Print       Share


Ucapan Penutup oleh Timbalan Gabenor di Karnival Kewangan Kedah 2018

Speaker: Encik Abdul Rasheed Ghaffour Venue: Pusat Konvensyen TH, Alor Setar Language: BM Speech Date: 21 Jan 2018

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Dato' Wira Othman Bin Aziz, atas kesudian meluangkan masa bersama-sama kita pada petang ini bagi menyempurnakan majlis penutup Karnival Kewangan Kedah 2018.  Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Kedah atas sokongan padu yang telah diberikan dalam menjayakan Karnival Kewangan yang pertama pada tahun ini dan julung-julung kali diadakan secara besar-besaran di negeri Kedah. Kedah dipilih sebagai lokasi ketiga Karnival Kewangan selepas Sabah dan Sarawak dalam usaha Bank Negara Malaysia untuk melebarkan jangkauan rangkuman kewangan ke seluruh negara. Insya-Allah lokasi selepas ini akan menyusul ke Pantai Timur tanah air pula.

Saya sangat bersyukur dan berbesar hati kerana Karnival Kewangan di bumi jelapang padi ini telah mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya golongan B40, yang datang bukan sahaja dari sekitar Negeri Kedah malahan dari kawasan yang agak jauh seperti dari Arau di utara, Pulau Pinang di tengah dan yang paling jauh datang dari Bagan Datuk, Perak. Syabas saya ucapkan diatas kesudian tuan-tuan dan puan-puan untuk hadir ke Karnival ini.
Menurut statistik yang diberikan kepada saya, sehingga jam 2.00 tengah hari tadi, lebih daripada 25,000 pengunjung telah menghadiri Karnival Kewangan ini. Jumlah pengunjung dijangka akan meningkat lagi memandangkan hari ini merupakan hari cuti umum sempena Hari Keputeraaan Sultan Kedah. Seperti yang dapat disaksikan oleh para hadirin sekalian, Karnival ini telah menghimpunkan begitu banyak dan pelbagai penyertaan di bawah satu bumbung, terdiri daripada institusi kewangan, persatuan-persatuan institusi kewangan, agensi kerajaan serta institusi-institusi berkaitan, yang telah menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan serta khidmat nasihat kepada orang ramai.

Pendidikan kewangan merupakan unsur yang penting dalam meningkatkan kadar celik kewangan di kalangan rakyat Malaysia. Dengan peningkatan dalam pengetahuan mengenai hal kewangan, pengguna dapat mengurus kewangan dan merancang masa depan mereka dengan lebih baik. Justeru, Karnival Kewangan ini merupakan satu usaha bersepadu yang dirancang untuk meningkatkan tahap celik kewangan di segenap lapisan masyarakat, bermula daripada kanak-kanak sehinggalah ke peringkat dewasa. Untuk pengetahuan para hadirin, lebih 30,000 khidmat nasihat secara langsung telah diberikan daripada institusi kewangan dan pempamer yang mengambil bahagian pada karnival kali ini.  

Di samping itu, selaras dengan objektif Karnival Kewangan Kedah yang mensasarkan golongan B40 dan para usahawan mikro, pihak BNM dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation Sdn. Bhd. (MDEC) telah menganjurkan bengkel dan ceramah eUsahawan dan eRezeki yang telah memberi manafaat kepada lebih 1700 orang peserta. Daripada jumlah tersebut, hampir 200 orang peserta telah mendapat manfaat dari sessi bengkel yang diadakan. Maklumat terkini yang kami terima daripada pihak MDEC, seramai 30 orang peserta daripada bengkel eRezeki telah berjaya menjana pendapatan sampingan, setelah selesai kursus tersebut. Semoga segala ilmu yang telah dipelajari dapat diterap dan dipraktikkan oleh para peserta demi menjana peningkatan pendapatan dan seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.

Menyedari kepentingan pendidikan kewangan di usia muda, Karnival pada kali ini telah menawarkan pelbagai aktiviti pendidikan kewangan kepada golongan pelajar sekolah melalui aktiviti di sudut kanak-kanak serta aktiviti di pentas luar. Penglibatan terus beberapa institusi kewangan seperti Prudential Assurance Malaysia, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat, Alliance Bank dan AgroBank, merupakan usaha yang murni dan perlu dicontohi oleh institusi kewangan yang lain. Inisiatif bersepadu sebegini, akan menyemarakkan usaha untuk meningkatkan kadar celik kewangan di kalangan rakyat kepada tahap yang lebih tinggi, sejajar dengan aspirasi strategi kebangsaan dalam meningkatkan kadar celik kewangan  yang  akan diumumkan tidak lama lagi.

