| S.1 |
Apakah reka bentuk dan spesifikasi wang polimer RM5?
Wang polimer RM5 masih mengekalkan reka bentuk, warna, saiz dan beberapa ciri keselamatan asal yang terdapat pada wang kertas RM5 sekarang. Namun begitu, terdapat beberapa ciri keselamatan yang telah dikeluarkan dan ditambah pada wang polimer RM5. Butir-butir adalah seperti berikut :
a) Ciri-ciri keselamatan yang dikekalkan :
- Cetakan timbul (intaglio)
- Tanda pandang telus
- Tulisan huruf mikro
- Ciri Braille
- Nombor novel
b) Ciri-ciri keselamatan yang dikeluarkan :
- Potret tanda bayang
- Benang keselamatan
- Benang serat keselamatan
- Imej pendam
c) Ciri-ciri keselamatan baru yang diperkenalkan :
- Tingkap pandang telus dengan imej tanda bayang Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya
- Cetakan timbul angka 5 pada tingkap pandang telus
- Logo Bank di bahagian hadapan wang polimer
- Tingkap legap (tingkap tidak telus) dengan imej logo Bank di bahagian belakang wang polimer
d) Perubahan kecil teks yang terdapat pada wang polimer :
- Saiz perkataan Jawi di sebelah kiri dikecilkan
- Perkataan Jawi dan nombor siri (menegak) di sebelah kiri bertukar tempat
- Frasa “WANG KERTAS INI SAH DIPERLAKUKAN DENGAN NILAI” diubah kepada “WANG INI SAH DIPERLAKUKAN DENGAN NILAI”
Reka bentuk dan ciri keselamatan wang polimer RM5 dipaparkan di dalam poster dan risalah yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia
|
| S.2 |
Kenapa wang polimer RM5 masih mengekalkan reka bentuk asal wang kertas RM5 sekarang?
Rakyat Malaysia telah pun biasa dengan reka bentuk wang kertas RM5. Oleh itu, adalah diputuskan bahawa sungguhpun RM5 akan dicetak menggunakan bahan baru polimer, adalah lebih baik untuk mengekalkan reka bentuk sekarang.
|
| S.3 |
Apakah kelebihan wang polimer?
Kelebihan wang polimer adalah seperti berikut :
- Efektif dan ciri keselamatan yang mudah dikenali terdapat pada wang polimer terutamanya tingkap pandang telus dan imej tanda bayang.
- Tahan lebih lama dimana dengan tahap ketahanan yang tinggi dan kekekalan kualitinya menyebabkan jangka hayatnya menjadi lebih panjang.
- Dengan sifatnya yang tidak poros, wang polimer tidak mudah menjadi kotor dan lembik. Ia tidak menyerap kekotoran atau cecair menjadikan wang polimer sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan.
- Mesra alam dan wang polimer boleh dikitar semula bagi menghasilkan produk-produk yang berguna diakhir hayatnya.
- Mudah diproses dengan menggunakan mesin.
|
| S.4 |
Adakah Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan wang polimer bagi denominasi lain?
Bank Negara Malaysia perlu menjalankan penilaian yang sesuai sebelum memutuskan penggunaan wang polimer ke atas denominasi lain.
|
| S.5 |
Kenapa Bank Negara Malaysia memilih RM5 dan bukannya denominasi lain?
RM5 merupakan salah satu denominasi paling rendah digunakan secara meluas oleh orang ramai. RM1 telah diperkenalkan pada tahun 2000 telah disalut dengan varnis supaya tahan lebih lama. RM10 pula telah dipertingkatkan ciri keselamatannya dan dikeluarkan untuk edaran pada tahun 2004. Oleh itu, RM5 adalah merupakan pilihan yang sesuai.
|
| S.6 |
Adakah Bank Negara Malaysia akan memberhentikan pengeluaran wang kertas RM5?
