Print       Share


Genneva Malaysia Sdn Bhd termasuk Lapan Individu dan Dua Syarikat Lain Didapati Bersalah bagi Tuduhan Mengambil Deposit Secara Haram dan Pengubahan Wang Haram

Release Date: 06 Aug 2020

Pada 4 Ogos 2020, Genneva Malaysia Sdn Bhd (GMSB) bersama-sama dengan mantan pengarah, pengurus besar, individu lain yang berkaitan termasuk penasihat perniagaan syarikat dan dua (2) syarikat lain yang berkaitan telah dikenakan tuduhan di bawah seksyen 25(1) Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (Banking and Financial Institution Act 1989, BAFIA) dan/atau seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA). Kesemua mereka didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan menerima wang daripada pendeposit tanpa memiliki lesen yang sah di bawah seksyen 25(1) BAFIA dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Hakim Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman yang berikut:

A) Pertuduhan di bawah seksyen 25(1) BAFIA dan seksyen 4(1) AMLA:

  • GMSB – Denda RM450 juta
  • Tan Liang Keat – Sembilan (9) tahun penjara dan denda RM230 juta
  • Lim Kah Heng – Sembilan (9) tahun penjara dan denda RM48 juta
  • Philip Lim Jit Meng – Sembilan (9) tahun penjara dan denda RM272 juta
  • Ng Poh Weng – Empat (4) tahun penjara dan denda RM159 juta

 B) Pertuduhan di bawah seksyen 25(1) BAFIA sahaja:

  • Ahmad Khairuddin IIias – Enam (6) tahun penjara dan denda RM4 juta

 C) Pertuduhan di bawah seksyen 4(1) AMLA Sahaja:

  • Marcus Yee Yuen Seng – Tiga (3) tahun penjara dan denda RM17 juta
  • Chiew Soo Ling – Tiga (3) tahun penjara dan denda RM48 juta
  • Yao Kee Boon – Tiga (3) tahun penjara dan denda RM2 juta
  • Success Attitude Sdn Bhd – Denda RM 8 juta
  • Ng Advantage Sdn Bhd – Denda RM101 juta

Mahkamah Tinggi memerintahkan bahawa kegagalan pesalah membuat pembayaran bagi setiap denda BAFIA dan AMLA boleh dipenjara dua (2) tahun. Hukuman penjara di bawah BAFIA dan AMLA akan dijalankan secara berturut-turut.

Orang ramai diingatkan supaya tidak menyimpan wang atau deposit dengan institusi yang tidak berlesen atau terlibat dengan sebarang bentuk skim cepat kaya bagi mengelak kehilangan wang mereka. Senarai institusi yang dilesenkan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh Bank Negara Malaysia untuk menerima deposit boleh didapati di laman sesawang Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat berhubung dengan skim kewangan haram dan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia di Laman Sesawang Amaran Penipuan Kewangan (http://fraudalert.bnm.gov.my).

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bank Negara Malaysia di pusat hubungan yang berikut:

Telefon: 1-300-88-5465 (BNMTELELINK)
E-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.