Cetak       Kongsi


Persidangan BNM-OECD Mengenai Pendidikan Kewangan dan Perlindungan Pengguna kewangan di Asia Pasifik

No Ruj : 12/19/06 13 Dec 2019 Embargo : Untuk Siaran Segera    

"Memperkasa Pengguna Kewangan Dalam Era Digital"

Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), menganjurkan Persidangan Mengenai Pendidikan Kewangan dan Perlindungan Pengguna Kewangan di Asia Pasifik yang diadakan di Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Disember 2019. Persidangan ini telah dihadiri lebih 200 delegasi yang terdiri daripada wakil bank pusat dari dalam dan luar negeri, badan pengawalseliaan, pegawai kerajaan, komuniti akademik, sektor swasta dan organisasi bukan kerajaan daripada 15 buah negara.

Dalam persidangan itu, pembuat dasar peringkat tinggi dan pakar dari rantau ini dan OECD berkongsi pengalaman dan cabaran dalam menggalakkan literasi kewangan, rangkuman kewangan, memastikan perlindungan pengguna dan data, serta mengawal selia aset kewangan digital dalam era digital. Dasar dan pandangan pengawalseliaan mengenai pelbagai isu seperti keseimbangan antara inovasi berasaskan teknologi dengan kepentingan pengguna, faktor yang menyokong dan menghalang penggunaan perkhidmatan kewangan digital di Asia Pasifik, juga dibincangkan. OECD mengambil peluang untuk melancarkan laporan yang bertajuk "Cryptoassets in Asia" yang meneroka sikap, tingkah laku dan pengalaman pengguna kewangan berhubung dengan aset kripto di Malaysia, Filipina dan Vietnam.

Persidangan ini diikuti dengan mesyuarat meja bulat mengenai Pendidikan Kewangan, Perlindungan Pengguna Kewangan dan Rangkuman Kewangan di Asia Pasifik. Mesyuarat tertutup itu merupakan platform strategik bagi pegawai sektor awam yang bertanggungjawab terhadap perlindungan pengguna kewangan, pendidikan dan rangkuman kewangan di rantau Asia Pasifik dan wakil OECD bertukar-tukar pengalaman dan amalan yang berkaitan dengan penggunaan teknologi digital bagi aplikasi kewangan, termasuk pendekatan untuk menyokong pendidikan dan rangkuman kewangan secara lebih berkesan. Para peserta juga berkongsi pandangan mereka tentang perkembangan dan cabaran berbangkit terhadap pembuat dasar yang ingin memperkasa dan melindungi pengguna kewangan dalam era digital.

(Laporan bertajuk "Cryptoassets in Asia" oleh OECD boleh dimuat turun melalui www.oecd.org/finance/financial-education/2019-cryptoassets-in-asia.pdf)

DIKELUARKAN OLEH BANK NEGARA MALAYSIA DAN PERTUBUHAN KERJASAMA DAN PEMBANGUNAN EKONOMI

Bank Negara Malaysia
13 Dec 2019

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.