Speaker :
Governor Dr. Zeti Akhtar Aziz |
Saya amat berbesar hati kerana diberikan peluang untuk berucap pada sesi penutup sidang panel Simposium Ekonomi tahun ini, bagi membicarakan tentang perspektif dasar global di Jackson Hole. Ucapan saya akan berkisar pada dasar global dari perspektif seorang penggubal dasar dari sebuah ekonomi sedang pesat membangun, untuk membincangkan tentang perubahan dalam perkembangan terkini dasar global, kesan limpahan dasar global khususnya dalam ekonomi sedang pesat membangun, dan keutamaan dasar negara sedang pesat membangun di Asia dalam persekitaran ini.
Landskap ekonomi dan kewangan global telah melalui perubahan yang amat pesat sejak dua dekad kebelakangan ini. Namun motivasi dan kemajuan yang mendasari proses penggubalan dasar tidak mencerminkan perubahan ini. Perbezaan antara dasar dengan landskap baharu ini telah menjadi semakin ketara sejak krisis kewangan global pada tahun 2008. Lantaran itu, penggubal dasar telah menghadapi cabaran untuk menangani peningkatan risiko dan ketidakseimbangan sebelum krisis, menyekat dan membendung krisis sebaik sahaja berlaku, dan seterusnya menguruskan kesan selepas krisis.
Pada peringkat negara, perubahan ini adalah nyata. Perubahan yang sebahagian besarnya didorong oleh inovasi dan kemajuan dalam teknologi kini telah menghasilkan sistem kewangan yang lebih kompleks dan lebih saling berhubung-kait dengan kegiatan kewangan yang telah tersebar luas melangkaui pengantara kewangan tradisional. Lebih ketara lagi ialah perubahan asas yang berkaitan dengan globalisasi kewangan, yang telah menyebabkan dunia lebih saling berhubung dan saling bergantung.Sejak bermulanya krisis ini, tindak balas dasar pada peringkat negara telah dilaksanakan dengan menyeluruh dan pada skala yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ini bertujuan untuk memulihkan operasi sistem kewangan dan untuk mengelakkan kemerosotan yang ketara dalam kegiatan ekonomi. Dasar monetari dilonggarkan dengan ketara, apabila kadar faedah diturunkan dengan cepat ke paras paling rendah. Pengembangan fiskal secara kumulatif pada tempoh 2007-2009 berjumlah hampir mencecah purata empat peratus daripada KDNK. Sementara itu, keutamaan dasar sektor kewangan adalah untuk menstabilkan pasaran kewangan dan memulihkan aliran kredit.
Meskipun kemelesetan ekonomi telah dapat dielakkan, dasar monetari yang akomodatif telah diteruskan dengan intervensi secara meluas dalam pasaran kewangan untuk menyokong pemulihan. Walau bagaimanapun, dasar fiskal beralih ke arah menangani kemampanan fiskal dan keberhutangan awam yang meningkat berikutan rangsangan dan sokongan fiskal yang ketara kepada sektor kewangan. Cabaran yang dihadapi adalah untuk mencapai konsolidasi ini, di samping memastikan bahawa pemulihan ekonomi dan keyakinan pasaran tidak terjejas.
Dari segi reformasi kewangan yang menyeluruh untuk mengatasi kelemahan yang mengakibatkan krisis dan memperkukuh daya tahan sektor kewangan, penekanan telah tertumpu pada usaha mempertingkat pengawalan dan menangani kebimbangan kewangan makro untuk mengelak peningkatan ketidakseimbangan kewangan. Dasar ini turut disokong oleh pelbagai perubahan dalam rangka kerja perundangan dan struktur keinstitusian.
Satu aspek dasar yang belum diberikan perhatian yang meluas ialah dimensi penggubalan dasar merentas sempadan, meskipun terdapat kesalingbergantungan antara ekonomi yang semakin meningkat. Dunia yang semakin saling berhubung-kait telah dicerminkan oleh kejutan kewangan dan ekonomi yang cepat tersebar ke seluruh ekonomi global dan sistem kewangan antarabangsa pada tahun 2008, dan gangguan rantaian bekalan global yang berpunca dari Jepun pada tahun 2011.
