-
Kenapa Bank Negara Malaysia memperkenalkan wang kertas Malaysia siri keempat?
Pengenalan wang kertas Malaysia siri keempat adalah untuk menggabungkan ciri-ciri keselamatan yang lebih moden serta kemajuan teknologi terkini bagi mempertingkat penggunaan dan keselamatan siri wang kertas ini. Wang kertas siri baharu ini akan menggantikan secara beransur-ansur wang kertas sedia ada yang telah berada dalam edaran lebih dari 10 tahun.
-
Apakah denominasi bagi wang kertas Malaysia siri keempat?
Wang kertas Malaysia siri keempat ini dikeluarkan dalam denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100. Wang kertas RM50 pula merupakan denominasi wang kertas Malaysia siri keempat yang pertama diperkenalkan bersempena ulang tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-50 pada bulan Disember 2007.
-
Apakah ciri-ciri utama wang kertas Malaysia siri keempat?
Wang kertas Malaysia siri keempat ini menggabungkan pelbagai ciri keselamatan yang lebih moden selaras dengan kemajuan terkini dalam teknologi cetakan wang kertas dan mengekalkan sebahagian daripada ciri keselamatan yang sedia ada bagi mencegah pemalsuan.
Wang kertas siri keempat akan dicetak dalam substrat tahan lama untuk mengekalkan daya ketahanan serta kualitinya semasa dalam edaran.
-
Apakah spesifikasi teknikal untuk wang kertas Malaysia siri keempat?
Spesifkasi teknikal yang terdapat pada wang kertas Malaysia siri keempat adalah seperti yang berikut:
a. Wang kertas Malaysia siri keempat
Denominasi |
Substrat |
Ukuran |
Warna |
RM100 |
Kertas |
150mm X 69mm |
Ungu |
RM50 |
Kertas |
145mm X 69mm |
Hijau-biru |
RM20 |
Kertas |
145mm X 65mm |
Jingga |
RM10 |
Kertas |
140mm X 65mm |
Merah |
RM5 |
Polimer |
135mm X 65mm |
Hijau |
RM1 |
Polimer |
120mm X 65mm |
Biru |
b. Wang kertas sedia ada
Denominasi |
Substrat |
Ukuran |
Warna |
RM100 |
Kertas |
150mm X 69mm |
Ungu |
RM50 |
Kertas |
145mm X 69mm |
Hijau-biru |
RM10 |
Kertas |
140mm X 65mm |
Merah |
RM5 |
Polimer |
135mm X 65mm |
Hijau |
RM2 |
Kertas |
130mm X 65mm |
Putih-ungu |
RM1 |
Kertas |
120mm X 65mm |
Biru |
-
Apakah tema dan motif yang digunakan bagi wang kertas Malaysia siri keempat?
Tema bagi wang kertas Malaysia siri keempat ialah ‘Keunikan Malaysia’ yang juga menjadi tema duit syiling siri baharu. Ciri-ciri unik yang mencorak budaya dan warisan negara menjadi sumber inspirasi dalam reka bentuk wang kertas Malaysia siri keempat ini. Motif reka bentuk wang kertas ini memaparkan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna, serta seni kraf tangan tradisional yang unik di Malaysia. Motif untuk setiap denominasi adalah seperti yang berikut:
Denominasi |
Tema |
Ikon |
RM100 |
Keindahan Alam Semula Jadi |
Gunung Kinabalu dan pembentukan batu mercu batu kapur di lembah Gunung Api dalam Taman Negara Mulu |
RM50 |
Pertanian dan Teknologi |
Kelapa Sawit dan BioteknologI |
RM20 |
Hidupan Laut |
Penyu Karah dan Penyu Belimbing |
RM10 |
Flora |
Rafflesia Azlanii |
RM5 |
Hidupan Liar |
Burung Enggang Badak |
RM1 |
Sukan Tradisional |
Wau Bulan |
-
Adakah terdapat ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada wang kertas Malaysia siri keempat?
Ciri-ciri keselamatan pada wang kertas Malaysia siri keempat menggabungkan ciri-ciri keselamatan yang lebih moden dan mengekalkan beberapa ciri keselamatan yang sedia ada.
