Print       Share


Ucapan Alu-aluan Penolong Gabenor di Seminar Pembiayaan PKS dan Klinik Kewangan

Speaker: Encik Adnan Zaylani Mohamad Zahid Venue: Geno Hotel Shah Alam Language: Bahasa Malaysia Speech Date: 12 Dec 2019

Bagi pihak Bank Negara Malaysia, saya mengalu-alukan kehadiran para hadirin ke Seminar Pembiayaan PKS dan Klinik Kewangan pada hari ini. Kami berbesar hati atas kesudian Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan meluangkan masa, untuk menyempurnakan pelancaran inisiatif mengukuhkan keupayaan PKS ini. Kami juga ingin merakamkan ribuan terima kasih di atas sokongan dan kerjasama Kementerian Kewangan, agensi-agensi Kerajaan, institusi-institusi kewangan dan semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, sesi ini adalah kesinambungan kepada usaha BNM untuk mempertingkatkan pengetahuan dan pemahaman PKS mengenai isu-isu berkaitan pembiayaan. Sepanjang 2019, sebanyak 21 program di 7 lokasi telah diadakan termasuk di Miri, Kuala Terengganu, Melaka, Kangar, Sandakan, Langkawi dan Selangor yang telah dihadiri lebih 10,000 usahawan tempatan. 85% daripada peserta Seminar Pembiayaan PKS dan Klinik Kewangan menyatakan bahawa pengetahuan dan pemahaman mereka telah meningkat dengan menghadiri program ini. Di samping itu, pelbagai isu dibincangkan secara interaktif bersama komuniti perniagaan ini. Antara isu-isu utama yang sering dibangkitkan termasuklah kelayakan meminjam, kekurangan kesedaran dan pemahaman tentang skim pembiayaan yang tersedia untuk PKS serta penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman.

Dalam suasana ekonomi global kini menganjak kepada situasi pertumbuhan yang lebih sederhana, ekonomi Malaysia terus berdaya tahan, disokong oleh asas-asas yang kukuh. Ekosistem pembiayaan kita kukuh dan berfungsi dengan baik. Pada akhir Oktober 2019, jumlah pembiayaan terkumpul adalah RM314 bilion atau 813,000 akaun PKS, di mana kelulusan pembiayaan bagi sepuluh bulan pertama tahun ini adalah sebanyak RM59 bilion kepada 98,000 akaun PKS.

Pelbagai langkah dan inisiatif holistik telah diambil untuk terus menambahbaik ekosistem pembiayaan dan menyokong pertumbuhan PKS. Ini termasuk menggalakkan lebih banyak inovasi daripada institusi kewangan, mempertingkatkan kecekapan proses pembiayaan, mengukuhkan kewangan PKS dan meningkatkan produk jaminan kredit. Namun begitu, hakikatnya mungkin akan terdapat segelintir PKS yang menghadapi kesukaran untuk mengakses pembiayaan. Inisiatif yang berterusan untuk menangani kekangan pembiayaan oleh sesetengah PKS menjadi salah satu keutamaan Bank Negara Malaysia dan institusi perbankan. Antaranya termasuk penambahbaikan dalam keperluan dokumen, sokongan bina upaya PKS dalam bidang pengurusan kewangan serta pendekatan baharu dalam penilaian kredit melalui penggunaan teknologi dan data alternatif. Pelaksanaan platform permohonan pembiayaan atas talian (“imSME”), yang dikendalikan oleh Credit Guarantee Corporation (CGC), telah membantu mengurangkan kos carian dan meluaskan sumber pembiayaan bagi memenuhi keperluan pembiayaan PKS. Sukacita saya ingin berkongsi bahawa imSME telah meluluskan RM144 juta pembiayaan melalui portal ini sejak dilancarkan pada Februari 2018. Disamping itu, lebih 7,500 usahawan yang tidak dapat padanan pembiayaan diportal ini telah dibantu oleh Penasihat Kewangan imSME. Penasihat bertauliah ini memberi bimbingan dan nasihat perniagaan atau kewangan supaya pemohon dapat memperbaiki kekurangan sedia ada dalam mendapatkan pembiayaan perniagaan.

