Print       Share


Ucapan Penutup Gabenor Muhammad Ibrahim di Karnival Kewangan 2017

Speaker: Muhammad bin Ibrahim Venue: Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur Language: Bahasa Melayu Speech Date: 15 Jan 2017

Saya ingin merakamkan setulus penghargaan kepada Yang Berhormat Brigadier Jeneral Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan, kerana meluangkan masa untuk bersama-sama kita dan menyampaikan ucapan penutup Karnival Kewangan. Sokongan dan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan di atas usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran di kalangan belia tentang perkhidmatan kewangan, ilmu mengurus kewangan dan perlindungan pengguna, amat kami hargai. Sesungguhnya para belia merupakan generasi yang akan memainkan peranan penting di dalam merealisasikan hasrat dan aspirasi negara ke arah Transformasi Nasional 2050.

Bagi pihak Bank Negara Malaysia, saya menegaskan kembali hasrat kami untuk  terus membangunkan sebuah ekosistem kewangan yang inklusif, yang memastikan segenap lapisan masyarakat kita mendapat faedah daripada pelbagai produk, perkhidmatan dan nasihat kewangan yang berkualiti dan pada harga yang berpatutan. Bank Negara juga akan terus meningkatkan inisiatif celik kewangan bagi mempertingkatkan tahap kemahiran kewangan pengguna. Pelbagai inisiatif sedang dan akan dilaksanakan untuk memperluaskan pembelajaran ilmu kewangan di peringkat sekolah dan universiti serta program-program pendidikan kewangan berimpak tinggi untuk golongan belia dan dewasa.

Saya baru sahaja dimaklumkan bahawa setakat pukul 12 tengah hari tadi, Karnival Kewangan yang berkonsepkan edutainment ini berjaya menarik lebih daripada 20,000 pengunjung. Daripada maklumbalas yang diterima, ramai pengunjung dapat mempelajari buat pertama kalinya kewujudan pelbagai saluran perkhidmatan kewangan yang disediakan oleh institusi dan agensi berkaitan. Pengunjung terdiri daripada semua lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah, surirumah, OKU, pelajar dan kanak-kanak sekolah, termasuk daripada luar Lembah Klang. Maklumat awal, lebih daripada 8,000 pengunjung mengambil peluang ini untuk mendapat khidmat nasihat individu daripada Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (OFS). Disamping itu, sebanyak lebih daripada 500 akaun simpanan telah dibuka dan lebih 500 permohononan pembiayaan berjumlah RM94 juta telah dibuat, termasuk daripada perusahaan kecil dah sederhana. Saya yakin semua pengunjung dapat memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan yang diperolehi, terutamanya mengenai kepentingan pengurusan kewangan yang bijak.

Saya juga teruja dengan tahap kesedaran kewangan para belia, seperti yang terserlah di dalam pertandingan pidato antara universiti, di mana seramai 38 peserta daripada 16 universiti telah bertanding. Pelbagai pendapat yang bernas telah disuarakan oleh para pelajar ini mengenai isu pengurusan kewangan dan celik kewangan daripada perspektif golongan belia.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua kementerian, agensi kerajaan dan institusi kewangan yang turut bekerjasama menggembleng tenaga di samping pelbagai sumbangan dan tajaan bagi merealisikan Karnival Kewangan ini. Tanpa kerjasama dan sokongan yang padu daripada semua pihak, inisiatif ini tidak mungkin dapat dijalankan dengan jayanya.

 

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.