Print       Share


Keputusan Mesyuarat Majlis Penasihat Shariah (MPS) ke-201 dan Mesyuarat Khas MPS ke-26

Release Date: 19 May 2020

Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia pada mesyuarat ke-201 dan mesyuarat khas ke-26 bertarikh 29 Januari dan 30 Januari 2020  telah memutuskan bahawa wang elektronik (e-wang) merupakan instrumen pembayaran yang diharuskan oleh Syariah dengan syarat struktur e-wang tersebut hendaklah berasaskan kontrak Syariah yang bersesuaian bagi menjaga hak dan tanggungjawab setiap pihak yang berkontrak.

Salah satu kontrak yang boleh diterima pakai bagi e-wang ialah kontrak perwakilan (wakalah). Melalui konsep ini, pengeluar yang diluluskan bertindak sebagai wakil kepada pengguna dalam membuat pembayaran (wakil bi ad-daf`i) kepada penjual (merchant). Sehubungan itu, dana yang diterima daripada pengguna mesti disimpan dalam akaun amanah (trust account) atau akaun deposit khusus (dedicated deposit account) patuh Syariah sepertimana tertakluk di bawah seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI). Pengeluar yang diluluskan perlu mematuhi Garis Panduan Wang Elektronik (Garis Panduan) yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia (Bank) pada 31 Julai 2008 (termasuk pindaan dari masa ke masa). Ini termasuk kebenaran kepada pengeluar yang diluluskan untuk menggunakan dana dalam akaun pengguna bagi tujuan pelaburan dan apa-apa pulangan adalah milik pengeluar yang diluluskan, tertakluk kepada syarat-syarat dalam Garis Panduan. Berlandaskan pendekatan ini, dana tersebut boleh dianggap sebagai satu bentuk pinjaman (qard) daripada pengguna kepada pengeluar yang diluluskan.

Memandangkan pengeluar yang diluluskan hanya bertindak sebagai wakil pembayaran bagi pihak pengguna kepada penjual, adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk memastikan e-wang digunakan bagi tujuan patuh Syariah.


Sila lihat lampiran di sini  untuk maklumat lanjut.

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.