Sementara itu, usaha rangkuman kewangan terutamanya dalam pemilikan perlindungan insurans dan takaful terus dipergiat. Untuk pengetahuan para hadirin, hanya 4% daripada isi rumah dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah mempunyai perlindungan insurans hayat atau takaful keluarga. Oleh itu, selaras dengan mandat Bank Negara Malaysia untuk membangunkan sistem kewangan yang inklusif, satu produk perlindungan mampu milik telahpun dilancarkan pada bulan November tahun lalu yang dinamakan "Perlindungan Tenang". Setakat ini, sepuluh (10) produk Perlindungan Tenang telah ditawarkan, yang meliputi enam (6) produk insurans hayat, tiga (3) produk takaful keluarga dan satu (1) produk insurans am. Dengan adanya penawaran produk inovatif dan mampu milik ini, dijangka peratusan pemilikan insurans dan takaful dalam negara akan terus meningkat dan mencapai sasaran yang kita inginkan.

Berkenaan dengan jenayah kewangan, statistik menunjukkan pertanyaan berkenaan panggilan palsu daripada orang ramai telah meningkat sejak kebelakangan ini. Untuk makluman, pertanyaan berkenaan panggilan palsu yang dilaporkan kepada BNM telah meningkat daripada 4,316 pada tahun 2016 kepada 7,716 pertanyaan pada akhir tahun 2017. Oleh itu, saya ingin menasihati orang ramai agar jangan mudah percaya dan bertindak secara terburu-buru jika menerima panggilan seumpama ini. Dapatkan maklumat lanjut daripada laman sesawang rasmi institusi kewangan tersebut atau hubungi terus Bank Negara LINK untuk maklumat lanjut serta nasihat.

Saya ingin merakamkan sekalung tahniah atas inisiatif yang dilakukan oleh gabungan semua institusi-institusi kewangan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui FINCO. FINCO atau "Financial Industry Collective Outreach" telah menganjurkan siri Life Aspiration Talk yang julung kali diadakan pada Karnival kali ini. Ia merupakan kesinambungan aktiviti-aktiviti yang dilakukan dalam meningkatkan aspirasi untuk golongan muda, terutamanya kepada mereka yang kurang bernasib baik serta kurang pendedahan, supaya mereka bersemangat untuk terus bangkit dan berjaya dalam kehidupan masing-masing. Teruskan usaha murni ini dan bersama-samalah menyumbang dalam pembangunan modal insan  bagi menyokong kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.

Sejajar dengan perkembangan pesat teknologi digital, inisiatif-inisiatif yang bersifat digital akan terus diperkenalkan. Sebagai contoh, pelancaran eCCRIS dan Kad Korporat MyDebit merupakan antara inisiatif digital yang akan terus dilaksana dan disokong. Aspirasi untuk mentransformasi sistem pembayaran dalam negara kepada sistem pembayaran secara elektronik akan meningkatkan kecekapan dalam ekonomi serta memacu peralihan kepada ekonomi yang berpendapatan dan bernilai tambah yang tinggi.  Usaha ini amat penting bagi memastikan sektor kewangan terus berkembang dan inklusif dalam memenuhi keperluan masa hadapan rakyat Malaysia.

Selain itu, Bank Negara Malaysia juga telah mengambil peluang daripada Karnival ini untuk berinteraksi dengan para pengunjung Karnival untuk mendalami aspirasi rakyat Malaysia berkenaan peranan sektor kewangan bagi 30 tahun akan datang. Aspirasi yang dikumpulkan ini akan diterjemahkan dalam menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Lebih daripada 1,050 aspirasi telah diterima daripada para pengunjung yang secara amnya tertumpu kepada tiga aspek utama. Pertama, mereka berharap bahawa menjelang tahun 2050, transaksi kewangan akan dibuat tanpa tunai. Kedua, mereka berharap bahawa menjelang tahun 2050, tahap celik kewangan di kalangan warganegara Malaysia akan meningkat ke tahap yang tinggi. Sehubungan ini, para pengunjung juga mengatakan bahawa institusi kewangan harus menawarkan produk yang sesuai untuk meningkatkan simpanan persaraan mereka. Aspirasi ketiga, mereka berpendapat kewangan berimpak sosial penting untuk masa hadapan and akses kepadanya perlu diperluaskan agar semakin universal. Bagi pihak Bank Negara Malaysia, saya ucapkan ribuan terima kasih atas pengkongsian yang telah diberikan kepada kami.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setulus penghargaan kepada Timbalan Menteri Kewangan I, Kerajaan Negeri Kedah dan agensi-agensi kerajaan negeri atas segala kerjasama yang diberikan dalam memastikan kelancaran Karnival ini. Ucapan tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada institusi-institusi kewangan serta semua pihak yang terlibat serta yang mengambil bahagian menaja pelbagai program dan insentif sepanjang Karnival ini berlangsung. Akhir kata, saya percaya usaha sama yang telah dicapai ini akan mendorong kerjasama yang lebih mantap dan menyeluruh antara pelbagai pihak di masa depan demi  menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dari segenap aspek.

 

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.