Print       Share


Ucapan Aluan oleh Gabenor di Majlis Pelancaran Dana Rumah Mampu Milik dan Portal Rumahku

Speaker: Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus Venue: Sasana Kijang, Kuala Lumpur Language: Bahasa Malaysia Speech Date: 29 Jan 2019

Bagi pihak Bank Negara Malaysia, saya mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Menteri Kewangan, dan Yang Berhormat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, ke Majlis Pelancaran Dana Rumah Mampu Milik, dan Portal Rumahku. Kami berbesar hati atas kesudian Yang Berhormat meluangkan masa, untuk menyempurnakan pelancaran inisiatif Dana Rumah Mampu Milik dan Portal Rumahku. Bank Negara Malaysia dan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebagai penganjur bersama, juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ribuan terima kasih atas sokongan dan kerjasama institusi kewangan yang terlibat dalam menjayakan inisiatif Dana Rumah Mampu Milik dan Portal Rumahku ini.

Memiliki rumah melibatkan pelaburan atau komitmen kewangan yang besar. Bakal pembeli rumah harus bertanggungjawab menilai tahap kemampuan mereka, bagi memenuhi komitmen kewangan yang berkaitan dengan kos memiliki rumah, termasuk bayaran balik pinjaman dan perbelanjaan lain yang berkaitan. Bank Negara Malaysia ingin menekankan pentingnya mengamalkan budaya pengurusan kewangan yang berhemat kerana individu yang celik kewangan akan dapat membuat keputusan kewangan dengan lebih baik. Mereka akan lebih berhemat dalam merancang keperluan kewangan, bebas daripada belenggu hutang yang berlebihan dan boleh membuat persediaan secukupnya untuk kehidupan persaraan. Malah, mereka mungkinboleh mencapai kebebasan kewangan. 

Pelbagai usaha sedang diambil untuk memupuk budaya pengurusan kewangan berhemat bermula dari usia muda. Kajian Bank Negara Malaysia pada tahun 2018 menunjukkan tahap literasi kewangan di kalangan rakyat yang masih rendah,merangkumi aspek pengetahuan dalam isu-isu kewangan, serta perilaku dan sikap berkenaan pengurusan kewangan. Antara kelemahan yang telah dikenal pasti termasuk sebilangan besar rakyat tidak mampu menanggung perbelanjaan yang tidak dijangka, dengan 52% mengakui menghadapi kesukaran untuk mengumpul wang sebanyak RM1,000 jika berlaku kecemasan. Selain itu, hanya 24% rakyat yakin dapat memenuhi obligasi kewangan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan sekiranya hilang punca pendapatan. Walaupun terdapat penambahbaikan jika dibandingkan dengan kajian yang sama pada tahun 2015, secara keseluruhannya masih banyak jurang keupayaan kewangan yang perlu ditangani. Oleh itu, Bank Negara Malaysia bersama Jaringan Pendidikan Kewangan sedang merangka satu strategi literasi kewangan kebangsaan bertujuan untuk meningkatkan tahap literasi kewangan serta memupuk perilaku dan sikap kewangan berhemat.

Sehubungan dengan itu, dalam usaha membantu segmen sasar membuat keputusan kewangan yang berhemat dalam memiliki rumah pertama ini, Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah menyediakan modul pendidikan kewangan dalam talian yang ringkas dan mudah di Portal Rumahku. Usaha ini selaras dengan peranan AKPK untuk menyediakan perkhidmatan pendidikan kewangan, kaunseling dan nasihat kewangan serta menawarkan program pengurusan kredit kepada individu yang berdepan masalah membayar pinjaman. Portal Rumahku ini membantu bakal peminjam untuk memahami dan mengurus hal kewangan mereka dengan berkesan melalui penilaian kendiri yang mudah dan ringkas. Bakal peminjam akan mendapat gambaran yang jelas terhadap komitmen kewangan yang bakal mereka hadapi sesudah membeli rumah dan mendapat pinjaman. Golongan sasar harus menyedari bahawa memiliki rumah melalui pembiayaan perlulah berlandaskan kemampuan untuk membayar balik pembiayaan tersebut sepenuhnya. Sejak dilancarkan awal tahun ini, seramai 1037 telah menamatkan program pendidikan kewangan melalui Portal Rumahku. Daripada jumlah ini, seramai 265 secara sukarela tidak meneruskan hasrat memohon pembiayaan perumahan apabila menyedari mereka tidak mempunyai kemampuan kewangan yang mencukupi pada masa ini.

