| |
Wang polimer RM5, dikeluarkan untuk edaran oleh Bank Negara Malaysia dari 26 Oktober 2004, mengekalkan reka bentuk, warna, ukuran dan sebahagian ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada wang kertas RM5 yang sedia ada. Walau bagaimanapun, wang polimer lebih tahan lasak dan mempunyai ciri-ciri keselamatan yang unik berbanding dengan wang kertas sedia ada.
Selain itu, terdapat beberapa ciri keselamatan yang baru seperti tingkap pandang telus dengan imej tanda bayang Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, cetakan timbul angka 5 pada tingkap pandang telus, logo Bank di bahagian hadapan wang polimer dan tingkap legap (tingkap tidak telus) dengan imej logo Bank di bahagian belakang wang polimer.
Ciri-ciri keselamatan sentuh, lihat dan periksa yang mudah dikenali pada wang polimer RM5 dijelaskan dalam risalah panduan orang ramai. Wang kertas RM5 yang sedia ada kekal sah diperlakukan tetapi ia akan dikeluarkan secara berperingkat daripada edaran.
Faedah Wang Polimer :
- Kuat dan tahan lasak berbanding dengan wang kertas
- Tidak menyerap kekotoran atau cecair
- Lebih bersih dan boleh dicuci serta dapat mengurangkan pembiakan bakteria
- Lebih sukar, memakan masa dan mahal untuk dipalsukan
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai wang polimer RM5, sila hubungi Jabatan Pengurusan dan Operasi Matawang, Bank Negara Malaysia di talian 03-26907309. |