News & Media Centre

 
>  Ucapan & Temubual > Ucapan Alu-aluan oleh Gabenor di Forum Kewangan Islam Global 2012
 
 
Ucapan Alu-aluan oleh Gabenor di Forum Kewangan Islam Global 2012
 

Speaker : Governor Dr. Zeti Akhtar Aziz
Venue : Kuala Lumpur
Date : 19 September 2012
Language : Bahasa Melayu

 
 

Dekad ini merupakan tempoh perubahan paling besar dalam landskap kewangan global. Dunia kini juga sedang berhadapan dengan impak krisis kewangan global yang berterusan. Meskipun persekitaran kewangan dan ekonomi global kini kian mencabar, kewangan Islam masih terus berkembang. Tempoh ini telah menjadi suatu penentu buat kewangan Islam. Pertumbuhan pantas serta pengantarabangsaan kewangan Islam yang giat dalam dekad ini telah meningkatkan peranannya dalam memperkukuh hubungan ekonomi antarabangsa antara rantau yang berlainan di dunia.

Saya amat berbangga dan berbesar hati kerana berpeluang mengalu-alukan kedatangan anda semua ke Forum Kewangan Islam Global (Global Islamic Finance Forum, GIFF) 2012 yang ketiga pagi ini. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri Republik Turki, Tuan Yang Terutama (TYT) Ali Babacan atas kesudian beliau memenuhi undangan menyampaikan Syarahan Awam di Forum hari ini. Kami amat berbesar hati atas kehadiran TYT dan merasa bangga kerana berpeluang mendengar syarahan oleh TYT.

Kewangan Islam:
Memupuk Hubungan Global

Dimensi antarabangsa kewangan Islam ternyata semakin penting dalam era baharu ini. Kewangan Islam terus menunjukkan daya maju dan daya saingnya dalam persekitaran kewangan yang lebih liberal dan global. Saiz jumlah aset kewangan Islam kini melebihi USD1 trilion - hasil pertumbuhan yang berterusan sejak pertengahan tahun 1990-an. Kini terdapat lebih 600 institusi kewangan Islam yang sedang beroperasi di lebih 75 buah negara. Institusi perbankan Islam yang sedia ada juga semakin giat meluaskan operasi mereka ke negara-negara baharu, sekali gus meningkatkan aliran kewangan merentas sempadan. Bilangan peserta antarabangsa dalam pasaran kewangan Islam juga semakin bertambah.

Sejak lewat tahun 1990-an, pasaran sukuk telah muncul sebagai satu bentuk pengantaraan yang penting dalam kewangan Islam. Sukuk memainkan peranan penting dalam struktur pembiayaan projek infrastruktur, pelaburan dalam sektor utiliti, khususnya projek air dan tenaga, dan dalam sektor perkhidmatan iaitu dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan pengangkutan. Kewangan Islam pada dasarnya menyediakan tawaran nilai (value propositions) yang jelas kepada para penerbit dan pelabur global. Bagi penerbit, terdapat akses kepada sumber dana dan mudah tunai baharu. Juga, melalui langkah pengenalan kelas aset baharu, pelabur dapat meraih manfaat daripada pempelbagaian portfolio dan peluang pelaburan baharu yang sejajar dengan aktiviti pelaburan yang produktif.

Pengantarabangsaan kewangan Islam: Manfaat yang Saling Memperkukuh

Kekukuhan kewangan Islam berakar umbi daripada fungsi menyediakan perkhidmatan kepada ekonomi benar. Satu ciri penting kewangan Islam ialah transaksi kewangannya perlu berlandaskan transaksi ekonomi yang sebenar. Oleh itu, apabila kewangan Islam merentas sempadan negara, ia memudahkan aliran kewangan lantaran menyokong aliran perdagangan dan pelaburan antarabangsa. Hasilnya, hubungan ekonomi boleh ditingkatkan dan kesalinghubungan ekonomi antara satu sama lain diperkukuh.

