News & Media Centre

 
>  Ucapan & Temubual > Ucaptama oleh Gabenor pada Seminar Mengenai Penyelesaian Perdagangan dan Pelaburan Renminbi di Malaysia: Prospek Akan Datang
 
 
Ucaptama oleh Gabenor pada Seminar Mengenai Penyelesaian Perdagangan dan Pelaburan Renminbi di Malaysia: Prospek Akan Datang
 

Speaker : Governor Dr. Zeti Akhtar Aziz
Venue : Kuala Lumpur
Date : 27 September 2012
Language : Bahasa Melayu

 
 

Perubahan dalam konfigurasi ekonomi global adalah ketara sepanjang dekad ini. Dalam landskap yang berubah ini, Asia muncul sebagai komponen yang semakin penting dalam ekonomi dunia. Dalam tempoh ini, kebanyakan ekonomi Asia telah mencatat pertumbuhan ekonomi yang sangat tinggi meskipun dalam persekitaran yang mencabar. Dengan pendapatan yang meningkat di rantau ini, pasaran Asia secara kumulatif juga telah menjadi sangat besar. Trend ini seterusnya telah mendorong kepada peningkatan aktiviti perdagangan dan pelaburan serantau. Trend terkini yang baru muncul di rantau Asia ialah peningkatan dalam integrasi kewangan serantau yang memudahkan peningkatan dalam aliran kewangan merentas sempadan di rantau ini yang membiayai aktiviti pelaburan yang produktif.

Susulan krisis kewangan global yang berlaku baru-baru ini, cabaran paling nyata yang dihadapi ekonomi dunia adalah dalam memastikan kekukuhan ekonomi yang berterusan. Meskipun kebanyakan ekonomi setiap negara telah melaksanakan pelbagai langkah dasar untuk menggalakkan pertumbuhan, tidak kurang penting ialah usaha untuk mengekalkan perdagangan dunia yang akan saling memperkukuh pertumbuhan global. Perkembangan ekonomi Republik Rakyat China (RR China) dalam perubahan global ini serta pengaruh renminbi yang semakin meningkat membawa kepada suatu era baharu yang mencabar. Dari segi saiz dan prestasi ekonominya, RR China mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pertumbuhan dunia. Permintaan, perdagangan dan aktiviti pelaburan merentas sempadannya akan mengukuhkan potensi ini. Trend penggunaan renminbi dalam penyelesaian perdagangan dan aktiviti pelaburan merentas sempadan sejak kebelakangan ini akan memudahkan potensi ini.

Saya berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekalian ke Seminar Penyelesaian Perdagangan dan Pelaburan Renminbi. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengalu-alukan kehadiran penceramah yang diundang daripada People’s Bank of China dan Kementerian Perdagangan (Mofcom) RR China. Saya juga ingin mengalu-alukan ahli panel daripada industri kewangan dan sektor korporat yang ada bersama-sama pada hari ini untuk berkongsi pengalaman mereka beroperasi dalam persekitaran ekonomi dan kewangan semasa yang mencabar.

Hubungan ekonomi antara Malaysia dengan RR China telah lama terpahat dan terbina pada asas yang kukuh. Hari ini, RR China merupakan rakan perdagangan Malaysia terbesar yang merangkumi 14% daripada jumlah perdagangan negara. Malaysia juga mempunyai kedudukan sebagai rakan perdagangan RR China yang terpenting di rantau ASEAN. Perdagangan negara dengan RR China telah terus berkembang dan meningkat sebanyak 20% setahun pada dua dekad kebelakangan ini. Kini perdagangan dua hala negara dengan RR China ialah tujuh kali lebih tinggi daripada paras pada awal tahun 1990-an.

Hubungan ekonomi negara juga telah berkembang luas melangkaui perdagangan dan meliputi sektor perkhidmatan, khususnya sektor kewangan, pelancongan dan pendidikan. RR China adalah antara lima pasaran pelancongan Malaysia yang terbesar dan warganegara RR China mewakili golongan pelajar asing yang terbesar di universiti dan kolej swasta di Malaysia. Pelaburan dua hala juga bertambah penting, terutama sekali dengan perjanjian antara kedua-dua Kerajaan baru-baru ini yang melibatkan pewujudan taman industri di kedua-dua negara. Asas kepada hubungan ekonomi dua hala yang kukuh ini ialah keupayaan untuk memanfaatkan sinergi dan kesalinglengkapan ekonomi yang wujud antara ekonomi kedua-dua negara secara berterusan.

Penggunaan renminbi untuk penyelesaian perdagangan merupakan pelindung yang semula jadi untuk perniagaan yang mempunyai obligasi renminbi. Penggunaan renminbi juga menghasilkan penjimatan kos dan mengurangkan risiko kadar pertukaran, khususnya pengurangan pendedahan kepada turun naiknya mata wang ketiga. Walaupun dolar akan terus kekal sebagai mata wang penting untuk penyelesaian obligasi perdagangan, ketersediaan renminbi akan membolehkan syarikat menggunakan mata wang alternatif untuk penyelesaian perdagangan tersebut.

