Cetak       Kongsi


Draf Dedahan Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital

No Ruj : 12/19/08 27 Dec 2019 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia (Bank) hari ini mengeluarkan Draf Dedahan Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital. Rangka kerja ini merupakan sebahagian daripada langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Bank untuk membolehkan penggunaan teknologi yang inovatif dalam sektor kewangan. Pihak Bank bercadang untuk mengeluarkan sehingga sebanyak lima lesen kepada pemohon yang layak untuk menubuhkan bank digital yang menjalankan urusan perbankan konvensional atau secara Islam di Malaysia.

Draf Dedahan ini menggariskan rangka kerja yang dicadangkan bagi pelesenan bank digital yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan untuk menangani jurang pasaran dalam segmen yang kurang, dan juga tidak mendapat perkhidmatan kewangan. Penubuhan bank digital ini dijangka dapat memberikan akses yang lebih bermakna kepada pengguna kewangan untuk mendapatkan solusi kewangan yang bersesuaian dan termampu serta menggalakkan penggunaan produk kewangan yang lebih bertanggungjawab.

Bank telah pun menerima pakai pendekatan yang seimbang untuk membolehkan kemasukkan bank digital dengan tawaran nilai (value propositions) yang kukuh serta boleh memelihara integriti dan kestabilan sistem kewangan serta menjaga kepentingan pendeposit. Bank turut mengambil kira bahawa bank digital sedemikian masih belum lagi beroperasi dalam kitaran kewangan dan ekonomi sepenuhnya. Bagi mencapai hasil yang dikehendaki, pihak Bank menetapkan had ke atas aset kumulatif yang boleh dijana tidak melebihi RM2 bilion pada tiga hingga lima tahun awal operasi. Tempoh yang ditetapkan berfungsi sebagai ‘fasa asas’ bagi bank digital berlesen untuk menunjukkan daya maju dan kekukuhan operasi mereka, manakala bagi Bank pula tempoh ini bertujuan untuk memantau prestasi dan sebarang risiko yang mungkin timbul (attendant risks).

Bank digital perlu mematuhi keperluan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (“FSA”) atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (“IFSA”), termasuk keperluan berkaitan yang terdiri daripada standard kehematan, pengendalian perniagaan dan perlindungan pengguna, dan juga pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. Sepanjang tempoh asas yang dinyatakan di atas, bank digital berlesen tertakluk kepada keperluan pengawalseliaan yang lebih mudah berkaitan dengan kecukupan modal, mudah tunai, ujian tekanan dan keperluan penzahiran awam.

Berhubung dengan dana modal minimum, bank digital perlu mengekalkan dana modal minimum yang tidak terjejas oleh kerugian sebanyak RM100 juta sepanjang tempoh fasa asas, dan selepas tamat tempoh itu, jumlah yang ditetapkan adalah sebanyak RM300 juta.

Draf Dedahan ini akan dikeluarkan bersama-sama dengan Application Procedures for New Licences under FSA and IFSA, dan Application Procedures for Acquisition of Interest in Shares and to be a Financial Holding Company untuk memberikan penerangan yang lebih jelas mengenai prosedur dan kriteria yang ditetapkan dalam proses permohonan untuk menjadi pihak yang dilesenkan di bawah FSA dan IFSA.

Oleh itu, pihak Bank mengundang maklum balas secara bertulis terhadap Draf Dedahan ini, termasuk bidang-bidang yang memerlukan penjelasan lanjut atau cadangan alternatif yang boleh dipertimbangkan oleh pihak Bank. Maklum balas bertulis perlu disokong oleh alasan yang jelas dan disertakan bukti atau ilustrasi untuk membolehkan pihak Bank membuat penilaian.

Semua maklum balas terhadap Draf Dedahan ini hendaklah dihantar kepada Bank selewat-lewatnya pada 28 Februari 2020 melalui saluran yang dinyatakan di bawah (penghantaran melalui e-mel adalah digalakkan). Bank akan menilai semua maklum balas yang diterima dan akan memuktamadkan Dokumen Dasar pada separuh pertama tahun 2020. Permohonan untuk mendapatkan lesen akan dibuka sebaik sahaja Dokumen Dasar dikeluarkan.

 

Hantarkan maklum balas kepada:

E-mel: digitalbank@bnm.gov.my

Pengarah
Jabatan Pembangunan dan Inovasi Kewangan
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur

 

Bank Negara Malaysia
27 Dec 2019

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.