Print       Share


Ucapan Gabenor di Majlis Memperkenalkan eCCRIS

Speaker: Muhammad bin Ibrahim, FCB Venue: TH Hotel & Convention Centre, Alor Setar, Kedah Language: Bahasa Malaysia Speech Date: 19 Jan 2018

Arus perkembangan teknologi dalam bentuk digital terus maju ke hadapan dengan membawa perubahan ketara kepada sistem kewangan global. Malaysia tidak terkecuali daripada menerima kesannya. Perkhidmatan kewangan akan disampaikan melalui infrastruktur digital, seperti saluran internet dan seterusnya menjurus kepada penggunaan wang tunai yang rendah. Ini akan meningkatkan kecekapan penyediaan perkhidmatan kewangan. Kini, perkhidmatan kewangan semakin inklusif dengan akses tanpa sempadan, menjangkau kepada komuniti yang sebelum ini tidak mendapat khidmat kewangan. Menurut kajian McKinsey Global Institute, penggunaan meluas kewangan digital akan meningkatkan kadar pertumbuhan negara membangun sebanyak 6% atau sejumlah USD$3.7 trilion menjelang 2025. 

Perkembangan infrastruktur jalur lebar internet yang tidak sekata boleh membantutkan usaha kita untuk membawa pemodenan dalam perkhidmatan kewangan dan membangun sebuah masyarakat moden. Walaupun kadar penembusan perbankan internet di Malaysia telah mencapai tahap 72%, beberapa negeri masih mempunyai kadar penembusan perbankan internet yang lebih rendah. Dalam hal ini, usaha-usaha sektor awam dan pihak swasta perlu dipergiat bagi memastikan akses jalur lebar di seluruh negara dengan kos yang berpatutan dapat dipertingkatkan dan seterusnya melonjakkan penggunaan aplikasi moden perkhidmatan kewangan.

Industri dan individu perlu berusaha dalam mengurangkan potensi risiko yang berpunca daripada penggunaan teknologi, seperti pencerobohan siber. Ancaman keselamatan siber mampu menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan dan menyebabkan gangguan perniagaan. Melangkah ke hadapan, usaha berterusan diperlukan untuk memperkuat keupayaan dalaman secara proaktif bagi menangani risiko dan memberi lebih penekanan kepada pengurusan risiko siber dalam proses tadbir urus.

Teknologi akan memperkasa pengguna melalui akses kepada informasi yang lebih mendalam dan komprehensif. Ini adalah, “The information age”. Hasil kajian menunjukkan betapa pentingnya seseorang individu untuk lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam membuat keputusan berkenaan transaksi kewangan yang dilaksanakan.  Hampir separuh rakyat Malaysia didapati mempunyai tahap pengetahuan kewangan yang tidak mencukupi untuk membuat keputusan kewangan yang baik. Mereka perlu diperlengkapkan dengan pengetahuan, peralatan dan infrastruktur kewangan yang bersesuaian, supaya bila berlaku sebarang kecemasan, mereka tidak akan menghadapi kesukaran.

Pada hari ini, saya sangat berbesar hati untuk memperkenalkan eCCRIS. Usaha mewujudkan eCCRIS adalah sejajar dengan inisiatif Bank Negara Malaysia untuk mendigitalkan perkhidmatan kewangan dan memperkasakan (empower) rakyat Malaysia dengan peralatan untuk mengawal dan menguruskan kewangan dengan lebih berhemat.

Usaha ini juga bakal memperluaskan skop penggunaan laporan CCRIS. Laporan CCRIS bukan sahaja digunakan oleh peminjam dan pemberi pinjaman, malah ia turut digunakan bagi tujuan pemeriksaan kesihatan kewangan individu, aktiviti pengurusan dan penyelesaian hutang serta proses saringan pemohonan pekerjaan oleh majikan.

Perkembangan ini adalah selaras dengan aspirasi Bank Negara Malaysia untuk penggunaan skor kredit dengan lebih meluas. Skor kredit bukan sahaja boleh membantu institusi kewangan membuat keputusan kredit, malah ia boleh memberi gambaran, pandangan dan kefahaman terhadap tingkah laku pengguna. Maklumat ini boleh digunakan oleh individu untuk mengambil tindakan yang bersesuaian bagi meningkatkan peluang untuk mendapatkan pembiayaan dan akses kepada perkhidmatan kewangan.

Konsep-konsep utama pemanfaatan terhadap inovasi dan teknologi, pengetahuan dan pengurusan kewangan pengguna harus dipertingkatkan lagi ke arah mencapai kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia secara menyeluruh. Platform eCCRIS adalah satu contoh inisiatif yang telah dilaksanakan untuk kita mencapai matlamat ini. Saya berharap pada satu ketika nanti, kita akan menjadi sebuah masyarakat yang mempunyai budaya kredit yang berwibawa.

Sekian, terima kasih.

Lihat juga: Lembaran Fakta

Gabenor melancarkan platform eCCRIS

Bank Negara Malaysia's Governor Muhammad bin Ibrahim, FCB di majlis memperkenalkan platform eCCRIS

Dari kiri: Datuk Kamaluddin bin Ismail, Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), Tan Sri Tay Ah Lek, Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM), Gabenor Muhammad bin Ibrahim, FCB, Dato' Mohd Redza Shah Abd Wahid, Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan Encik Marzunisham bin Omar, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.

Ucaptama oleh Gabenor Muhammad bin Ibrahim, FCB pada majlis memperkenalkan platform eCCRIS

 

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.