Cetak       Kongsi


Ucapan oleh Gabenor di Majlis Pelancaran Khidmat Nasihat Pembiayaan

Penyampai Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus Tempat: Sasana Kijang, Kuala Lumpur Bahasa: Bahasa Melayu Tarikh Ucapan: 21 Aug 2019

Bagi pihak Bank Negara Malaysia, saya mengalu-alukan kehadiran  para hadirin ke Majlis Pelancaran Khidmat Nasihat Pembiayaan. Kami juga ingin merakamkan ribuan terima kasih di atas sokongan dan kerjasama institusi-institusi kewangan dalam menjayakan inisiatif ini.

Sektor kewangan terus memainkan peranan penting dalam menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan isi rumah terutamanya dalam menghadapi persekitaran kewangan dan ekonomi yang mencabar. Pembiayaan oleh sektor kewangan, secara keseluruhannya konsisten dengan kadar pertumbuhan ekonomi semasa sebanyak 4.9% pada suku kedua 2019. Pembiayaan bersih pada suku kedua 2019 berkembang sebanyak 5.6% pada asas tahunan. Pengeluaran pinjaman yang berterusan kepada semua segmen ekonomi terus menyokong kegiatan ekonomi negara.

PKS adalah segmen perniagaan yang penting kepada institusi kewangan, merangkumi 87% daripada jumlah akaun pelanggan perniagaan. PKS terus mendapat sokongan pembiayaan dan ini dapat dibuktikan melalui pengeluaran pembiayaan yang lebih tinggi bagi setengah tahun pertama 2019 sebanyak RM152 bilion berbanding dengan RM149 bilion bagi setengah tahun pertama 2018. Di samping itu, institusi kewangan terus menyokong pemilikan rumah, dengan kelulusan pinjaman perumahan baru bernilai RM78.5 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, yang memanfaatkan lebih 180,000 peminjam. Apa yang ketara ialah kemampuan pembayaran balik pembiayaan perumahan yang masih menjadi cabaran utama bakal pemilik rumah.

Sistem kewangan yang mampan dan kukuh terus menjadi kekuatan utama ekonomi Malaysia. Ini membolehkan institusi-institusi kewangan memainkan peranan menyokong segmen PKS dan isi rumah melalui pemberian pembiayaan di pelbagai fasa perniagaan. Kadar kelulusan pinjaman yang stabil membuktikan institusi-institusi kewangan terus menyediakan pembiayaan kepada perniagaan yang berdaya maju dan peminjam yang layak, walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar. Ia memangkin institusi kewangan menjadi lebih proaktif, dinamik dan inovatif dalam memberikan perkhidmatan kewangan terutamanya bagi membantu pelanggan yang terjejas oleh keadaan ekonomi semasa. Ini termasuk membantu pelanggan meningkatkan kelayakan mereka untuk mendapatkan pembiayaan melalui jaminan kredit oleh CGC dan Cagamas serta perkhidmatan yang tersedia oleh biro-biro kredit. Perkhidmatan khidmat nasihat oleh institusi-institusi kewangan, CGC dan AKPK serta pelbagai agensi Kerajaan juga dapat membantu perniagaan dan individu menguruskan kemudahan kredit mereka dengan lebih baik. Sebagai penyedia perkhidmatan kewangan yang utama, institusi-institusi perbankan perlu terus memainkan peranan untuk mengenalpasti potensi, membimbing dan menyokong peminjam untuk lebih berdaya maju.

Memiliki perniagaan atau rumah, melibatkan pelaburan atau komitmen kewangan yang besar. Tidak dinafikan, pasaran kredit yang mampan menyokong aktiviti ekonomi negara dan memainkan peranan untuk melengkapi infrastruktur dan ekosistem PKS atau isi rumah. Namun, pemberian pinjaman atau pembiayaan perlu dilaksanakan dengan berhemah dan bertanggungjawab untuk memastikan peminjam tidak meminjam melebihi kemampuan mereka sehingga boleh mengakibatkan sesuatu perniagaan atau seseorang individu menghadapi kesulitan dan bebanan kewangan dimasa hadapan. PKS dan bakal peminjam harus bertanggungjawab menilai tahap kemampuan mereka, bagi memenuhi komitmen kewangan. Sebagai contoh, sejak Portal Rumahku dilancarkan awal tahun ini, seramai 12,223 individu telah menamatkan program pendidikan kewangan. Daripada jumlah ini, seramai 1,628 secara sukarela tidak meneruskan hasrat memohon pembiayaan perumahan apabila menyedari mereka tidak mempunyai kemampuan dan penampan kewangan yang mencukupi pada masa ini. Inisiatif yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia untuk menggalakkan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab (responsible financing) kekal relevan dan telah menyumbang kepada kestabilan sektor kewangan serta memastikan matlamat akhir pemilikan rumah tercapai.     

