Cetak       Kongsi


Tindakan Penguatkuasaan Terhadap Pengendali Perniagaan Perkhidmatan Wang Haram di Johor

Release Date: 06 Dec 2019

Pada 4 Disember 2019, Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia telah membuat serbuan terhadap lima premis di Johor kerana menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen di bawah seksyen 7(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA). Ini merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA dan juga merupakan satu kesalahan pengubahan wang haram di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Dokumen berkaitan dan wang tunai berjumlah RM300,000 telah dirampas untuk membantu siasatan. Serbuan telah dijalankan di beberapa lokasi di Johor, termasuk Kota Tinggi Pandan, Senai dan Kempas.

Mana-mana individu atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA dan disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Di bawah AMLA, mana-mana individu yang melakukan kesalahan pengubahan wang haram dan disabitkan kesalahan, boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai perolehan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. 

Orang ramai dinasihati supaya tidak berurusan atau menjalankan apa-apa urusan pengurupan atau pengiriman wang dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram dan ejen mereka.

Mana-mana individu yang berurusan dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram akan mendedahkan diri mereka pada risiko kerugian kewangan dan tindakan undang-undang yang berkaitan boleh diambil terhadap mereka oleh pihak berkuasa yang berkenaan. Orang ramai sewajarnya hanya berurusan dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen dan senarai pengendali tersebut boleh didapati di laman sesawang BNM (www.bnm.gov.my). ­­­­

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.