Print       Share


Keputusan Mesyuarat Khas Majlis Penasihat Shariah (MPS) ke-30

Release Date: 10 Aug 2020

Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia pada mesyuarat khas ke-30 bertarikh 14 Julai 2020 telah memutuskan tatacara berhubung penstrukturan semula pembiayaan secara Islam sewaktu krisis COVID-19.

  1. Penstrukturan semula pembiayaan secara Islam berasaskan kontrak Syariah asal

    Penstrukturan semula pembiayaan secara Islam berasaskan kontrak Syariah asal boleh dilakukan dengan memeterai perjanjian tambahan (supplementary agreement) yang dirujuk silang dengan terma dan syarat perjanjian asal dan tidak memerlukan perjanjian baharu. Ini bertujuan untuk mengurangkan kos dan kesulitan kepada pelanggan, serta beban operasi bagi institusi kewangan Islam (IKI).

    Perjanjian baharu diperlukan sekiranya penstrukturan semula melibatkan –
  • penggunaan kontrak Syariah yang berbeza – contohnya pembiayaan asal perumahan berasaskan musyarakah mutanaqisah (perkongsian berkurangan) distruktur semula menggunakan ijarah; atau
  • penggabungan beberapa pembiayaan berasaskan pelbagai kontrak Syariah menjadi satu kontrak Syariah baharu sebagai sebahagian daripada rasionalisasi hutang.

 

  1. Penstrukturan semula pembiayaan secara Islam kepada pinjaman konvensional atau sebaliknya

    IKI dibenarkan untuk menstruktur semula pinjaman konvensional kepada pembiayaan secara Islam. Walau bagaimanapun, penstrukturan semula pembiayaan secara Islam kepada pinjaman konvensional adalah tidak dibenarkan. Namun, sekiranya pelanggan tetap memilih untuk menstruktur semula pembiayaan secara Islam mereka kepada pinjaman konvensional, ia adalah prerogatif dan pilihan pelanggan untuk berbuat demikian. Dalam hal ini, pilihan pelanggan tersebut adalah di luar tanggungjawab dan kawalan IKI.      

 

  1. Keuntungan berkompaun bagi penstrukturan semula

    IKI tidak dibenarkan untuk memasuk dan mengambilkira keuntungan terakru bagi pembiayaan asal sebagai amaun prinsipal yang baharu bagi penstrukturan semula. Amalan sedemikian bertujuan mengelakkan berlakunya keuntungan berganda ke atas hutang (keuntungan berkompaun). Oleh itu, dalam melaksanakan penstrukturan semula:
  • amaun prinsipal baharu bagi pembiayaan yang distruktur semula adalah bersamaan dengan baki prinsipal pembiayaan asal sekiranya tiada pembiayaan tambahan;
  • IKI dibenar mengenakan kadar keuntungan baharu bagi amaun prinsipal baharu tersebut; dan
  • jumlah keuntungan terakru dan caj lewat bayar (jika terpakai) bagi pembiayaan asal boleh dibawa ke hadapan dan ditambah ke dalam obligasi keseluruhan pembayaran hutang tetapi jumlah ini tidak boleh diambilkira dalam pengiraan keuntungan yang baharu (cannot be capitalised).

 

Sila lihat lampiran di sini  untuk maklumat lanjut.

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.