Ekosistem pembiayaan PKS turut dilengkapi dengan inisiatif sedia ada yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia termasuk Skim Pembiayaan Mikro, Skim Jaminan Kredit oleh CGC, Tabung BNM untuk PKS berjumlah RM9.1 bilion dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil bagi membantu PKS yang mempunyai masalah membayar balik pinjaman. Bank Negara Malaysia turut prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi oleh PKS dalam hal ini. Oleh itu institusi kewangan telah diberi fleksibiliti selama dua tahun terhadap penyusunan dan penjadualan semula pembiayaan PKS supaya mereka terus proaktif dalam membantu PKS yang mempunyai masalah aliran tunai dalam perniagaan. Dalam masa 9 bulan pertama tahun ini, lebih daripada 1400 PKS telah dibantu melalui penyusunan dan penjadualan semula pembiayaan.

Untuk memastikan pemohon pembiayaan perniagaan dan perumahan terus mendapat khidmat nasihat dan bantuan yang berterusan, Bank Negara Malaysia, dengan kerjasama CGC, AKPK dan institusi-institusi kewangan turut menawarkan khidmat nasihat sehenti kepada pemohon-pemohon pembiayaan yang tidak berjaya mendapat pinjaman, dengan menubuhkan “Khidmat Nasihat Pembiayaan” atau MyKNP. Pusat sehenti ini menawarkan khidmat nasihat sebab-sebab permohonan ditolak, petua dan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mempertingkatkan kelayakan untuk permohonan pembiayaan, serta pemakluman mengenai sumber pembiayaan yang lain atau bersesuaian, termasuk pembiayaan alternatif.

Di samping pembiayaan, satu topik yang ingin saya bawa kepada usahawan PKS bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing ialah penggunaan perkhidmatan pembayaran secara elektronik atau e-pembayaran. Berbanding kaedah pembayaran konvensional seperti wang tunai dan cek, e-pembayaran berpotensi untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing PKS dengan menawarkan perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan selamat. Kajian Bank Negara Malaysia menganggarkan kos yang ditanggung oleh peniaga untuk mengendalikan wang tunai adalah tinggi. Kita dapati secara puratanya, bagi setiap bayaran tunai yang dibuat oleh peniaga dan juga bagi setiap bayaran tunai yang diterima oleh peniaga daripada pelanggan, lebih daripada RM2 akan keluar sebagai kos pengendalian. Kos ini merangkumi kos mengeluarkan dan mendepositkan wang tunai di bank, kos untuk mengira, menyelaras dan menyimpan wang tunai di premis perniagaan dan kerugian yang ditanggung sekiranya terdapat sebarang kecurian atau kehilangan wang tunai.

Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia dan pihak industri perbankan telah mengambil langkah-langkah yang berterusan untuk mempermudahkan akses dan kemudahan e-pembayaran. Sebagai contoh, PKS boleh menggunakan perkhidmatan seperti Instant Transfer atau DuitNow untuk membuat bayaran melalui pelbagai saluran seperti perbankan Internet, perbankan mudah alih dan juga ATM. Bagi menggalakkan lebih banyak PKS untuk menggunakan perkhidmatan ini, tiada caj dikenakan bagi sebarang transaksi yang bernilai RM5,000 dan ke bawah. Di samping itu, PKS boleh menerima bayaran daripada pelanggan secara elektronik dengan menggunakan terminal kad pembayaran atau kod QR. Dalam hal ini, perkhidmatan DuitNow QR telah diperkenalkan di mana peniaga hanya perlu memaparkan satu kod QR bersepadu untuk menerima bayaran daripada pemegang akaun bank dan pemegang akaun wang elektronik bukan bank. Sukacita saya kongsikan bahawa DuitNow QR kini ditawarkan oleh 2 bank tempatan manakala lebih banyak bank dan pengeluar wang elektronik bukan bank akan menawarkan perkhidmatan ini secara berperingkat pada tahun hadapan.

Akhir kata, saya bagi pihak Bank Negara Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Dato’ Wira Haji Amiruddin bin Haji Hamzah, Timbalan Menteri Kewangan, pihak Kementerian Kewangan, agensi-agensi Kerajaan, institusi-institusi kewangan dan semua pihak berkepentingan di atas sokongan untuk melancarkan dan menjayakan Seminar Pembiayaan PKS dan Klinik Kewangan pada hari ini. Kepada para hadirin, terima kasih kerana sudi hadir di majlis ini dan semoga inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan baik dan jayanya dan dapat dimanfaatkan oleh PKS sebaiknya. Anda juga dialu-alukan untuk menyertai semua program yang dijadualkan termasuk ‘pocket talk’, sesi seminar pembiayaan dan klinik PKS serta melawat kaunter nasihat yang disediakan.

 

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.