Walaupun berlaku perubahan ini, pengaturan keinstitusian dan tadbir urus bagi kerjasama dan keselarasan dasar masih belum mencapai tahap yang setara dengan tahap integrasi ekonomi dan kewangan global. Meskipun usaha secara bersendirian oleh sesebuah ekonomi adalah penting untuk memastikan bahawa mereka tidak menjadi punca kepada ketidakstabilan negara lain di dunia, namun ini tidak lagi boleh menjamin kestabilan secara kolektif. Ekonomi sedang pesat membangun yang lebih terbuka dan bersepadu dengan ekonomi global dan sistem kewangan antarabangsa adalah yang paling terjejas ekoran perkembangan ini.
Krisis kewangan global dengan jelas menunjukkan kepentingan dimensi antarabangsa dalam penggubalan dasar global. Pada peringkat awal krisis, penurunan kadar dasar yang diselaraskan, peningkatan kemudahan mudah tunai dalam dolar AS oleh beberapa bank pusat utama, dan langkah pengembangan fiskal bersepadu yang belum pernah dilakukan sebelum ini dan bersepadu telah dapat menangani kemelesetan ekonomi global. Penubuhan Lembaga Kestabilan Kewangan (Financial Stability Board, FSB) pada tahun 2009, bersama-sama dengan Jawatankuasa Penyeliaan Perbankan Basel (Basel Committee of Banking Supervision), juga telah menjadi tumpuan bagi banyak usaha pembaharuan dalam sektor kewangan global. Meskipun ini merupakan satu langkah yang positif, semua usaha ini masih baharu dan sederhana dalam persekitaran yang perubahan asas telah pun berlaku sejak beberapa lama, serta telah menjadi penting dan meluas.
Cabaran Ekoran Kesan Limpahan Dasar Global
Saya akan beralih pula kepada cabaran-cabaran yang wujud daripada kesan limpahan dasar global, khususnya dalam ekonomi sedang pesat membangun. Dengan ekonomi-ekonomi dunia kini saling bergantung dan kesan penularan merentas sempadan menjadi fenomena yang ketara dalam persekitaran baharu ini, kesan limpahan dasar global tersebut dengan mudah tersebar ke bahagian lain dunia melalui hubungan ekonomi dan kewangan. Walaupun akibat gangguan ekonomi dan kewangan global sememangnya telah menjadi tumpuan perbincangan, namun kesan limpahan dasar global kurang dibincangkan.
Kesan limpahan yang ketara dan berterusan adalah akibat pelbagai dasar yang dilaksanakan dalam ekonomi maju, termasuk pelonggaran monetari yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, rangsangan fiskal yang disusuli oleh konsolidasi fiskal, penambahbaikan dan penyelesaian sektor kewangan, inisiatif untuk mengurangkan keberhutangan sektor awam dan swasta, dan kesan daripada pembaharuan pengawalseliaan global.
Persekitaran monetari global yang sangat akomodatif telah menjana mudah tunai global yang lebih tinggi. Walaupun keadaan ini menyumbang kepada pengaliran semula kredit, ini memburukkan lagi aliran masuk modal yang meningkat secara mendadak dalam ekonomi sedang pesat membangun. Aliran masuk ini telah menyebabkan pengukuhan yang ketara dalam mata wang, kenaikan harga aset, pertumbuhan kredit yang lebih kukuh, dan bagi sesetengah ekonomi, pertumbuhan adalah melebihi tahap potensi (overheating).
Namun begitu, aliran masuk ini telah diikuti oleh aliran keluar modal, berikutan aktiviti pembayaran balik hutang terutamanya oleh kumpulan perbankan di negara-negara yang terjejas oleh krisis kewangan. Pembayaran balik hutang oleh kerajaan dan isi rumah, khususnya Amerika Syarikat, juga telah mengukuhkan lagi trend ini. Pengurangan hutang, khususnya oleh bank-bank, telah memberikan kesan pada tahun 2009, berikutan tindakan oleh bank-bank di Amerika Syarikat untuk mengukuhkan kedudukan modal masing-masing, dan yang lebih terkini oleh bank-bank di Eropah untuk memenuhi keperluan kecukupan modal yang baharu. Bagi menghadapi keadaan yang mencabar dalam aktiviti pemerolehan modal, sebahagiannya dapat dicapai melalui usaha mengurangkan aset, sama ada melalui penjualan aset, khususnya dalam ekonomi yang berprestasi baik, atau penarikan balik pinjaman.