Dana Rumah Mampu Milik, dengan peruntukan berjumlah RM1 bilion akan membantu pembeli rumah daripada kumpulan berpendapatan rendah di seluruh negara membiayai pembelian rumah pertama mereka. Dana ini dijangka akan mempertingkatkan kemampuan segmen sasar untuk memiliki rumah pertama dengan kadar pembiayaan yang rendah iaitu sebanyak 3.5% setahun. Insentif ini dianggarkan akan dapat menyumbang kepada ansuran bulanan yang lebih rendah sebanyak 23% berbanding skim pembiayaan sedia ada. Dana ini ditawarkan selama dua tahun mulai 2 Januari 2019 melalui lima institusi kewangan yang menyertai skim ini.

Walau bagaimanapun, Dana Rumah Mampu Milik dengan kadar pembiayaan yang rendah ini harus dilihat sebagai satu kemudahan sementara, untuk suatu tempoh yang terhad dan dilaksanakan secara berhemat. Bagi memastikan pembiayaan rumah terus mampan, kadar pembiayaan rumah perlu mencerminkan kos risiko yang sebenar dihadapi oleh institusi kewangan dengan mengambilkira kos dana, kos pentadbiran, dan risiko kecairan dan kredit pinjaman. Menangani isu rumah mampu milik adalah tanggungjawab bersama agar jurang yang berterusan di antara harga rumah dan kemampuan memiliki rumah dapat dikurangkan. Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan terus komited untuk menyediakan perkhidmatan kewangan yang transformatif bagi membolehkan segenap lapisan masyarakat dapat menabung, melabur dan meminjam secara produktif dan mempertingkatkan kualiti kehidupan mereka. Manakala, pembeli pula perlu mempunyai simpanan yang secukupnya dan keupayaan untuk membayar pinjaman mereka sepanjang tempoh pinjaman untuk memastikan pemilikan rumah. Bakal pembeli rumah juga disarankan mengambil langkah praktikal dalam memberi keutamaan ke atas komitmen utama perbelanjaan sara hidup agar penambahan hutang melalui pembiayaan rumah tidak semakin membebankan kedudukan kewangan mereka.

Isu pemilikan rumah mampu milik memerlukan penyelesaian secara holistik dengan pembabitan semua pihak terlibat agar dapat diselesaikan dengan jangkamasa lebih singkat. Pihak pemaju perumahan dan pihak berkuasa tempatan juga perlu bersedia untuk bersama-sama merealisasikan agenda ini. Pemusatan inisiatif rumah mampu milik melalui satu entiti dan pewujudan pangkalan data perumahan bersepadu perlu disegerakan. Pangkalan data bersepadu ini penting dalam menangani isu rumah yang ditawarkan oleh pihak pemaju yang tidak sepadan dengan tahap kemampuan rakyat setempat. Usaha untuk mengurangkan kos pembinaan pihak pemaju juga perlu di ambil bagi memastikan harga rumah dapat dikurangkan ke paras yang lebih mampu milik. Selain daripada itu, dasar ekonomi yang akan menggalakkan pekerjaan dan pertumbuhan pendapatan rakyat juga penting dalam mempertingkatkan sosioekonomi dan kedudukan kewangan mereka untuk memiliki rumah.

Sekali lagi, saya bagi pihak Bank Negara Malaysia dan AKPK ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan dan Yang Berhormat Puan Hajjah Zuraida binti Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di atas sokongan untuk melancarkan Dana Rumah Mampu Milik dan Portal Rumahku ini. Kepada para hadirin, terima kasih sekali lagi kerana sudi hadir pada majlis ini dan semoga inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan baik dan jayanya dan dapat dimanfaatkan oleh golongan yang disasarkan. Sekian, terima kasih.

 

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.