News & Media Centre

>  Speeches & Interviews > Governor's Opening Address at the Seminar on Understanding the Concept & Application of Al-Rahnu
 
 
Governor's Opening Address at the Seminar on Understanding the Concept & Application of Al-Rahnu
 

Speaker : Governor Dr. Zeti Akhtar Aziz
Venue : Institut Kefahaman Islam Malaysia, Kuala Lumpur
Date : 12 November 2001
Language : Bahasa Malaysia

 
 

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) kerana menjemput saya untuk merasmikan Seminar Kefahaman Mengenai Konsep dan Aplikasi Sistem Ar-Rahnu pada pagi ini. Seminar ini dianjurkan pada masa yang amat sesuai, ia itu, ketika isu mengenai hala tuju dan pembangunan sistem kewangan pada masa depan sedang diperbincangkan, khususnya, di masa usaha-usaha untuk mengembangkan sistem perbankan dan kewangan Islam sedang diperhebatkan. Ini termasuk perbincangan mengenai produk dan perkhidmatan yang lebih kompleks serta prasarana kewangan yang perlu bagi memenuhi keperluan pelanggan yang bertambah canggih dan kompleks. Di samping itu, kita juga ingin mempastikan sistem kewangan kita mampu memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat. Di dalam konteks ini, Skim Ar-Rahnu adalah sangat sesuai, memandangkan ianya menyediakan satu produk kewangan untuk golongan perniaga kecil yang ada kalanya mempunyai kesukaran untuk mendapat kemudahan pinjaman dari sistem kewangan konvensional.

Kita juga perlu sedar bahawa sektor kewangan adalah satu sektor penting dalam menentukan prestasi ekonomi dan seterusnya mutu kehidupan harian. Sistem kewangan memainkan peranan yang amat penting di dalam menyokong proses pertumbuhan ekonomi. Oleh yang demikian, sistem kewangan perlu menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan yang lengkap untuk memenuhi keperluan ekonomi negara. Sistem kewangan juga perlu beroperasi dengan cekap dengan menyediakan produk serta perkhidmatan yang sesuai pada masa yang diperlukan dengan kos yang terendah. Pada masa yang sama kita juga memerlukan satu sistem kewangan yang stabil dan berdaya tahan bagi menghadapi cabaran-cabaran yang wujud daripada perubahan dan suasana yang tidak menentu yang boleh menjejaskan kestabilan. Kita juga memerlukan satu sistem kewangan yang mampu memenuhi agenda sosial agar Malaysia boleh mencapai pertumbuhan yang mengambil kira pembangunan semua lapisan masyarakat. Aspirasi kita sudah tentu meliputi pembangunan sistem kewangan Islam yang menyeluruh sebagai satu alternatif yang lengkap dan berdaya maju.

Skim Ar-Rahnu yang mula diperkenalkan kira-kira lapan tahun lalu kini telah menempa nama sebagai satu skim yang berdaya maju dari segi memberi akses pembiayaan kepada peniaga-peniaga kecil untuk mendapat sumber kewangan dengan mudah. Skim gadaian secara Islam ini mula diperkenalkan pada tahun 1993 di Terengganu menerusi Muasassah Gadaian Islam Terengganu, diikuti dengan Kelantan dan seterusnya diperluaskan pada tahun yang sama menerusi Skim Ar-Rahnu yang melibatkan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) sebagai institusi pelaksana dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia Berhad (YPEIM). Di samping Bank Rakyat, Bank Islam juga telah menyertai Skim ini sejak dua tahun yang lalu.

Objektif Skim Ar-Rahnu adalah untuk mewujudkan satu saluran pinjaman alternatif kepada pajak gadai konvensional, yang bukan sahaja lebih telus dan beretika tetapi juga menepati lunas-lunas Syariah. Di samping itu, Skim Ar-Rahnu juga diharap akan dapat menyumbang untuk memajukan lagi kedudukan sosio-ekonomi rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama menerusi pembiayaan mikro kredit dan juga meningkatkan jumlah produk perbankan Islam selaras dengan matlamat Kerajaan untuk membina satu sistem kewangan Islam yang menyeluruh meliputi semua aspek kewangan termasuk perbankan, insurans dan pasaran modal.

