Cetak       Kongsi


Ucapan Perasmian oleh Timbalan Gabenor di Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Ke-11

Penyampai Encik Abdul Rasheed Ghaffour Tempat: Putrajaya Marriott Hotel, Putrajaya Bahasa: Bahasa Malaysia Tarikh Ucapan: 16 May 2017

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta`ala kerana dengan limpah kurniaNya, Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Kali Ke-Sebelas (11) dapat diadakan di Putrajaya pada tahun ini. 

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur, iaitu Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam atau ISRA atas inisiatif dalam meneruskan penganjuran Muzakarah ini.

Muzakarah ini bermula pada tahun 2006 oleh Bank Negara Malaysia, dan kemudiannya diteruskan oleh ISRA. Hasrat Muzakarah ini adalah untuk memupuk persefahaman dan kerjasama erat antara para ilmuan Syariah dalam kalangan rumpun nusantara berhubung dengan isu-isu fiqh muamalat dan kewangan Islam. Melalui platform sebegini, visinya adalah untuk mencetuskan idea dan pandangan baharu di kalangan ulama dalam suasana penuh toleransi dan hormat-menghormati berlandaskan semangat rumpun nusantara, di mana terdapat banyak persamaan dari segi latar belakang sosio-ekonomi kita.

Saya percaya bahawa Muzakarah ini telah memainkan peranan yang penting dalam menangani dan memperkemaskan pelaksanaan Syariah dalam kewangan Islam di peringkat nasional dan serantau. Sebahagian daripada resolusi-resolusi Muzakarah yang lalu telah menjadi asas kepada pembentukan polisi dan pelaksanaan transaksi kewangan. Antaranya seperti memperkemaskan standard dan piawaian Syariah berhubung tawarruq supaya operasi pelaksanaannya menjadi lebih mudah dan teratur. Begitu juga dengan penilaian semula yang dibuat terhadap bai` `inah (transaksi jual dan beli balik) yang mana didapati berlaku pengurangan yang ketara dari sudut aplikasinya terutamanya dalam konteks perbankan Islam di Malaysia. Selain daripada itu, resolusi berhubung qabad (possession) dalam urusniaga pertukaran matawang asing juga telah menerima pakai kaedah T plus two (T + 2)  sebagai satu mekanisme penyelesaian secara spot. Di samping itu, hasil resolusi Muzakarah pada tahun 2011 berhubung aspek beban pembuktian terhadap kes kecuaian, salah laku dan pelanggaran terma oleh pengurus dana dalam kontrak mudarabah dan musyarakah, telah diterima pakai dengan meluas dalam konteks semasa bagi mencapai kemaslahatan kepada ummah.

Tema Muzakarah

Seperti yang para hadirin sedia maklum, Bank Negara Malaysia telah menerbitkan 12 Piawaian Syariah dan Keperluan Operasi bagi kontrak-kontrak Syariah yang diaplikasi secara meluas dalam industri kewangan Islam. Dua lagi piawaian Syariah berhubung sarf dan rahn sedang dalam proses terakhir untuk dimuktamadkan.

Tema Muzakarah yang dipilih pada kali ini ialah “Pasca Piawaian Syariah BNM: Antara Ideal dan Realiti.” Pada hemat saya, tema ini sangat relevan dan bersesuaian pada masa ini kerana ianya memberi ruang dan peluang kepada para cendekiawan sekalian untuk mencambahkan idea dan buah fikiran yang bernas dalam memperkemaskan lagi piawaian Syariah. Saya yakin dan percaya bahawa piawaian Syariah mestilah dinamik dan pragmatik serta tidak bersifat statik. Justeru, ia perlu sentiasa diberikan nafas baharu dan penambahbaikan berdasarkan keperluan dan perubahan semasa.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi pandangan berhubung tiga perkara berikut:

Pertama: Kerjasama dan sinergi yang berterusan di kalangan cendekiawan Syariah;
Kedua: Cabaran dalam mendepani arus inovasi dalam teknologi; dan
Ketiga: Memperkasa bakat dan modal insan dalam kewangan Islam.

Pertama: Kerjasama dan Sinergi Berterusan dalam Kalangan Cendekiawan Syariah

Walaupun kita semua berada dalam rumpun nusantara, namun saya berpendapat, masih terdapat jurang interaksi antara sesama cendekiawan Syariah serantau. Adalah tidak keterlaluan, jika saya katakan bahawa Muzakarah ini merupakan satu-satunya platform bagi cendekiawan Syariah dalam kewangan Islam berinteraksi di peringkat nusantara. Sehubungan itu, satu usaha perlu digembleng untuk mewujudkan lebih banyak platform atau medium yang memberi ruang kepada cendekiawan Syariah untuk bertukar pandangan dan idea baharu.

Ini selaras dengan saranan Allah dalam surah As-Sof, ayat keempat yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam satu barisan yang teguh dan tersusun rapi.”

Demi memastikan sinergi yang berterusan di kalangan cendekiawan Syariah, saya percaya bahawa penambahbaikan terhadap piawaian Syariah perlu dilakukan dengan mengambil kira faktor-faktor semasa dalam pasaran serta pandangan daripada pakar-pakar kewangan dan Syariah serantau. Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia mengalu-alukan pandangan dan komen yang konstruktif bagi menambah baik lagi piawaian Syariah. Adalah diharapkan agar piawaian Syariah ini boleh diaplikasikan bukan sahaja di Malaysia, bahkan juga boleh diterima pakai di peringkat serantau dan global. Tambahan pula, piawaian ini tidak hanya menggariskan prinsip-prinsip utama dari sudut Syariah semata-mata, tetapi juga meliputi garis panduan berhubung keperluan operasi.

