi ini juga, jika diterokai ke tahap yang optimum, mampu untuk memberi penyelesaian kepada isu sosio-ekonomi yang mendasari masalah jurang capaian kepada perkhidmatan asas. Misalnya, dalam usaha merawat kesenjangan ekonomi yang berlaku di Indonesia, potensi pembayaran digital berasaskan kod QR telah diterokai bagi memangkin usaha rangkuman kewangan (financial inclusion) yang mencakupi semua segmen masyarakat[12]. Inisiatif ini merupakan sinergi usaha sama antara kerajaan Indonesia, institusi kewangan, dan juga syarikat-syarikat fintech.

Dalam merancakkan usaha integrasi teknologi ini ke dalam penciptaan solusi berasaskan instrumen kewangan Islam, peranan para cendekiawan Syariah perlu diperkasa dalam meningkatkan kecekapan penguasaan ilmu teknologi supaya solusi-solusi yang dirintis ini dapat mencapai matlamat kelestarian yang diingini.

Oleh itu, integrasi teknologi dalam pelaksanaan instrumen kewangan sosial bukan sahaja dapat memastikan pelaksanaan yang lebih efisien dan teratur, malah dapat menyumbang dalam mengukuhkan kewangan Islam pada masa hadapan.

Kesimpulan

Memandangkan kita sedang berhadapan dengan suasana sektor kewangan yang begitu dinamik dan mencabar, strategi pelaksanaan solusi kewangan sosial perlu lebih anjal dan kreatif. Selaku para cendekiawan Syariah, pengawal selia, pengamal industri kewangan Islam dan individu secara keseluruhannya, kita seharusnya sentiasa peka dan sedia untuk beradaptasi dan berinovasi untuk kekal relevan pada masa akan datang.

Dalam usaha merealisasi aspirasi serta melaksanakan inspirasi ini, peranan kita adalah amat penting dalam mendidik masyarakat bahawa industri kewangan Islam bukanlah sekadar untuk memaksimumkan keuntungan semata-mata. Bahkan ia turut mensasarkan penambahbaikan pembangunan sosio-ekonomi dan menangani krisis yang melanda dunia pada hari ini melalui instrumen kewangan yang bersesuaian sejajar dengan keperluan Syariah.

Justeru, sinergi yang lebih efektif memerlukan rangkuman peranan semua pihak untuk melaksanakan amanah dengan penuh integriti dan beretika serta sentiasa bekerjasama untuk merencana dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Akhir kata, saya berdoa dan berharap agar muzakarah pada kali ini dapat berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan.

Sekian, Wabillahi taufik wal hidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

__________________________________________

Rujukan

[1]International Syariah Research Academy for Islamic Finance (ISRA).

[2]2OXFAM International Report 2019, “Public Good or Private Wealth?”

[3]Value-based Intermediation (VBI).

[4] Financing for Sustainable Development 2019.

[5]6 bank Islam bangunkan dana wakaf https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2017/09/322944/6-bank-islam-bangunkan-dana-wakaf

[6]Bank Muamalat urus dana wakaf RM20 juta https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/10/489945/bank-muamalat-urus-dana-wakaf-rm20-juta

[7]Wan Sofiah Wan Ahmad, Ahmad Irdha Mokhtar, Zulkefli Aini, “Pengurusan Khalifah Umar bin Al-Khattab dalam Sistem Zakat”, Prosiding Seminar Pengurusan Islam 2015, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Accessible at http://www.ukm.my/skim/wp-content/uploads/2016/01/Pengurusan-Khalifah-Umar-Al-Khattab-dalam-Sistem-Zakat.pdf

[8]The World Bank, INCEIF and ISRA, 2019: “Maximising Social Impact Through Waqf Solution”

[9]Selangor Sultan launches Wakaf Selangor Muamalat mobile clinic services https://www.nst.com.my/news/nation/2017/09/285520/selangor-sultan-launches-wakaf-selangor-muamalat-mobile-clinic-services

[10]United Nations Development Program (UNDP) in Indonesia, 2018. http://www.id.undp.org/content/indonesia/en/home/presscenter/pressreleases/2018/4/first-in-indonesia--zakat-financing-gives-rays-of-hope-to-four-v.html?cq_ck=1523069998716

[11]Islamic Fintech Report 2019.

[12]Deloitte, 2018: “Bolstering Financial Inclusion in Indonesia: How QR Code Can Drive Digital Payments and Enable Financial Inclusion”.

 

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.