Cetak       Kongsi


Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 Berkuat Kuasa

No Ruj : 07/13/01 01 Jul 2013 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Rangka kerja pengawalan dan penyeliaan mencapai tahap baharu dalam perkembangannya apabila Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) berkuat kuasa pada 30 Jun 2013.

FSA dan IFSA merupakan kemuncak bagi  usaha untuk memodenkan undang-undang yang mengawal selia perlakuan dan penyeliaan institusi kewangan di Malaysia bagi memastikan undang-undang ini terus relevan dan berkesan untuk mengekalkan kestabilan kewangan, menyokong pertumbuhan inklusif dalam sistem kewangan dan ekonomi di samping menyediakan perlindungan yang mencukupi untuk pengguna. Undang-undang ini juga memberi Bank Negara Malaysia kuasa pengawasan pengawalan dan penyeliaan yang perlu untuk mencapai mandatnya yang luas dalam persekitaran yang lebih kompleks dan saling berhubung memandangkan perkembangan kewangan yang bersifat serantau dan antarabangsa. Ini termasuk peningkatan tumpuan terhadap langkah-langkah pencegahan awal untuk menangani isu yang berbangkit dalam institusi kewangan yang mungkin memberikan kesan kepada kepentingan pendeposit dan pemegang polisi, dan keberkesanan dan kecekapan fungsi pengantara kewangan.

Sistem pengawalan dan penyeliaan Malaysia perlu dilengkapi dengan baik untuk menangani dengan berkesan risiko baharu dan yang baru muncul supaya keyakinan dalam sistem kewangan dipelihara dan aktiviti pengantaraan kewangan yang kritikal serta penting kepada ekonomi terhindar daripada gangguan. FSA dan IFSA menggabungkan beberapa undang-undang yang berasingan untuk mengawal selia sektor kewangan di bawah rangka kerja perundangan tunggal masing-masing untuk sektor kewangan konvensional dan Islam, iaitu, Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, Akta Bank Islam 1983, Akta Insurans 1996, Akta Takaful 1984, Akta Sistem Pembayaran 2003 dan Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 yang dimansuhkan pada tarikh yang sama.

Ciri-ciri utama undang-undang baharu termasuk:

  • Kejelasan dan ketelusan yang lebih tinggi dalam pelaksanaan dan pentadbiran undang-undang ini. Ini termasuk objektif pengawalseliaan yang jelas tafsirannya dan akauntabiliti Bank Negara Malaysia bagi melaksanakan matlamat utamanya untuk memelihara kestabilan kewangan, keadaan yang jelas yang membolehkan tindakan diambil oleh Bank Negara Malaysia untuk melaksanakan kuasa dan fungsi di bawah undang-undang ini, dan kriteria penilaian yang telus bagi institusi yang diberikan kuasa untuk terus mengawal selia perniagaan kewangan, dan untuk kesesuaian pemegang syer;
  • Tumpuan yang jelas terhadap pematuhan dan tadbir urus Syariah dalam sektor kewangan Islam. Secara khususnya, IFSA menyediakan rangka kerja undang-undang yang menyeluruh, yang selaras sepenuhnya dengan Syariah dalam semua aspek pengawalan dan penyeliaan, dari pelesenan hingga pembubaran sesebuah institusi;
  • Peruntukan bagi keperluan pengawalseliaan berbeza yang mencerminkan  aktiviti pengantaraan kewangan dan risiko masing-maisng kepada sistem kewangan secara keseluruhan;
  • Peruntukan untuk mengawal selia syarikat pemegangan kewangan dan entiti tidak dikawal selia perlu mengambil kira risiko sistemik yang boleh muncul daripada interaksi antara institusi yang dikawal selia dengan tidak dikawal selia, aktiviti dan pasaran.  Menteri Kewangan boleh meletakkan institusi yang menjalankan aktiviti pengantaraan kewangan tertakluk kepada pengawalan dan penyeliaan yang berterusan oleh Bank Negara Malaysia sekiranya institusi tersebut menyebabkan atau boleh mendatangkan risiko kepada kestabilan kewangan secara keseluruhan;
  • Memperkukuh perlakuan perniagaan dan keperluan perlindungan pengguna untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan dan produk kewangan;  
  • Peruntukan yang lebih kukuh bagi penguatkuasaan dan campur tangan penyeliaan yang berkesan dan awal;

Undang-undang baharu ini akan meletakkan sektor kewangan Malaysia, yang merangkumi sistem perbankan, sektor insurans/takaful, pasaran kewangan dan sistem pembayaran dan pengantara kewangan lain, pada platform untuk terus maju ke hadapan sebagai satu sistem kewangan yang kukuh, bertanggungjawab dan progresif.  Ini khususnya penting bagi membolehkan sistem kewangan memenuhi tuntutan baharu terhadap pembiayaan yang dikaitkan dengan program transformasi ekonomi Malaysia pada dekad akan datang dan seterusnya, perubahan demografi penduduk, dan integrasi ekonomi Malaysia yang semakin pesat dengan rantau ini dan juga di dunia.  