Manfaat yang akan diraih mungkin besar memandangkan asas perdagangan yang luas dan semakin meningkat dengan RR China yang berjumlah RM167 bilion pada tahun 2011. Dalam melaksanakan urus niaga menggunakan mata wang tempatan, pengeksport dan pengimport di RR China akan dapat memansuhkan kos lindung nilai dan penukaran. Pengurangan kos urus niaga untuk pengeksport dan pengimport akan menyumbang kepada harga yang lebih berdaya saing untuk pengeksport dan pengimport. Walau bagaimanapun, manfaat sepenuhnya dijangka dapat direalisasikan secara berperingkat-peringkat. Manfaat ini akan bertambah apabila jumlah perdagangan yang diselesaikan dengan menggunakan renminbi meningkat dan mencapai jumlah yang kritikal dari segi saiz, dan seterusnya mendorong dalam merealisasikan ekonomi berskala.

Untuk renminbi dipertimbangkan sebagai mata wang pilihan oleh para pengeksport dan pengimport untuk menyelesaikan obligasi perdagangan mereka sebagai tambahan kepada mata wang utama yang digunakan, perlu wujud sumber pembiayaan renminbi yang cekap dan berdaya saing dari segi kos serta saluran pelaburan yang pelbagai. Khususnya, kemajuan peringkat awal dalam tiga bidang amatlah perlu bagi menyokong penggunaan renminbi, iaitu meningkatkan akses kepada mudah tunai renminbi, mempunyai infrastruktur dan rangka kerja sokongan, serta menyediakan maklumat mengenai penggunaan renminbi untuk transaksi perdagangan dan pelaburan produktif. Sejak lebih tiga tahun yang lalu, iaitu pada tahun 2009, Bank menandatangani Perjanjian Pengaturan Swap Mata Wang (Currency Swap Arrangement, CSA) dengan People’s Bank of China, yang kemudiannya diperbaharui awal tahun ini dengan tambahan peruntukan sebanyak RMB180 bilion. Objektifnya adalah untuk memastikan bekalan renminbi tersedia dalam pasaran kewangan domestik bagi memenuhi permintaan sektor perniagaan.

Infrastruktur penting yang disediakan pada tahun 2010 ialah sebut harga langsung antara renminbi dengan ringgit dalam pasaran pertukaran asing antara bank dalam Sistem Perdagangan Pertukaran Asing China (China Foreign Exchange Trade System, CFETS). Selain itu, usaha telah diambil untuk meningkatkan ketelusan kadar pertukaran antara renminbi dengan ringgit bagi urus niaga penyelesaian berkaitan perdagangan. Pada bulan Mac tahun ini, sistem penyelesaian kasar masa nyata di Malaysia telah diperluas untuk meliputi perkhidmatan penyelesaian menggunakan renminbi. Usaha ini menyediakan platform penjelasan dan penyelesaian yang selamat dan cekap yang menyokong perdagangan dan aliran pelaburan dalam renminbi.

Program kesedaran di seluruh negara oleh Bank dengan kerjasama institusi perbankan dan dewan perniagaan juga telah meningkatkan kepekaan mengenai renminbi bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan. Bank juga telah menyertai pasaran bon antara bank di China. Pada tahun 2011 sahaja, saiz penyelesaian perdagangan renminbi di Malaysia meningkat empat kali ganda berbanding paras setahun yang lalu sekali gus mencerminkan minat yang bertambah untuk menggunakan renminbi sebagai mata wang penyelesaian.

Penggunaan renminbi yang lebih meluas turut disokong oleh pelbagai peserta korporat dari segi saiz dan merentas semua sektor. Bukan sahaja bilangan peserta korporat bertambah, malah secara relatif terdapat anjakan penting dalam penggunaan renminbi sebagai mata wang penyelesaian perdagangan daripada syarikat lebih kecil kepada syarikat yang lebih besar. Penyertaan korporat juga menjadi lebih meluas daripada aktiviti ekonomi merentas segmen yang lebih besar, iaitu dalam industri berasaskan komoditi, serta sektor perkilangan dan perkhidmatan, termasuk pelancongan dan pendidikan. Jumlah institusi kewangan yang menyertai penyelesaian perdagangan menggunakan renminbi juga meningkat. Kini terdapat 19 institusi kewangan yang membantu penyelesaian perdagangan dengan menggunakan kaedah tersebut, iaitu pertambahan dua kali ganda berbanding dengan tahun 2009.