Ciri-ciri keselamatan baharu bagi wang kertas Malaysia siri keempat ialah Potret Tera Air Piksel dengan Angka, Benang Kanta Mikro dengan petak berkilat berwarna. Ciri-ciri keselamatan yang sedia ada pula ialah Imej Tanda Bayang, Tingkap Pandang Telus, Benang Keselamatan dengan Warna Berubah-ubah, Tanda Pandang Telus, Cetakan Intaglio, Unsur Cahaya Pendarfluor Limunan dan Cetakan Huruf Mikro.
-
Adakah terdapat ciri-ciri yang menjadikan wang kertas siri keempat ini lebih mudah untuk digunakan oleh orang ramai dan mereka yang kurang upaya penglihatan?
Ya, wang kertas siri keempat ini mengekalkan saiz dan warna asalnya bagi memudahkan orang ramai dan golongan yang kurang upaya penglihatan. Ciri-ciri Braille juga terdapat dalam wang kertas siri keempat ini.
-
Bilakah wang kertas siri keempat ini akan berada dalam edaran?
Wang kertas siri keempat ini akan mula berada dalam edaran pada suku kedua tahun 2012.
-
Bagaimanakah pula dengan wang kertas yang sedia ada dalam edaran. Perlukah saya menukar wang kertas sedia ada kepada wang kertas baharu?
Wang kertas sedia ada masih boleh digunakan kerana ia masih sah diperlakukan. Wang kertas siri keempat ini akan diedarkan bersama-sama dengan wang kertas yang sedia ada. Wang kertas sedia ada akan dikeluarkan daripada edaran secara beransur-ansur.
-
Adakah mesin wang tunai (contohnya: mesin parkir, mesin layan diri, mesin deposit wang kertas dan ATM) sedia menerima wang kertas siri keempat ini?
Ya, mesin wang tunai boleh menerima wang kertas siri keempat ini selepas mesin tersebut diubah suai. Vendor yang mengendalikan mesin wang tunai diberikan tempoh selama 6 bulan untuk mengubah suai mesin mereka sebelum wang kertas siri baharu ini digunakan sepenuhnya.
- Di manakah boleh saya membeli wang kertas peringatan untuk wang kertas siri keempat ini?
Wang kertas peringatan siri keempat ini boleh dibeli dalam jenis dan pada harga seperti yang berikut:
Jenis/Denominasi |
Kuantiti |
Harga satu set |
Set Penuh (RM1, RM5, RM10, RM20, RM50, RM100) |
50,000 |
RM300 |
Set dalam 1 (RM20) |
500,000 |
RM30 |
Set dalam 2 (RM1 dan RM5) |
500,000 |
RM15 |
Orang ramai boleh membeli wang kertas peringatan di kaunter mulai Khamis, 22 Disember 2011 di:
-
BNMLINK (Laman Informasi Nasihat & Khidmat)
Tingkat Bawah, Blok D
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur, Malaysia
No. Telefon : +603 2698 8044 / 9044 (Sambungan: 7417 / 7390)
Masa : 9.00 pagi - 5.00 petang
-
Pejabat Wilayah Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang dan Johor Bahru.
-
Cawangan Bank Negara Malaysia di Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu.
-
Mengapakah BNM menukar substrat kertas kepada polimer untuk wang kertas RM1
BNM menukar wang kertas RM1 kepada substrat polimer kerana polimer mempunyai daya tahan yang tinggi dan amat sesuai untuk denominasi wang yang lebih rendah yang paling kerap digunakan.
-
Mengapakah BNM memperkenalkan semula denominasi RM20?
Denominasi RM20 diperkenalkan semula sebagai memenuhi keperluan orang ramai kerana ia merupakan denominasi pengantara untuk mengisi jurang antara denominasi RM10 dengan RM50. Ini bagi memudahkan orang ramai dalam urusan pembayaran mereka.
-
Adakah BNM akan memperkenalkan semula RM500 dan RM1,000?
Tidak. BNM tidak bercadang memperkenalkan wang kertas RM500 dan RM1,000 kerana wang kertas yang sedia ada mampu memenuhi keperluan transaksi perniagaan secara runcit.