Operasi ini bukan sahaja mempunyai implikasi terhadap harga aset tetapi pada pergerakan mata wang, kerana dana daripada penjualan aset dibawa balik ke negara asal. Aliran modal yang bertukar arah berikutan pembayaran balik hutang itu turut disusuli oleh pembetulan dalam harga aset dan susut nilai dalam mata wang. Bagi ekonomi sedang pesat membangun, mempunyai pasaran kewangan yang lebih maju dan liberal akan memberikan kesan yang lebih ketara daripada aktiviti tersebut, dan tahap turun naik yang lebih besar dalam harga aset dan pergerakan mata wang.
Kesan limpahan dasar global juga telah mempengaruhi ekonomi benar melalui perdagangan dan aliran pelaburan. Ekonomi dunia, termasuk ekonomi sedang pesat membangun, telah mendapat manfaat yang amat besar daripada rangsangan fiskal yang menyokong pemulihan ekonomi. Walau bagaimanapun, apabila kemerosotan dalam kemampanan fiskal telah menjadi nyata, kesan daripada pengurangan perbelanjaan awam terhadap pertumbuhan telah menyumbang kepada aktiviti perdagangan dunia dan pelaburan merentas sempadan yang makin perlahan. Sektor eksport dalam ekonomi sedang pesat membangun, khususnya di Asia, telah mengalami kelembapan yang ketara. Meskipun pelaburan langsung asing terus mengalir ke dalam ekonomi sedang pesat membangun khususnya di Asia, skala aktiviti pelaburan itu juga telah menjadi sederhana.
Pembaharuan pengawalseliaan pada peringkat antarabangsa dan inisiatif sehala dalam beberapa ekonomi maju yang utama juga memberikan kesan yang diingini dan yang tidak diingini. Pembaharuan itu, yang telah memberikan tumpuan pada penghasilan rangka kerja pengawalseliaan global yang lebih kukuh dan peningkatan daya tahan sistem perbankan, masih lagi pada peringkat awal pelaksanaan. Walaupun terlalu awal untuk menyatakan kebimbangan terhadap piawaian kehematan yang baharu tersebut, kebimbangan ini bagaimanapun adalah perlu untuk memastikan bahawa manfaat daripada daya tahan sistemik yang lebih kukuh akan melebihi sebarang kos terhadap proses pengantaraan kewangan dan ekonomi benar berfungsi dengan cekap.
Bagi Asia, piawaian baharu ini menyumbang secara positif kepada integrasi kewangan serantau kerana menggalakkan pendekatan serantau yang lebih konsisten dalam pengawalan. Piawaian ini turut berfungsi untuk mengukuhkan pengaturan kestabilan kewangan serantau, melalui rangka kerja yang lebih mantap untuk pengawasan institusi kewangan yang penting, secara sistematik pada peringkat serantau. Oleh itu, pembaharuan ini telah menggalakkan peningkatan komunikasi dan penyelarasan yang lebih rapi terhadap perkembangan kestabilan kewangan antara para pengawal selia di rantau Asia.
Namun begitu, pembaharuan kewangan ini terus memberikan cabaran kepada ekonomi sedang pesat membangun. Secara khususnya, preskripsi pengawalseliaan yang seragam bertentangan dengan struktur pengawalan yang setara dengan risiko. Inisiatif pengawalseliaan secara bersendirian lain, walaupun tidak perlu dilaksanakan di luar negara-negara tersebut, juga semakin berpotensi untuk memberikan kesan yang lebih meluas, berikutan operasi merentas sempadan yang nyata oleh institusi terbabit.
Keutamaan Dasar Ekonomi Sedang Pesat Membangun di Asia
Saya akan beralih pula kepada keutamaan dasar ekonomi sedang pesat membangun di Asia. Meskipun kebanyakan ekonomi sedang pesat membangun adalah kukuh ketika menghadapi krisis kewangan global, penggubal dasar terus menghadapi cabaran persekitaran ekonomi global yang lebih lemah serta kesan limpahan daripada dasar global. Walaupun ekonomi sedang pesat membangun di Asia telah dipengaruhi oleh perkembangan luaran ini, kebanyakannya telah menunjukkan daya tahan masing-masing pada tempoh ini. Saya akan menumpukan ucapan ini pada dasar-dasar yang telah menyumbang kepada daya tahan ini. Pertama, daya tahan ini adalah hasil daripada dasar-dasar yang dilaksanakan serta pembaharuan kewangan dan ekonomi sepanjang tempoh sedekad yang lalu berikutan krisis kewangan Asia. Kedua, terdapatnya instrumen yang telah dipertingkat dan fleksibiliti dasar untuk dilaksanakan dalam persekitaran ini. Ketiga ialah peningkatan kerjasama dan pemuafakatan di Asia dalam bidang pengawasan, penilaian risiko dan kelemahan kepada rantau ini, dan dalam mempertimbangkan pilihan dasar untuk menangani banyak cabaran baharu.