Untuk memastikan pemohon pembiayaan perniagaan dan perumahan terus mendapat khidmat nasihat dan bantuan, Bank Negara Malaysia, dengan kerjasama CGC, AKPK dan institusi-institusi kewangan akan menawarkan khidmat nasihat sehenti kepada pemohon-pemohon pembiayaan yang tidak berjaya mendapat pinjaman dengan menubuhkan “Khidmat Nasihat Pembiayaan”. Pusat sehenti ini menawarkan khidmat nasihat, mudahcara dan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mempertingkatkan kelayakan untuk permohonan pembiayaan serta membuka pilihan pembiayaan alternatif yang lebih luas dan bersesuaian.

Khususnya, Khidmat Nasihat Pembiayaan membantu pemohon pembiayaan PKS dan pembeli rumah melalui 3 langkah berikut:

  1. pertama, membantu pemohon memahami faktor-faktor permohonan mereka ditolak. Meskipun institusi-institusi kewangan perlu menyatakan sebab-sebab sesuatu permohonan ditolak, Khidmat Nasihat Pembiayaan akan membantu untuk memberi keterangan yang lebih lanjut seperti penilaian terhadap kemampuan untuk membayar balik pembiayaan;
  2. kedua, membantu pemohon mendapatkan nasihat berkenaan cara-cara untuk meningkatkan kelayakan bagi mendapatkan pembiayaan pada masa akan datang, seperti menyimpan rekod pengurusan kewangan yang lengkap; dan
  3. ketiga, membantu pemohon mendapatkan penyelesaian alternatif. Bagi PKS yang berdaya maju, CGC akan merujuk mereka kepada sumber pembiayaan alternatif. Manakala bagi pembeli rumah pula, AKPK akan merujuk pemohon kepada penyelesaian alternatif termasuk e-rezeki untuk meningkatkan kelayakan, modul pendidikan kewangan di Portal Rumahku dan program pengurusan kredit bagi mempertingkatkan dan menyediakan bakal peminjam dengan pengetahuan pengurusan kredit yang baik.

Inisiatif Khidmat Nasihat Pembiayaan ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan kredibiliti pengguna kewangan dengan merapatkan jurang maklumat yang tidak simetri antara pengguna dan institusi-institusi kewangan. Inisiatif ini juga turut melengkapi usaha-usaha yang diambil Bank Negara Malaysia untuk menggalakkan sektor kewangan yang kukuh, progresif dan terangkum. Walaupun segmen sasaran berbeza, Bank Negara Malaysia ingin menekankan pentingnya institusi-institusi kewangan, CGC dan AKPK bekerjasama, terutamanya dalam memperkasakan Khidmat Nasihat Pembiayaan sebagai 'sebuah pusat sehenti’ di masa hadapan.

Pelbagai langkah telah diambil dalam usaha membantu sektor perniagaan dan juga isi rumah. Bagi menyokong pembangunan PKS, Bank Negara Malaysia telah menerajui usaha pembinaan ekosistem pembiayaan yang holistik untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan di samping menggalakkan budaya kredit yang kukuh. Antara inisiatif yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia termasuk Skim Pembiayaan Mikro, Skim Jaminan Kredit oleh CGC, Tabung BNM untuk PKS berjumlah RM9.1 bilion, fleksibiliti selama dua tahun terhadap penyusunan dan penjadualan semula pembiayaan PKS dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil bagi PKS yang berdaya maju. Institusi-institusi kewangan diseru agar terus proaktif dalam melaksanakan penstrukturan semula dan penjadualan semula pembiayaan.

Bagi pembeli rumah pula, peruntukan dana khas sebanyak RM1 bilion yang telah dilancarkan pada awal Januari tahun ini akan membantu pembeli rumah daripada kumpulan berpendapatan rendah membiaya pembelian rumah pertama. Sebagai langkah tambahan untuk membantu golongan sasar memiliki rumah pertama mereka, Bank Negara Malaysia sukacita memaklumkan beberapa penambahbaikan kepada kriteria dan ciri-ciri Dana Rumah Mampu Milik seperti berikut:

  1. pertama, meningkatkan kelayakan pemohon oleh warganegara Malaysia dengan pendapatan maksimum bulanan isi rumah dari RM2,300 kepada pendapatan maksimum B40 yang kini pada kadar RM4,360; dan
  2. kedua, meningkatkan had harga maksimum rumah layak dibiayai dari RM150,000 kepada RM300,000, selaras dengan definisi harga rumah mampu milik dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara. 

Sekali lagi, saya bagi pihak Bank Negara Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada AKPK, CGC dan institusi-institusi kewangan di atas sokongan untuk melancarkan Khidmat Nasihat Pembiayaan ini. Kepada para hadirin, terima kasih sekali lagi kerana sudi hadir di majlis ini dan semoga inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan baik dan jayanya dan dapat dimanfaatkan oleh golongan yang disasarkan. Anda juga dialu-alukan untuk melawat ruang pameran di luar dewan ini yang disediakan oleh AKPK dan CGC untuk memahami lebih lanjut berkenaan Khidmat Nasihat Pembiayaan serta gerai jualan oleh PKS.

Dengan lafaz Bismillah-hirRahman-niRahim saya dengan ini merasmikan Khidmat Nasihat Pembiayaan ini.

 

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.