Cetak       Kongsi


Bank Negara Malaysia memperkenalkan struktur harga berperingkat untuk menggalakkan disiplin kewangan yang baik di kalangan pengguna kad kredit

No Ruj : 06/07/07 26 Jun 2007 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1200 pada hari Selasa 26 Jun 2007
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pengenalan struktur penentuan harga berperingkat kepada pengguna kad kredit untuk menggalakkan penggunaan kad kredit sebagai instrumen pembayaran. Ini ialah sebahagian daripada usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk menggalakkan pengurusan kewangan berhemat dan menanam disiplin kewangan yang baik dalam kalangan pengguna kad kredit di Malaysia.

Secara purata, satu pertiga daripada pemegang kad kredit menggunakan kad kredit sebagai instrumen pembayaran dengan menyelesaikan jumlah baki yang belum dijelaskan sepenuhnya setiap bulan. Lebih separuh daripada pemegang kad membayar sekurang-kurangnya jumlah bayaran minimum tepat pada waktunya dan membawa bakinya ke hadapan. Bagi manfaat pengguna kad kredit yang mempunyai rekod pembayaran yang baik dengan menyelesaikan baki kad kredit yang perlu dibayar setiap bulan tepat pada waktunya untuk 12 bulan berturut-turut, caj kewangan akan dikurangkan daripada kadar maksimum 18% setahun kepada tidak lebih daripada 15% setahun. Kadar maksimum sebanyak 18% setahun masih dikenakan untuk pemegang kad yang lain.

Pengeluar kad kredit akan mula memantau tabiat pembayaran pemegang kad bermula dari 1 Julai 2007. Butiran terperinci mengenai skim baharu ini, termasuk caj kewangan dan cara pengiraannya akan diberitahu oleh pengeluar-pengeluar kad kredit. Struktur penentuan harga berperingkat akan dilaksanakan selewat-lewatnya 1 Julai 2008.

Bank Negara Malaysia juga menggalakkan penggunaan kad debit sebagai instrumen pembayaran alternatif. Institusi perbankan tempatan sedang dalam proses untuk menaik taraf semua terminal kad kredit mereka untuk menerima kad ATM mereka. Usaha yang dijangka selesai pada tahun ini akan membolehkan 15.4 juta pemegang kad ATM menggunakan kad ATM mereka untuk membuat pembelian daripada peniaga yang terbabit.

Penggunaan kad-kad pembayaran secara lebih meluas merupakan sebahagian daripada usaha Bank Negara Malaysia untuk mempercepat perpindahan kepada pembayaran secara elecktronik. Bank Negara Malaysia dan industri kewangan akan terus melaksanakan usaha-usaha untuk menggalakkan pembayaran secara elektronik.

Bank Negara Malaysia
26 Jun 2007

© Bank Negara Malaysia, 2007. All rights reserved.