Senaskhah FSA dan IFSA boleh didapati di laman sesawang Bank Negara Malaysia. Sebarang pertanyaan berhubung dengan FSA dan IFSA boleh diajukan melalui FSAandIFSA@bnm.gov.my.


Lihat juga : Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013


Bank Negara Malaysia
1 Julai 2013

________________________

Bank Negara Malaysia juga ingin menekankan keperluan berikut yang jelas dalam Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA), sebahagian besarnya keperluan yang dibawa ke hadapan daripada undang-undang yang dimansuhkan -

FSA dan IFSA – Rujukan cepat untuk orang ramai
(Sebarang pertanyaan boleh dihantar melalui FSA and IFSA@bnm.gov.my)

a.

Keperluan atau sekatan dalam undang-undang yang dimansuhkan yang kekal terpakai:

 

  • Pemerolehan insurans am/takaful di luar Malaysia
    (seksyen 127 Akta Perkhidmatan Kewangan/ 139 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam)

Kelulusan bertulis Bank Negara Malaysia perlu diperoleh terlebih dahulu untuk harta atau liabiliti yang diinsuranskan dengan penanggung insurans di luar negeri. Keperluan ini juga telah diberikan kepada sektor takaful.
 

 

  • Pangambilan deposit secara haram dan iklan untuk pengambilan deposit
    (seksyen 136-138 Akta Perkhidmatan Kewangan / 148-150 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam)

Menerima deposit tanpa lesen yang diberikan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan / Akta Perkhidmatan Kewangan Islam adalah dilarang. Menerbitkan atau membantu seseorang untuk menyiarkan iklan yang berkaitan dengan pengambilan deposit secara haram juga dilarang.

 

  • Sekatan bagi penggunaan perkataan tertentu
    (seksyen 139 Akta Perkhidmatan Kewangan / 151 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam)

Penggunaan perkataan tertentu (seperti bank, insurans, takaful) yang boleh ditafsirkan sebagai menjalankan perniagaan yang dikawal selia di bawah  Akta Perkhidmatan Kewangan / Akta Perkhidmatan Kewangan Islam adalah tidak dibenarkan, kecuali mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Bank Negara Malaysia.

 

  • Peraturan pentadbiran pertukaran asing
    (seksyen 213-216 Akta Perkhidmatan Kewangan / 224-227 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam)

Semua peraturan pentadbiran pertukaran asing semasa terus dilaksanakan melalui pengeluaran notis baharu di bawah undang-undang baharu untuk menggantikan Notis ECM semasa.  Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman sesawang Bank Negara Malaysia (http://www.bnm.gov.my/fxadmin).

 

 

  • Kepentingan Negara
    (seksyen 216 Akta Perkhidmatan Kewangan/seksyen 227 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam) 

Notis berkenaan urusan dengan orang-orang  tertentu (ECM 14) akan digantikan dengan Arahan baharu yang dikeluarkan mengikut seksyen 216 Akta Perkhidmatan Kewangan dan seksyen 227 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam.

b.

Penyingkiran peruntukan bagi institusi terjadual

Sesebuah syarikat yang ingin menjalankan perniagaan pemajakan, pemfaktoran, kewangan pembangunan atau kredit bangunan (sebelum ini dirujuk sebagai perniagaan terjadual di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan) tidak lagi memerlukan kebenaran bertulis daripada Bank Negara Malaysia.

c.

Keperluan peralihan untuk pemegang syer orang berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan (seksyen 279 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan)

 

Akta Perkhidmatan Kewangan memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh memegang 5% atau lebih kepentingan dalam syer orang berlesen tanpa kelulusan terlebih dahulu daripada Bank Negara Malaysia. Kepentingan dalam syer termasuk kepentingan terus dan efektif di bawah Jadual 3 Akta Perkhidmatan Kewangan. Seksyen 279(1) juga memperuntukkan bahawa seseorang yang memegang 5% atau lebih kepentingan efektif dalam syer orang berlesen, tetapi tidak diperlukan untuk mendapat kelulusan di bawah seksyen 45 Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan yang dimansuhkan dan seksyen 67 Akta Insurans yang dimansuhkan, akan dianggap telah diluluskan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan sekiranya orang itu telah menghantar dokumen atau maklumat tersebut seperti yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia tidak lewat dari 31 Disember 2013.  Maklumat lanjut, termasuk senarai maklumat yang perlu dihantar oleh pemegang syer terlibat terdapat di sesawang Bank Negara Malaysia (http://www.bnm.gov.my).


Bank Negara Malaysia
01 Jul 2013

© Bank Negara Malaysia, 2013. All rights reserved.