Cetak       Kongsi


Money Services Business

Perniagaan Perkhidmatan Wang

Industri pengiriman dan pengurupan wang di Malaysia telah berkembang dengan nyata sedekad yang lalu. Secara tradisinya, perkhidmatan pengiriman wang di Malaysia hanya disediakan oleh institusi perbankan. Dengan aliran pengiriman wang menjadi semakin penting dan ketara, khususnya kiriman wang ke luar negeri oleh pekerja asing di negara ini dan matlamat untuk meningkatkan akses kepada saluran pengiriman wang yang rasmi, Bank Negara Malaysia (BNM) telah meliberalkan dasar bagi membolehkan penyedia perkhidmatan bukan bank menyediakan perkhidmatan pengiriman wang. Bilangan penyedia perkhidmatan pengiriman wang bukan bank telah meningkat kepada 39 pada akhir tahun 2010 daripada 3 pada akhir tahun 2005, sekali gus meningkatkan bilangan saluran untuk mengakses perkhidmatan pengiriman wang. Hasilnya, jumlah pengiriman  wang ke luar negeri melalui saluran rasmi telah berkembang dengan ketara sebanyak 119.7% kepada RM13.4 bilion pada tahun 2010 (2005: RM6.1 bilion). Persekitaran yang lebih berdaya saing dalam industri pengiriman wang juga telah menyumbang ke arah mempertingkat  perkhidmatan kepada pengguna dari segi kos yang lebih rendah, kiriman yang lebih cepat serta saluran yang lebih banyak untuk urus niaga pengiriman wang.
 
Industri pengurupan wang telah berkembang dari semasa ke semasa. Sejak beberapa tahun yang lalu, industri pengurupan wang telah berkembang secara beransur-ansur seperti yang dicerminkan dalam jumlah keseluruhan urus niaga pertukaran yang semakin meningkat. Pada akhir bulan Ogos 2011, jumlah urus niaga industri itu ialah sebanyak RM17.7 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 49% dari tahun 2005. Pada masa ini, terdapat lebih daripada 800 penyedia perkhidmatan berlesen yang beroperasi di lebih daripada 1,000 premis.

Industri pengiriman wang  adalah di bawah kawal selia Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 dan Akta Sistem Pembayaran 2003. Undang-undang khusus untuk mengawal selia industri pengurupan wang, iaitu Akta Pengurupan Wang 1998, telah digubal pada bulan Mac 1998. Kedua-dua industri ini dikawal selia oleh BNM. Selain lesen pengurupan wang  yang memberikan perkhidmatan pertukaran wang secara runcit, BNM juga mengawal selia perniagaan pertukaran mata wang secara borong. Tujuan utama pengawalseliaan ini adalah untuk menggalakkan perlindungan pengguna melalui amalan yang diyakini, telus dan profesional dalam penyediaan perkhidmatan pengiriman wang serta pengurupan wang, dan mencegah industri daripada digunakan sebagai saluran pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Pada tahun 2009, BNM telah menjalankan satu kajian semula ke atas rangka kerja undang-undang dan pengawalselian untuk industri pengurupan wang, perkhidmatan pengiriman dan perniagaan mata wang secara borong di Malaysia, dengan matlamat untuk memodenkan landskap industri itu, dan mengukuhkan perlindungan bagi memelihara integriti industri. Kajian semula itu berakhir apabila Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business) diluluskan pada bulan Julai 2011 yang membolehkan pelesenan, pengawalan dan penyeliaan pengurupan wang, pengiriman wang dan perniagaan mata wang borong di bawah Akta yang sama. Secara kolektif, perniagaan ini dikenali sebagai perniagaan perkhidmatan wang dalam landskap baharu.

Ciri-ciri Utama Landskap Baharu Perniagaan Perkhidmatan Wang


  • Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang tunggal, seragam dan khusus untuk pemegang lesen yang menjalankan perniagaan perkhidmatan wang, yang terdiri daripada mana-mana atau semua yang berikut;
    • Perniagaan Pengurupan Wang;
    • Perniagaan Pengiriman Wang, dan;
    • Perniagaan Mata Wang Borong
  • Fleksibiliti dan peluang perniagaan yang lebih luas termasuk keupayaan untuk menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan di dalam satu entiti tunggal bagi entiti yang berkelayakan, sekali gus menggalakkan sinergi yang lebih mantap antara aktiviti ini dengan skala ekonomi;
  • Keperluan pengawalseliaan yang berbeza mengikut sifat, skala dan kompleksiti entiti perniagaan;
  • Perlindungan yang diperkukuh untuk menggalakkan pengurusan industri yang profesional dan mantap, dan,
  • Tindakan penguatkuasaan yang menyeluruh untuk memastikan pematuhan terhadap Akta yang baharu.