Satu anjakan dasar yang penting berikutan krisis kewangan Asia ialah usaha menyeimbangkan semula ekonomi dan mempelbagai sumber pertumbuhan. Ini telah melibatkan pelbagai dasar dan pembaharuan untuk menggalakkan permintaan dalam negeri, terutamanya dalam aktiviti penggunaan dalam negeri dan pelaburan oleh sektor swasta. Dasar makroekonomi yang akomodatif secara umumnya disokong oleh dasar dan pembaharuan untuk mengukuhkan sistem kewangan bagi memastikan bahawa permintaan dalam negeri disokong oleh sektor kewangan. Dengan peningkatan dalam pendapatan, aktiviti penggunaan dan pelaburan swasta telah berkembang dengan ketara dan menjadi pemacu utama pertumbuhan di Asia. Secara kumulatif, peningkatan permintaan dalam negeri di rantau ini telah mentransformasikan Asia untuk menjadi pasaran pengguna yang amat luas. Keadaan ini juga telah mendorong perdagangan antara rantau yang lebih besar yang saling memperkukuh pertumbuhan di rantau ini. Daripada diterajui eksport, permintaan dalam negeri kini telah menjadi sumber pertumbuhan yang penting. Lantaran itu, Asia kini telah beralih daripada menjadi pengeluar global kepada pengguna global.
Pelbagai pembaharuan kewangan yang dilaksanakan dalam beberapa ekonomi sedang pesat membangun di Asia telah mewujudkan pengantara kewangan yang kukuh dari segi penampan modal dan mudah tunai, serta amalan pengurusan risiko dan tadbir urus yang lebih baik. Ini telah membolehkan proses pengantaraan kewangan terus berfungsi tanpa gangguan semasa krisis kewangan global baru-baru ini. Rangka kerja pengawalseliaan yang lebih menyeluruh juga telah dilengkapkan dengan pengaturan pengawasan yang dipertingkat dan pengawasan penyeliaan yang lebih intrusif. Pelbagai instrumen dasar, termasuk dasar kehematan makro, telah diperkenalkan untuk mengurangkan dan menguruskan risiko yang berpunca daripada lebihan dan peningkatan ketidakseimbangan dalam sistem kewangan. Peluang itu juga telah diambil oleh kebanyakan bank pusat di rantau ini untuk mengembalikan kadar faedah pada paras yang wajar sebaik sahaja berlakunya pemulihan. Kadar faedah, walaupun masih akomodatif, telah dinaikkan daripada paras terendahnya. Seterusnya, dengan pasaran kewangan yang lebih maju, kini kejutan lebih tersebar ke seluruh sistem kewangan. Semua ini telah membolehkan sistem kewangan menjadi pengantara aliran modal yang lebih baik dalam persekitaran turun naik aliran modal yang tinggi.
Walaupun begitu, aliran modal yang melonjak dan berubah arah terus menjadi cabaran utama kepada pelaksanaan dasar. Strategi dasar yang khusus juga telah dilaksanakan untuk mengurangkan kemungkinan ketidakstabilan akibat aliran modal ini. Pembaharuan kewangan berikutan krisis kewangan Asia telah menyebabkan sistem kewangan di Asia beralih ke arah sistem yang lebih berorientasikan pasaran dan meningkatkan fleksibiliti kadar pertukaran.
Ini telah membantu meningkatkan keupayaan untuk membuat penyesuaian terhadap turun naik yang meningkat dalam sistem kewangan. Kemajuan selanjutnya dalam liberalisasi juga telah meningkatkan potensi dalam menjalankan urus niaga pertukaran asing, termasuk urus niaga dalam portfolio luaran dan pelaburan langsung di luar negara. Ini telah menghasilkan aliran modal dua hala yang lebih terkawal, lantas menyumbang kepada keadaan yang lebih teratur dalam pasaran kewangan.