Baru-baru ini, terdapat peningkatan penggunaan renminbi sebagai mata wang pelaburan dan pendanaan. Pada tujuh bulan pertama 2012, deposit renminbi dalam sistem perbankan meningkat tiga kali ganda. Juga ketara ialah minat yang bertambah dalam usaha mendapatkan pembiayaan dalam renminbi untuk memenuhi keperluan pendanaan, dengan dua terbitan sukuk renminbi luar pesisir dari Malaysia dan terbitan bon renminbi oleh sebuah syarikat Malaysia.

Meskipun kemajuan yang dicapai setakat ini adalah sederhana, namun potensi adalah cerah memandangkan jumlah perdagangan dua hala merentas sempadan dan pelaburan langsung asing adalah besar antara ekonomi kita. Perdagangan yang diselesaikan dalam renminbi pada masa ini hanya mewakili lebih sedikit daripada 1% daripada perdagangan dua hala Malaysia dengan China. Terdapat potensi yang besar untuk trend ini meningkat. Di samping itu, aktiviti pendanaan dan pelaburan langsung asing dalam renminbi juga telah meningkat seiring dengan bertambahnya kesedaran mengenai penggunaan renminbi untuk penyelesaian transaksi perdagangan dan pelaburan langsung serta potensi untuk memperoleh dana oleh sektor perniagaan.

Yang penting dalam inisiatif ini ialah akses yang lebih luas kepada saluran pelaburan portfolio dalam renminbi. Dengan adanya bon dan sukuk renminbi serta produk kewangan lain untuk pelaburan portfolio, ia bukan sekadar menggalakkan penerimaan dalam renminbi (renminbi receivables) bahkan membantu mewujudkan kelompok mudah tunai renminbi yang didorong oleh perdagangan dalam pasaran Malaysia. Satu lagi saluran penting yang akan menyokong penggunaan renminbi dalam perdagangan dan pelaburan ialah repatriasi ke China sebagai pelaburan langsung asing dalam sektor benar.

Usaha memperoleh dana dalam renminbi juga merupakan satu lagi bentuk perkhidmatan kewangan dalam sistem kewangan Malaysia. Ini terutamanya wujud dalam saluran konvensional oleh institusi perbankan dan terbitan instrumen renminbi dalam pasaran bon dan sukuk di Malaysia. Malaysia bukan sahaja mempunyai pasaran sekuriti hutang terbesar di Asia Tenggara bahkan merupakan pusat antarabangsa terbitan sukuk yang terkemuka. Kedua-dua pasaran tersebut sedang berkembang sebagai pasaran bon dan sukuk pelbagai mata wang. Berlandaskan saiz pasaran dan infrastruktur sokongannya, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk merealisasikan potensi pertumbuhan bon renminbi dan sukuk.

Dengan pasaran renminbi yang semakin berkembang, lebih banyak maklumat diperlukan untuk menimbulkan kepekaan terhadap perkembangan pasaran. Sambil kita beralih ke arah penggunaan mata wang lain untuk penyelesaian perdagangan, sektor perniagaan juga perlu membina kepakaran baharu, membangunkan pengaturan baharu dan menjalin rangkaian perhubungan baharu.

Izinkan saya merumuskan ucapan saya ini. Oleh sebab Asia, dan China khususnya, menjadi semakin penting dalam ekonomi global, tindak balas dinamik diperlukan dalam persekitaran operasi yang sedang kita hadapi. Salah satu perubahan yang akan membentuk sistem kewangan antarabangsa pada masa akan datang ialah peranan renminbi yang lebih besar dalam perdagangan dan kewangan. Walaupun mata wang rizab antarabangsa akan kekal penting, perkembangan ini menandakan bahawa terdapat satu mata wang tambahan dalam sistem kewangan antarabangsa. Perkembangan ini dijangka berlaku apabila ekonomi dunia menjadi semakin berbilang polar.

Dalam persekitaran ekonomi dan kewangan yang semakin kompleks dan mencabar, yang lantas menjadikannya lebih mudah terdedah kepada ketidaktentuan dan ketidakpastian, trend untuk mempelbagaikan risiko akan menjadi lebih ketara. Dalam memberikan laluan kepada langkah pempelbagaian, langkah ini juga akan membawa kepada kestabilan global secara keseluruhan dalam sistem kewangan antarabangsa. Di pihak kami pula, Bank komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa China untuk memudahkan penggunaan renminbi yang bertunjangkan aktiviti sektor benar untuk kepentingan ekonomi kita bersama. Seminar hari ini akan membincangkan isu berkaitan penggunaan renminbi dalam perdagangan dan pelaburan. Sebagai penutup, saya berharap agar seminar ini akan menjadi platform pertemuan yang berjaya lagi produktif buat anda semua.

 
© Bank Negara Malaysia, 2012. All rights reserved.
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 15 January 2013
 

Stay connected

FacebookFacebook
Engage with us
TwitterTwitter
Follow our latest updates
 
Best viewed 1024 x 768 with Internet Explorer 7.0 and Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 22 January 2013