Cetak       Kongsi


Malaysian Financial Sector

Perbankan Islam dan Takaful

Industri Perbankan Islam


Perbankan Islam merujuk kepada sistem perbankan yang mematuhi undang-undang Islam yang juga dikenali sebagai undang-undang Syariah. Prinsip-prinsip asas yang mentadbir perbankan Islam ialah perkongsian untung dan risiko antara pihak-pihak yang berurus niaga, jaminan keadilan untuk semua dan urus niaga berdasarkan aktiviti perniagaan atau berasaskan aset.

Prinsip-prinsip ini disokong oleh nilai-nilai teras perbankan Islam yang menggalakkan aktiviti yang memupuk keusahawanan, perdagangan dan membawa kepada pembangunan kemasyarakatan atau manfaat. Kegiatan yang melibatkan faedah (riba), perjudian (maisir) dan urus niaga spekulatif (gharar) adalah dilarang.

Melalui penggunaan pelbagai konsep kewangan Islam seperti ijarah (sewaan), mudharabah (perkongsian keuntungan), musyarakah (perkongsian), institusi perbankan mempunyai fleksibiliti, kreativiti dan pilihan dalam penghasilan produk kewangan Islam. Tambahan pula, dengan menekankan keperluan untuk urus niaga yang disokong oleh kegiatan perdagangan atau perniagaan sebenar, perniagaan perbankan Islam menetapkan piawaian yang lebih tinggi untuk pelaburan serta menggalakkan kebertanggungjawaban dan penghindaran risiko.

Kewangan Islam telah berkembang dengan pesat sejak mula diperkenalkan pada tahun 1970-an. Aset semasa dan aset di bawah pengurusan perbankan Islam global telah mencapai USD750 bilion dan dijangka mencecah USD1 trilion menjelang tahun 2010.

Terdapat lebih daripada 300 institusi kewangan Islam di seluruh dunia beroperasi di 75 negara. Menurut Asian Banker Research Group, 100 bank Islam terbesar di dunia telah mencatatkan kadar pertumbuhan aset tahunan sebanyak 26.7%2 dan industri kewangan Islam global mengalami pertumbuhan tahunan purata sebanyak 15-20%.

Industri kewangan Islam di Malaysia telah wujud lebih daripada 30 tahun. Penguatkuasaan Akta Bank Islam 1983 membolehkan Bank Islam yang pertama ditubuhkan di negara ini dan seterusnya, dengan liberalisasi sistem kewangan Islam, lebih banyak institusi kewangan Islam telah ditubuhkan.

Rekod prestasi Malaysia yang panjang dalam membangunkan industri kewangan Islam domestik selama lebih 30 tahun telah memberikan asas yang kukuh - dasar kestabilan kewangan yang utuh yang melengkapkan kekayaan, kepelbagaian dan kematangan sistem kewangan. Pada masa ini, aset perbankan Islam Malaysia berjumlah USD65.6 bilion dengan kadar pertumbuhan purata sebanyak 18-20% setahun.

Hari ini, kewangan Islam Malaysia terus berkembang pesat, disokong oleh persekitaran yang kondusif yang terkenal dengan inovasi produk yang berterusan, kepelbagaian institusi kewangan dari seluruh dunia, rangkaian instrumen pelaburan Islam yang inovatif dan meluas, infrastruktur kewangan yang komprehensif serta menerima pakai rangka kerja pengawalseliaan dan amalan terbaik perundangan global. Malaysia juga telah memberikan lebih penekanan terhadap pembangunan modal insan seiring dengan pembangunan industri kewangan Islam bagi memastikan ketersediaan tenaga kerja mahir dalam kewangan Islam. Semua tawaran nilai ini telah menjadikan Malaysia salah satu pasaran perbankan Islam yang paling maju di dunia.

Liberalisasi yang pesat dalam industri kewangan Islam, bersama-sama dengan persekitaran yang memudahkan aktiviti perniagaan telah menggalakkan institusi kewangan asing untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka untuk menjalankan perniagaan perbankan Islam. Ini telah mewujudkan komuniti institusi kewangan tempatan dan antarabangsa yang pelbagai dan semakin berkembang.

Pada masa ini, Malaysia mempunyai banyak bank Islam yang beroperasi sepenuhnya termasuk beberapa entiti milik asing; institusi konvensional yang telah menubuhkan subsidiari perbankan Islam dan juga entiti yang menjalankan perniagaan mata wang asing. Semua institusi kewangan diberikan kebenaran untuk menjalankan perniagaan dalam ringgit dan bukan ringgit.

Malaysia terus berkembang maju dan membangunkan industri ini dengan menggalakkan institusi kewangan asing untuk menubuhkan perniagaan perbankan Islam antarabangsa di Malaysia bagi menjalankan perniagaan mata wang asing.

Institusi kewangan Islam domestik juga boleh memohon untuk menubuhkan Unit Perniagaan Mata Wang Antarabangsa (International Currency Business Unit, ICBU), iaitu bahagian khusus untuk menjalankan perniagaan mata wang asing. ICBU juga akan diberikan pelbagai insentif dan keistimewaan percukaian yang akan mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan memudahkan penyertaan dalam perniagaan kewangan Islam dalam denominasi mata wang asing. Untuk maklumat lanjut mengenai penubuhan dan prosedur permohonan ICBU, sila hubungi Sekretariat MIFC.