Polisi Syariah yang dibangunkan perlu mengambil kira aspek-aspek pematuhan Syariah serantau dan antarabangsa, yang natijahnya akan menggalakkan transaksi kewangan merentas sempadan. Oleh itu, kerjasama antara cendekiawan Syariah dan penggubal polisi antara pelbagai negara perlu dilipatgandakan. Dalam hal ini, kerjasama antara penasihat Syariah dan penggubal polisi boleh direalisasikan dengan mewujudkan satu platform khusus seperti Forum Syariah bagi Penggubal Polisi atau  “Shariah Regulators Forum”.

Percambahan bilangan platform interaksi sesama cendekiawan Syariah sahaja tidak menjamin kualiti resolusi yang ingin dicapai. Oleh itu, interaksi secara lebih efektif diperlukan bagi menghasilkan resolusi yang mantap dan berimpak.

Seterusnya, satu pendekatan yang bersesuaian perlu difikirkan agar suara cendekiawan Syariah di peringkat nusantara ini dapat diketengahkan untuk diambil kira dalam penghasilan standard dan fatwa di peringkat global. Saya yakin bahawa kita mempunyai kekuatan dari sudut pengetahuan dan pengalaman untuk dikongsikan bersama masyarakat antarabangsa. Tambahan pula, kita mempunyai jumlah cendekiawan Syariah yang ramai di nusantara yang terlibat dalam kewangan Islam berbanding di rantau lain. Secara anggaran di Malaysia sahaja terdapat 150 orang penasihat Syariah tempatan yang terlibat dalam industri kewangan Islam. Jumlah ini akan menjadi lebih besar sekiranya digabungkan dengan cendekiawan Syariah negara-negara serantau yang lain, yang dianggarkan melebihi 200 orang. Oleh itu, sewajarnya kita perlu menggembleng kekuatan dan kelebihan yang dimiliki ini secara lebih berkesan.

Kedua: Cabaran Dalam Mendepani Arus Inovasi Dalam Teknologi

Seperti mana yang kita sedia maklum, arus perkembangan teknologi telah berlaku dengan begitu pesat sekali. Ini telah mempengaruhi segenap aspek kehidupan kita. Ia telah mengubah cara kita berhubung dan berkomunikasi; kaedah melakukan sesuatu pekerjaan; kaedah kita berurus niaga termasuklah aktiviti-aktiviti kewangan dan perbankan.

Dalam hal ini, teknologi kewangan (fintech) telah memperkenalkan kita kepada satu bentuk inovasi disruptif yang mana ia telah mencabar norma-norma amalan industri kewangan serta mengubah kaedah kita melaksanakan transaksi dengan lebih mudah dan efisyen. Arus perubahan yang dibawa oleh fintech ini akan memberi impak yang signifikan ke atas industri kewangan semasa dan akan datang.

Dalam menghadapi cabaran inovasi ini, kita semestinya perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan berkenaan teknologi serta kepekaan tinggi terhadap lanskap kewangan global yang dinamik. Ini termasuklah perubahan terhadap struktur produk dan aplikasi kontrak dalam bentuk baharu yang memerlukan pendekatan minda Syariah terkini yang lebih terbuka dan adaptif.

Ketiga: Memperkasa Bakat Dan Modal Insan Dalam Kewangan Islam

Modal insan merupakan satu aset terpenting dalam setiap sektor dan industri. Modal insan merupakan nukleus kepada perkembangan dan pembangunan sosio-ekonomi. Menyedari hakikat kepentingan modal insan ini, pihak Bank Negara Malaysia dengan kerjasama pakar-pakar dalam industri kewangan dan akademia sedang membangunkan satu Manual Rujukan Tenaga Pengajar atau Educators' Manual dengan menjadikan piawaian Syariah sebagai asas. Ini merupakan satu usaha untuk memperluas capaian pengetahuan berhubung kewangan Islam yang melangkaui sistem kewangan ke sektor akademik.

Objektif Manual Rujukan Tenaga Pengajar ini, apabila sempurna kelak adalah untuk membangunkan sekumpulan bakat yang berpotensi dan berkelayakan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam industri kewangan Islam di masa hadapan.

Dalam masa yang sama, diharapkan manual ini dapat membantu untuk mempertingkatkan kepekaan dan kefahaman masyarakat berhubung kontrak-kontrak Syariah dan keperluan operasi.

Selain daripada itu, Bank Negara Malaysia juga sedang berusaha untuk menterjemahkan piawaian Syariah ke dalam bahasa-bahasa utama seperti Bahasa Arab, Melayu, Perancis dan Turki untuk menyebarluaskan lagi pengetahuan dan kefahaman berhubung prinsip-prinsip utama kontrak Syariah yang diaplikasikan dalam kewangan Islam.

Saya berharap agar Muzakarah ini berperanan sebagai satu platform untuk menonjolkan golongan cendekiawan Syariah pelapis yang berani mencetuskan idea inovatif dan pandangan Syariah yang praktikal serta berkesan.

Di samping itu juga, Muzakarah seperti ini sewajarnya boleh menjadi batu loncatan kepada cendekiawan Syariah untuk menempatkan diri di peringkat yang lebih tinggi dalam menyuarakan idea dan pendapat yang bernas.

Saya berdoa agar Muzakarah ini berjalan dengan lancar dan menjadi pentas untuk bertukar pandangan serta buah fikiran dalam suasana penuh harmoni, saling menghormati dan disulami semangat setiakawan serantau. Mudah-mudahan, Muzakarah ini dapat mencapai objektif yang diharapkan.

Dengan lafaz Bismillahirrahmaanirrahim, saya dengan ini merasmikan Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara kali kesebelas.

 

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.