Langkah-langkah pengurusan mudah tunai, pengawalan berhemat termasuk langkah-langkah kehematan makro, dan langkah-langkah intervensi yang lebih giat termasuk sekatan ke atas aliran seperti ini juga telah dilaksanakan dalam pelbagai peringkat untuk menghadapi turun naik dalam aliran modal. Sebahagian besar pengawalan berhemat telah dilaksanakan, seperti pengenaan siling dan had pendedahan luaran, atau tempoh minimum pemegangan bagi instrumen domestik tertentu, tetapi yang tidak membuat perbezaan mengikut pemastautin,. Secara keseluruhan, ini telah membolehkan sektor kewangan, pasaran dan ekonomi untuk berfungsi tanpa sebarang gangguan semasa tempoh krisis kewangan global.
Meskipun dasar-dasar pada peringkat negara adalah penting, dasar ini telah dilengkapkan dengan tahap kerjasama dan pemuafakatan serantau yang lebih tinggi. Rantau Asia kini lebih ke hadapan dalam bidang pengaturan pengawasan, jaring keselamatan kewangan dan pengurusan krisis. Rangka kerja yang diwujudkan semasa tempoh ekonomi yang baik ini juga disokong oleh usaha yang berterusan dalam membangunkan persekitaran pengawalseliaan yang konsisten memandangkan kehadiran bank-bank Asia yang lebih banyak di setiap negara. Ini diperkukuh oleh kerjasama antara penyelia negara dan dalam pembangunan pengaturan bagi penyelesaian merentas sempadan.
Platform serantau telah diwujudkan bagi tujuan mengadakan forum yang berstruktur untuk menilai risiko dan kelemahan dalam rantau ini, bagi memastikan tindakan pencegahan awal dapat diambil. Usaha sama juga terus dilaksanakan dalam bidang pembangunan infrastruktur kewangan serantau, termasuk pasaran kewangan dan sistem pembayaran untuk memudahkan pengantaraan sumber kewangan yang cekap di rantau ini. Usaha sama juga diadakan dalam bidang pencegahan pengubahan wang haram, untuk memastikan integriti sistem kewangan yang semakin bersepadu di Asia. Seterusnya, usaha sama juga telah mencapai kemajuan dalam bidang pembinaan keupayaan, bagi mengukuhkan keupayaan institusi bank-bank pusat di rantau ini menangani cabaran baharu dalam persekitaran yang baharu.
Akhir sekali, salah satu trend yang paling penting tetapi kurang diberikan perhatian dalam kebanyakan ekonomi sejak dua dekad kebelakangan ini ialah peningkatan yang ketara dalam ketidaksamarataan di dalam ekonomi. Krisis ekonomi telah memburukkan trend ini memandangkan keadaan pengangguran yang tinggi di banyak bahagian dunia. Dalam banyak bidang penggubalan dasar, ketidaksamarataan seringkali tidak diberikan pertimbangan yang sewajarnya. Di Asia, keadaan ini sedang ditangani pada dua peringkat - pada peringkat negara adalah bagi membangunkan sistem kewangan yang inklusif dan jaring keselamatan sosial yang lebih baik. Pada peringkat serantau pula, supaya inisiatif serantau menjadi inklusif, bagi memastikan, tanpa mengira peringkat pembangunan, negara-negara dalam kumpulan ini akan membina kemampuan dan keupayaan masing-masing untuk memperoleh manfaat daripada kemajuan di rantau ini.
Kesimpulan
Saya ingin mengakhiri ucapan ini dengan menyatakan bahawa dasar global yang baharu telah mengambil kira cabaran landskap ekonomi dan kewangan global yang baharu. Dengan dunia yang semakin saling berhubung dan saling bergantung ini, pengukuhan dimensi merentas sempadan dalam penggubalan dasar merupakan satu keperluan.
Asia telah mengambil kesempatan daripada tempoh yang secara relatif stabil ini untuk memperkukuh integrasi ekonomi dan kewangan, serta mengukuhkan potensi ekonomi negara. Walau bagaimanapun, Asia akan terus terdedah kepada perkembangan luaran dan kejutan pada masa hadapan. Untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan ini dengan lebih baik, keutamaan dasar adalah untuk membina daya tahan. Ini bukan hanya dengan mempunyai penampan dan keupayaan keinstitusian, tetapi juga untuk secara kolektif menguruskan cabaran yang baharu, dan sekali gus bersedia untuk menyumbang dengan lebih kukuh lagi dalam membina kestabilan dan pertumbuhan ekonomi global.