Dalam persekitaran global semasa, ekonomi sedang pesat membangun telah menunjukkan daya tahannya dengan keupayaannya untuk terus mencatat pertumbuhan meskipun terdapat perkembangan global yang lebih sederhana. Oleh itu, prospek bagi pertumbuhan yang saling memperkukuh adalah amat cerah berikutan kesalinghubungan ekonomi yang lebih ketara. Perdagangan dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun kini mencakupi lebih separuh daripada jumlah perdagangan dunia. Permintaan dalam ekonomi sedang pesat membangun yang semakin meningkat juga menjana peluang pelaburan. Dalam persekitaran ini, kewangan Islam berpotensi besar untuk memudahkan aliran perdagangan dan pelaburan yang saling memperkukuh. Dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam, hasrat kami adalah untuk menjadikan hab ini berkait rapat dengan rangkaian hab kewangan yang lain. Dengan berbuat demikian, hubungan ekonomi kami dengan negara lain di dunia akan dapat ditingkatkan.

Pengantarabangsaan kewangan Islam yang lebih nyata akan mempengaruhi corak integrasi kewangan dan ekonomi global, dan secara khusus, membantu mewujudkan kembali integrasi kewangan dan ekonomi antara negara di sepanjang laluan sutera lama dari Asia ke Turki dan Timur Tengah serta Afrika, dan ke pasaran kewangan yang telah lama berkembang dan ekonomi maju. Pada awal dekad ini, aktiviti perdagangan telah beralih ke arah ekonomi sedang pesat membangun yang mencakupi 63 peratus atau USD37 trilion daripada jumlah perdagangan dunia pada akhir tahun 2011, iaitu peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding sedekad yang lalu.

Sementara sektor perbankan Islam memainkan peranan penting sebagai pengantara aliran kewangan merentas sempadan, pasaran sukuk pula menjadi segmen penting dalam kewangan Islam kerana menyediakan platform untuk mewujudkan kesalinghubungan antarabangsa. Pasaran sukuk telah menunjukkan keupayaannya menjadi pengantara dana merentas sempadan dan telah menyumbang kepada pengagihan dana yang efektif dalam sistem kewangan global. Sukuk melambangkan produk yang benar-benar bersifat global bagi aktiviti perolehan dana dan pelaburan antarabangsa. Kini semakin banyak agensi pelbagai hala, negara, agensi Kerajaan dan syarikat, termasuk syarikat multinasional, bergantung pada pasaran sukuk untuk mendapatkan pembiayaan. Malah komposisi pelabur sukuk yang pelbagai merentas benua juga telah mempertingkat dimensi antarabangsa pasaran sukuk. Di Malaysia, pasaran sukuknya telah berkembang menjadi pasaran sukuk pelbagai denominasi mata wang dengan terbitan sukuk perintis dalam dolar AS, dolar Singapura dan Renminbi.

Pengantarabangsaan Kewangan Islam: Faktor Kejayaan Utama
Satu perkembangan baharu yang semakin nyata ialah pengantarabangsaan kewangan Islam yang berlaku dengan pantas, lantas memerlukan sokongan kuat tiga faktor penting bagi memastikan kemampanannya. Pertama, penawaran pelbagai rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan Islam global bermutu tinggi yang boleh memenuhi keperluan perniagaan antarabangsa. Dalam fasa urus niaga antarabangsa yang makin meningkat, kewangan Islam perlu menjadi dinamik dan inovatif dengan penekanan terhadap usaha membangunkan penyelesaian kewangan yang pelbagai dan menyeluruh mengikut prinsip Syariah bagi memenuhi keperluan perniagaan yang berbeza-beza termasuk keperluan perniagaan antarabangsa yang seterusnya membantu pelaburan merentas sempadan.

Kedua, mempunyai pengantara dan peserta pasaran yang pelbagai dan dinamik yang berfokus global. Ini termasuk mempunyai peserta pasaran perbankan Islam, takaful dan pasaran modal yang operasinya melangkaui sempadan negara bagi merebut peluang pada peringkat global. Penyedia perkhidmatan sampingan global yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai Syariah juga berperanan penting dalam menyediakan perkhidmatan profesional sokongan buat pengantara dan peserta pasaran tersebut untuk melaksanakan aktiviti merentas sempadan dengan berkesan.

