Soalan Lazim
- Kenapa BNM memperkenalkan duit syiling Malaysia siri baharu?
- Apakah denominasi duit syiling siri baharu?
- Apakah kelebihan duit syiling siri baharu?
- Apakah tema dan motif yang digunakan dalam duit syiling siri baharu?
- Apakah ciri keselamatan baharu yang terdapat pada duit syiling siri baharu?
- Adakah terdapat ciri-ciri lain yang menjadikan duit syiling siri baharu ini lebih mudah digunakan oleh orang ramai dan mereka yang kurang upaya penglihatan?
- Bilakah duit syiling siri baharu ini akan berada dalam edaran?
- Bagaimana pula dengan duit syiling yang sedia ada dalam edaran. Perlukah saya menukar duit syiling sedia ada kepada duit syiling baharu? Kenapa?
- Adakah mesin wang tunai (seperti mesin parkir, mesin layan diri, mesin deposit duit syiling) sedia menerima duit syiling siri baharu?
- Di manakah saya boleh membeli duit syiling peringatan untuk duit syiling siri baharu?
- Adakah BNM akan memperkenalkan wang kertas siri baharu?
1. Kenapa BNM memperkenalkan duit syiling Malaysia siri baharu?
Duit syiling Malaysia siri baharu diperkenalkan untuk menggantikan secara beransur-ansur duit syiling sedia ada yang telah berada dalam edaran selama lebih daripada 20 tahun. Duit syiling siri terbaharu ini menggabungkan ciri-ciri praktikal dan moden serta kemajuan teknologi terkini bagi meningkatkan penggunaan dan keselamatan.
2. Apakah denominasi duit syiling siri baharu?
Duit syiling siri baharu ini dikeluarkan dalam denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.
3. Apakah kelebihan duit syiling siri baharu?
Duit syiling siri baharu ini lebih kecil dan ringan untuk memudahkan orang ramai menggunakannya. Duit syiling berwarna kuning dan perak ini juga mempunyai sisi tepi yang berbeza-beza bagi memudahkan orang ramai dan mereka yang kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan dengan lebih baik jenis-jenis duit syiling yang berlainan.
Duit syiling baharu ini dibuat dengan menggunakan kemajuan terkini dalam teknologi pembuatan duit syiling dengan memasukkan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik untuk mengelak daripada pemalsuan. Logam baharu yang digunakan untuk membuat duit syiling ini adalah dari jenis yang lebih berkualiti dan tahan lama. Spesifikasi teknikal untuk duit syiling baharu dan sedia ada adalah seperti yang berikut:
Spesifikasi Teknikal:
a. Duit Syiling Siri Baharu
Nilai Muka |
50 sen |
20 sen |
10 sen |
5 sen |
Logam |
Nikel Loyang Bersalut Kuprum |
Nikel Loyang |
Keluli Tahan Karat |
Keluli Tahan Karat |
Garis Pusat (mm) |
22.65 |
20.60 |
18.80 |
17.78 |
Berat (gram) |
5.66 |
4.18 |
2.98 |
1.72 |
b. Duit-Duit Syiling Sedia Ada
Nilai Muka |
50 sen |
20 sen |
10 sen |
5 sen |
Logam |
Kuprum Nikel 75/25 |
Kuprum Nikel 75/25 |
Kuprum Nikel 75/25 |
Kuprum Nikel 75/25 |
Garis Pusat (mm) |
27.76 |
23.59 |
19.40 |
16.25 |
Berat (gram) |
9.33 |
5.66 |
2.82 |
1.41 |
4. Apakah tema dan motif yang digunakan dalam duit syiling siri baharu?
Tema duit syiling baharu ialah 'Keunikan Malaysia', yang juga digunakan pada siri wang kertas Malaysia. Ciri-ciri unik yang mencorak budaya dan warisan negara menjadi sumber inspirasi dalam reka bentuk duit syiling siri baharu ini. Reka bentuk duit syiling baharu ini memaparkan keindahan alam semulajadi, flora dan fauna, serta seni kraf tangan tradisional yang terdapat di Malaysia. Motif untuk setiap denominasi adalah seperti yang berikut:
Denominasi |
Ikon |
50 sen |
Sulur Kacang |
20 sen |
Bunga Melur |
10 sen |
Motif Orang Asli |
5 sen |
Destar Siga |
5. Apakah ciri keselamatan baharu yang terdapat pada duit syiling siri baharu?
Ciri keselamatan baharu yang terdapat pada duit syiling siri baharu ialah 'clad material', imej pendam (latent image) dan bentuk 'spanish flower'. Semua ciri keselamatan ini boleh dilihat pada duit syiling 50 sen.
6. Adakah terdapat ciri-ciri lain yang menjadikan duit syiling siri baharu ini lebih mudah digunakan oleh orang ramai dan mereka yang kurang upaya penglihatan?
Ya. Duit-duit syiling siri baharu ini mempunyai saiz, sisi tepi dan warna yang berbeza-beza bagi memudahkan orang ramai dan mereka yang kurang upaya penglihatan. Ciri-ciri yang telah dipertingkatkan adalah seperti yang berikut:
Denominasi |
Sisi |
Warna |
50 sen |
Sisi kosong dengan 9 lekuk |
Kuning |
20 sen |
Sisi kesat |
Kuning |
10 sen |
Sisi bergerigi |
Perak |
5 sen |
Sisi kosong |
Perak |
7. Bilakah duit syiling siri baharu ini akan berada dalam edaran?
Duit syiling siri baharu akan berada dalam edaran mulai 16 January 2012. Sila rujuk kenyataan rasmi di sini.
8. Bagaimana pula dengan duit syiling yang sedia ada dalam edaran. Perlukah saya menukar duit syiling sedia ada kepada duit syiling baharu? Kenapa?
Duit syiling sedia ada masih sah diperlakukan. Duit syiling siri baharu akan diedarkan bersama-sama dengan duit syiling sedia ada. Duit syiling sedia ada akan dikeluarkan daripada edaran secara beransur-ansur.
9. Adakah mesin wang tunai (seperti mesin parkir, mesin layan diri, mesin deposit duit syiling) sedia menerima duit syiling siri baharu?
Ya. Duit syiling siri baharu ini boleh digunakan pada pelbagai mesin wang tunai selepas ia diubah suai. Vendor yang mengendali mesin wang tunai diberikan tempoh selama enam bulan untuk mengubah suai mesin mereka bagi memastikan orang ramai dapat menggunakan duit syiling baharu ini dengan mudah.
10. Di manakah saya boleh membeli duit syiling peringatan untuk duit syiling siri baharu?
Pada peringkat permulaan, Bank Negara Malaysia mengeluarkan 50,000 set duit syiling peringatan pada harga RM10 setiap set dan akan menambahkan jumlah kepada 500,000 set secara berperingkat-peringkat.
Orang ramai boleh membeli duit syiling peringatan ini di kaunter bermula dari 26 Julai 2011 di:
-
BNMLINK (Laman Informasi Nasihat & Khidmat)
Tingkat Bawah, Blok D
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur
Malaysia
No. Tel: +603 2698 8044 / 9044 (samb: 7417 / 7390)
-
Cawangan Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu.
11. Adakah BNM akan memperkenalkan wang kertas siri baharu?
Ya. BNM akan mengeluarkan wang kertas peringatan untuk wang kertas Siri Keempat baharu pada bulan September 2011. Wang kertas siri baharu ini akan berada dalam edaran pada suku pertama tahun 2012.
|