Lazimnya, Skim Ar-Rahnu menjadi sumber dana bagi mereka yang memerlukan pinjaman dengan kadar segera untuk satu tempoh tertentu. Biasanya sebahagian besar pelanggan-pelanggan Skim ini tidak mempunyai akses kepada sumber dana yang lain atau mempunyai kapasiti untuk mendapat pinjaman atau pembiayaan daripada institusi kewangan. Justeru itu, golongan ini, sama ada mereka yang menghadapi masalah kesempitan wang atau mereka yang memerlukan wang untuk perniagaan kecil boleh menggunakan Skim Ar-Rahnu kerana sistem dan tatacaranya adalah pantas, fleksibel dan mudah. Di bawah skim ini, penggadai atau pelanggan hanya perlu mengemukakan barangan berharga iaitu emas sebagai cagaran manakala proses meluluskan pinjaman hanya mengambil masa yang singkat memandangkan pinjaman ini disandarkan sekuriti sepenuhnya. Pelanggan tidak perlu melalui tatacara permohonan dan penilaian kredit yang kompleks sepertimana yang harus dilalui oleh pelanggan yang memohon pembiayaan atau pinjaman daripada institusi kewangan. Faktor inilah yang menyebabkan pelanggan lebih tertarik untuk mendekati Skim ini.

Mengimbas kembali aktiviti Ar-Rahnu semenjak diperkenalkan, saya berbangga kerana ia mendapat sambutan yang menggalakkan . Saya dimaklumkan bahawa jumlah pengeluaran pinjaman menerusi skim ini sehingga akhir Ogos tahun ini telah mencapai RM620 juta manakala jumlah pelanggan yang menggunakan kemudahan ini juga telah meningkat kepada lebih 680,000 orang. Pencapaian ini amatlah memberangsangkan. Walaubagaimana pun saya berpendapat bahawa rangkaian cawangan institusi-institusi pelaksana yang menawarkan Skim Ar-Rahnu masih terhad untuk memberi perkhidmatan kepada segenap lapisan masyarakat diseluruh negara. Gabungan kedua-dua institusi pelaksana hanyalah 150 buah pada masa ini, berbanding dengan lebih 2,300 cawangan institusi-institusi kewangan yang menyertai skim perbankan Islam di seluruh negara. Saya berpendapat institusi-institusi kewangan mempunyai peranan untuk menyertai skim Ar-Rahnu sebagai institusi pelaksana kerana ia akan dapat membantu dalam menyebarluaskan lagi penggunaan skim Ar-Rahnu. Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan agar institusi kewangan membuat kajian terperinci mengenai dayamaju Skim ini dan seterusnya turut terlibat sama dalam memasarkan skim Ar-Rahnu kepada pelanggan-pelanggan mereka. Penyertaan institusi kewangan di dalam skim Ar-Rahnu secara tidak langsung akan melengkapkan rangkaian produk perbankan Islam yang sedia ada yang ditawarkan oleh institusi kewangan.

Dalam pada itu, saya juga ingin mencadangkan supaya satu kajian dari segi operasi dan Syariah sama ada "receivables" yang terhasil dalam urus niaga Skim Ar-Rahnu boleh diguna untuk menjana modal bagi institusi pelaksana. Salah satu caranya adalah menggunakan "receivables" tersebut untuk meningkatkan aliran tunai institusi pelaksana menerusi amalan pengsekuritian dalam pasaran modal. Sekiranya cadangan ini adalah berdaya maju and selaras dengan prinsip Syariah, pasaran sekunder dengan emas sebagai sandaran boleh diwujudkan untuk meningkatkan kitaran pembiayaan menerusi Skim Ar-Rahnu.

Bagi memastikan institusi kewangan dapat menyumbang dengan efektif di dalam skim ini, institusi kewangan perlu mempertingkatkan kualiti perkhidmatan mereka. Kemahiran kakitangan di cawangan-cawangan adalah penting dalam proses interaksi di antara bank dengan pelanggan. Ini lebih mendesak terutamanya di cawangan-cawangan yang pelanggannya tidak begitu arif dalam aspek kewangan. Oleh itu, kakitangan cawangan yang tidak berkemahiran dan berpengetahuan yang mendalam dalam memasarkan produk mereka akan menyebabkan pelanggan menjauhkan diri daripada menggunakan kemudahan perbankan yang ditawarkan oleh institusi kewangan dan sebaliknya mencari akses pembiayaan dari sumber-sumber lain. Keadaan ini akan menjadi lebih rumit sekiranya institusi kewangan tidak begitu peka mengenai bidang perniagaan baru yang diceburi oleh pelanggan. Bank dan institusi kewangan perlu melengkapkan ilmu dan kepakaran dalam bidang-bidang baru dan tidak sepatutnya selesa dengan bidang perbankan tradisional semata-mata. Oleh yang demikian, adalah perlu bagi kakitangan institusi perbankan, terutamanya di cawangan dilatih dan dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi untuk menghadapi kemunculan produk-produk yang memerlukan kemahiran-kemahiran dan kepakaran-kepakaran baru.