Selain itu, bekalan tenaga mahir yang diperlukan juga merupakan satu lagi faktor penting dalam memacu sektor kewangan Islam ke arah pengantarabangsaan yang lebih luas. Landskap kewangan baharu memerlukan bekalan tenaga mahir perniagaan yang bertaraf dunia dan ahli lembaga pengarah yang arif tentang risiko berkaitan dengan pengantarabangsaan. Kerjasama lebih erat antara industri dengan penyedia perkhidmatan pendidikan adalah penting dalam menyokong keperluan tenaga mahir industri ini dalam fasa pembangunan baharunya. Hari ini, kita akan menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara peserta industri dengan institusi akademik ditandatangani. MoU ini bertujuan untuk menubuhkan pusat penyelidikan pengurusan kekayaan Islam. Usaha yang wajar ini adalah khusus untuk menghasilkan penyelidikan gunaan dalam bidang pengurusan kekayaan Islam. Usaha ini dijangka menggalakkan inovasi yang akan memberikan manfaat global dan juga menyumbang kepada penetapan piawaian industri dalam komponen penting industri kewangan Islam.

Ketiga, hubungan dan kaitan yang efektif antara pasaran kewangan global akan dibantu oleh pendorong perniagaan, khususnya dalam bidang perundangan, percukaian dan pengawalan. Landskap global baharu yang bercirikan aliran kewangan merentas sempadan yang meningkat antara rantau yang berbeza bangsa dan budaya turut menekankan keperluan yang lebih tinggi untuk mengetahui dan memahami amalan dalam negara yang berbeza. Keperluan amat penting ini membawa kepada permintaan tinggi terhadap penggunaan dokumen dan perjanjian yang standard dalam kalangan peserta pasaran kewangan bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keseragaman pasaran, di samping mengurangkan kos transaksi dalam usaha kita merapatkan kesalinghubungan global. Dokumen dan amalan yang standard bagi sebilangan produk telah diterima pakai oleh negara-negara melalui perjanjian dua hala dan pelbagai hala. Ini telah memudahkan terbitan instrumen pasaran kewangan dan menyumbang kepada peningkatan mudah tunai dalam pasaran kewangan Islam serta kesalinghubungan antara pasaran yang lebih tinggi. Pemahaman dan kejelasan yang lebih mendalam mengenai hal-hal Syariah juga akan membantu ke arah penumpuan dan pengharmonian pentafsiran tersebut merentas negara sekali gus menyumbang kepada pembangunan produk dan perkhidmatan kewangan Islam.

Merealisasikan Potensi Merentas Sempadan dan Meningkatkan Hubungan Ekonomi antara Negara

Melalui jangkauan antarabangsa dan keupayaan menyediakan penyelesaian kewangan yang menyeluruh, kewangan Islam telah membuka sempadan baharu berserta peluang baharu. Sambil kita memasuki persekitaran global yang semakin tidak pasti, kita juga wajar mengkaji semula strategi untuk meningkatkan daya tahan kewangan Islam.

Forum Kewangan Islam Global 2012 ini yang bertemakan "Pengantarabangsaan Kewangan Islam: Meningkatkan Hubungan Ekonomi Antara Negara" tertumpu pada prospek antarabangsa industri kewangan Islam dan potensi peranannya yang besar dalam memperkukuh hubungan ekonomi merentas sempadan. Lebih 500 peserta dari lebih 50 negara dari seluruh dunia berkumpul hari ini di Forum ini untuk meneliti prospek ini. Dalam program plenari dan program serentak termasuk Forum Pengawal Selia, Forum Cendekiawan Syariah Antarabangsa, Persidangan Pengurusan Mudah Tunai Islam Global dan Forum Percukaian Kewangan Islam Global, satu acara kemuncak baharu yang turut diadakan ialah Forum Meningkatkan Hubungan Ekonomi Antara Negara yang bertujuan membincangkan prospek dan peluang kewangan Islam merentas sempadan serta meneliti kesalinghubungan pasaran yang boleh dijalin melalui kewangan Islam. Beberapa MoU penting juga akan ditandatangani sepanjang Forum ini, lantas menyerlahkan komitmen dan kerjasama antarabangsa yang semakin kukuh.

Sebagai mengakhiri ucapan saya ini, izinkan saya melahirkan penghargaan kepada barisan penceramah terkemuka atas sumbangan mereka sepanjang GIFF 2012 ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan sekali lagi kepada Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri Republik Turki, TYT Ali Babacan atas kesudian beliau meluangkan masa dan menyampaikan ucapan pada Forum ini.

 
© Bank Negara Malaysia, 2012. All rights reserved.
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 15 January 2013
 

Stay connected

FacebookFacebook
Engage with us
TwitterTwitter
Follow our latest updates
 
Best viewed 1024 x 768 with Internet Explorer 7.0 and Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 21 January 2013