Ya, Bank Negara Malaysia akan memberhentikan pengeluaran wang kertas RM5 serta merta sebaik sahaja wang polimer dilancarkan. Namun begitu, wang kertas RM5 yang sedia ada kekal sah diperlakukan tetapi ia akan dikeluarkan secara berperingkat dari edaran.
|
| S.7 |
Berapa banyakkah negara-negara yang telah mengeluarkan wang polimer?
Sehingga kini, 23 negara telah mengeluarkan wang polimer samada untuk tujuan edaran biasa atau peringatan.
|
| S.8 |
Adakah wang polimer sukar untuk dikendalikan oleh orang ramai?
Wang polimer mempunyai kesan rasa sentuh dan sifat yang berbeza berbanding wang kertas. Walau bagaimanapun, perbezaan adalah kecil dan tidak mendatangkan masalah. Kebanyakan orang ramai merasakan wang polimer adalah licin berbanding wang kertas dan sedikit berbeza semasa dilipat. Orang ramai dinasihatkan untuk memberi perhatian yang lebih semasa menggunakan wang polimer. Ia tidak mengambil masa yang lama untuk menjadi biasa dan yakin dengan teknologi wang polimer yang baru .
|
| S.9 |
Bagaimanakah tahap ketahanan wang polimer terhadap kelusuhan?
Wang polimer diperbuat daripada bahan bersifat tidak menyerap dan dengan itu ianya tidak menyerap kekotoran dan cecair. Ini menjadikan wang polimer tidak mudah kotor dan nampak lebih bersih. Tambahan pula, salutan varnis yang dibuat ke atas pencetakan menjadi halangan yang baik terhadap kelusuhan akibat kotoran dan cecair.
|
| S.10 |
Bagaimanakah tahap mesra alam wang polimer dan bagaimana untuk memusnahkan / mengitar semula?
Wang polimer akan dirincih seperti wang kertas apabila dikeluarkan dari edaran. Sisa wang polimer boleh dikitar semula menjadi bahan plastik berguna seperti kereta sorong, bekas simpanan, peralatan paip dan lain-lain barangan rumah serta bahan industri.
|
| S.11 |
Adakah wang polimer boleh berfungsi di Mesin Juruwang Automatik (ATM) dan mesin pengeluaran wang yang lain?
Ya, wang polimer boleh digunakan disemua mesin pengeluaran wang yang telah diubahsuai. Walau bagaimanapun, wang polimer RM5 bukanlah denominasi untuk Mesin Juruwang Automatik (ATM).
|
| S.12 |
Bagaimanakah wang polimer bertindakbalas terhadap suhu tinggi daripada alat pemanas atau alat memasak?
Biasanya wang polimer adalah kukuh dan tahan terhadap suhu sehingga 120 darjah celsius. Wang polimer akan mula mengecut pada suhu yang melebihi 120 darjah celsius dan seterusnya menjadi cair pada suhu yang tersangat tinggi.
|
| S.13 |
Bagaimanakah tahap ketahanan wang polimer terhadap koyakan?
Wang polimer adalah sukar untuk dikoyak.
|
| S.14 |
Bagaimanakah cara mengendalikan wang polimer?
Apa Yang Boleh Dilakukan :
- Simpan wang polimer secara mendatar dengan kedudukan menegak
- Gunakan pembalut kertas apabila membungkus wang polimer
- Bersihkan wang polimer dengan sabun dan air sejuk jika ia terpalit dengan minyak, minuman, peluh dan bahan kimia.
Apa Yang Tidak Boleh Dilakukan :
- Jangan dedahkan wang polimer kepada keadaan suhu melampau dengan menempatkannya di atas permukaan yang sangat panas
- Jangan lipat wang polimer dengan menggunakan tekanan yang kuat.
- Jangan gunakan pembalut getah untuk mengikat wang polimer semasa membungkus.
- Jangan gunakan stapler dan pin pada wang polimer.
|