Skim Ar-Rahnu dapat memainkan peranannya sekiranya dipasarkan sebagai satu produk mikro-kredit institusi kewangan dan sekaligus berfungsi sebagai produk mikro-kredit serampang dua mata. Pertamanya, sebagai saluran kredit kepada mereka yang ingin menggunakan Skim Ar-Rahnu untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung keperluan kewangan harian; dan keduanya, sebagai saluran kredit kepada mereka yang memerlukan modal kerja sementara, terutamanya peniaga-peniaga kecil.

Dalam memenuhi objektif yang pertama, institusi pelaksana Skim Ar-Rahnu bukan sahaja perlu menyediakan saluran yang efektif untuk membantu mereka yang memerlukan wang dengan segera, malah institusi pelaksana hendaklah menyediakan satu pangkalan data untuk mengenalpasti golongan yang sering bergantung kepada Skim ini. Institusi pelaksana dan YPEIM perlu bekerjasama untuk mengenalpasti golongan ini dan membantu dan menyerapkan mereka ke dalam program-program sosio-ekonomi anjuran YPEIM bersama-sama agensi-agensi di bawah Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.

Objektif yang kedua ialah perlunya Skim Ar-Rahnu dipaparkan sebagai satu sumber pembiayaan untuk golongan peniaga kecil bagi menjana modal dengan pantas dan berkesan untuk perniagaan mereka. Kita tahu bahawa ramai peniaga Bumiputra berpotensi ingin mengembangkan perniagaan atau mendapatkan modal asas tetapi menghadapi masalah akses kepada pinjaman bank kerana ketiadaan 'track record' untuk dikemukakan. Sekiranya golongan peniaga ini mempunyai barangan emas mereka boleh menggunakannya sebagai sandaran atau cagaran dalam Skim Ar-Rahnu untuk mendapatkan modal pusingan, dan sekiranya kitaran perniagaannya tinggi, penggunaan Skim Ar-Rahnu bukan sahaja akan dapat memperbaiki aliran mudah tunainya, bahkan dapat membantu mengurangkan kos operasi perniagaan mereka. Secara relatifnya, kos pembiayaan akan menjadi lebih rendah dan peniaga kecil berkenaan akan dapat menikmati margin keuntungan yang lebih tinggi. Setelah memperolehi kembali modal dan keuntungannya, peniaga berkenaan akan membayar balik pinjaman di bawah Skim ini dan seterusnya menebus semula barangan emas yang dicagarkan.

Sehubungan itu, penggunaan Skim Ar-Rahnu sebagai satu sumber pinjaman yang mudah untuk tujuan perniagaan akan merupakan satu saluran dana tambahan kepada golongan peniaga kecil. Saluran dan mekanisme pembiayaan melalui Skim Ar-Rahnu perlu dipertingkatkan dan dikendalikan dengan cekap supaya ia boleh menjadi satu produk pembiayaan yang berdaya maju dan berdaya saing dengan produk-produk perbankan Islam yang lain.

Usaha membasmi kemiskinan akan terus menjadi urusan utama dalam menyusun semula masyarakat Malaysia, khususnya untuk merapatkan jurang di antara golongan berada dan yang kurang berada. Skim Ar-Rahnu boleh membantu Kerajaan untuk mencapai matlamat ini.

Saya berharap usaha-usaha murni yang kini dijalankan oleh institusi-institusi yang terlibat dalam Skim Ar-Rahnu akan terus disokong, malah dilipatgandakan. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada agensi-agensi pelaksana Skim Ar-Rahnu di atas kejayaan menggerakkan Skim ini dan menjadikannya satu alternatif pembiayaan yang berdaya maju. Juga kepada IKIM kerana mengambil inisiatif menganjur Seminar ini. Marilah kita sama-sama berdoa semoga usaha kita dalam pelaksanaan skim ini mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah dan sekaligus membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi umat Islam dan masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirahmannirahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Kefahaman Mengenai Konsep dan Aplikasi Sistem Ar-Rahnu.

Terima Kasih.

 

Bank Negara Malaysia
12 November 2001

 
© Bank Negara Malaysia, 2014. All rights reserved.
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 03 December 2008
 

Stay connected

FacebookFacebook
Engage with us
TwitterTwitter
Follow our latest updates
 
 





Best viewed 1024 x 768 with Internet Explorer 7.0 and Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 23 August 2014