Cetak       Kongsi


Langkah-Langkah Tambahan untuk Terus Menyokong PKS dan Individu yang Terjejas Akibat Wabak COVID-19

No Ruj : 03/20/10 27 Mar 2020 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Dalam usaha meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat akibat wabak COVID-19,  Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan beberapa langkah tambahan untuk menyokong PKS dan individu.

A. Penambahbaikan Kemudahan Pembiayaan Bagi Membantu PKS yang Terjejas, Mengekalkan Pekerjaan dan Menyokong Pertumbuhan

BNM menambah baik kemudahan pembiayaan yang sedia ada di bawah Tabung BNM untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (Tabung) serta meningkatkan peruntukan kemudahan-kemudahan tersebut sebanyak RM4.0 bilion kepada RM13.1 bilion. Penambahbaikan ini bertujuan menyediakan bantuan kepada lebih banyak PKS supaya mereka dapat meneruskan perniagaan dan mengekalkan pekerjaan, serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara.  

Penambahbaikan terhadap Tabung ini adalah seperti yang berikut:  

  1. Penambahan peruntukan kepada Kemudahan Bantuan Khas (SRF), daripada RM2 bilion kepada RM5 bilion bagi membantu lebih banyak PKS yang terjejas akibat wabak COVID-19. Kadar pembiayaan maksimum kini diturunkan daripada 3.75% setahun kepada 3.5% setahun. Permohonan untuk SRF yang ditambah baik ini dibuka sehingga 31 Disember 2020.
  2. Peruntukan tambahan kepada Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES), daripada RM5.8 bilion kepada RM6.8 bilion, bagi meningkatkan akses PKS kepada pembiayaan dan menyokong pertumbuhan. Kadar pembiayaan maksimum dikurangkan daripada 8% setahun kepada 7% setahun.

Selain kemudahan di atas, PKS juga boleh memohon 3 kemudahan lain di bawah Tabung itu, iaitu Kemudahan Automasi dan Digital (ADF), Kemudahan Agromakanan (AF), dan Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF). Ciri-ciri terperinci kemudahan di bawah Tabung ini adalah seperti di Lampiran.
PKS yang berminat boleh memohon pembiayaan dengan menelefon atau menghantar e-mel kepada institusi kewangan peserta (PFI), atau melawat platform rujukan pembiayaan perniagaan di imsme.com.my. PFI terdiri daripada bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM. PKS juga boleh memohon skim BizMula-i dan BizWanita-i yang disediakan oleh Credit Guarantee Corporation (CGC) bagi pembiayaan sehingga RM300,000.

Institusi kewangan peserta juga boleh mendapatkan perlindungan jaminan daripada CGC atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi kemudahan-kemudahan tersebut.

SRF, AF dan ADF telah diumumkan sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi pertama pada 27 Februari 2020. Sejak kemudahan tersebut dibuka untuk permohonan pada 6 Mac 2020, institusi kewangan peserta telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM119 juta kepada 196 PKS, dengan kadar kelulusan sebanyak 84%.

Institusi kewangan peserta akan terus memproses permohonan yang diterima di bawah kesemua Kemudahan ini, walaupun akan berlaku sedikit kelewatan dalam proses penilaian permohonan dan pengeluaran pembiayaan disebabkan oleh kekangan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.

B. Program untuk Menyokong Segmen B40 Menjana Pendapatan Berterusan dan Mencapai Kedudukan Kewangan yang Baik (iTEKAD)

Dalam usaha untuk terus memudahkan akses kepada pendanaan dan membina keupayaan usahawan dalam kalangan pengusaha mikro B40, satu program kewangan sosial akan diperkenalkan oleh bank-bank Islam peserta dengan kerjasama beberapa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan rakan pelaksana.

Kewangan sosial (zakat, waqaf dan sedekah) menawarkan potensi yang besar untuk memudahkan agihan dana secara yang lebih seimbang dan inklusif. Program ini direka untuk menggunakan sumbangan kewangan sosial bagi menyediakan modal permulaan (seed capital) yang digabungkan dengan pembiayaan mikro bagi usahawan mikro yang layak memulakan dan memajukan perniagaan bagi menjana pendapatan yang berterusan.

Sebagai permulaan, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) akan menjadi bank Islam peserta pertama menerajui program iTEKAD bermula bulan Mei 2020. Fasa permulaan program ini akan mengoptimumkan pengaturan zakat dan pembiayaan mikro, dan pada fasa selanjutnya akan meliputi waqaf tunai. Pelaksanaan program ini melibatkan latihan dan pendidikan kepada penerima dan juga pemantauan terhadap kemajuan mereka. Usaha ini akan dijalankan bersama-sama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp). Selain menerima dana untuk memulakan perniagaan, usahawan terpilih juga berpeluang mengikuti latihan keusahawanan dan pengurusan kewangan berstruktur anjuran SME Corp, serta sokongan untuk membangunkan usaha niaga pilihan mereka yang berdaya maju. BIMB akan memberikan maklumat lanjut mengenai program ini, khususnya mengenai kaedah dan ciri-ciri program serta cara untuk memohon dalam masa terdekat. Selepas fasa perintis program ini, BNM merancang untuk memperluaskan program iTEKAD kepada lebih banyak institusi kewangan dan negeri-negeri lain.

C. Langkah-Langkah untuk Membantu Pemegang Polisi dan Peserta Takaful yang Terjejas

1. Menangguhkan pembayaran premium insurans hayat dan sumbangan untuk takaful keluarga

Penanggung insurans hayat dan pengendali takaful keluarga akan memberikan pilihan kepada pemegang polisi dan peserta takaful yang terjejas [1] untuk menangguhkan pembayaran premium/sumbangan berkala yang perlu dibayar di bawah polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga selama tiga bulan tanpa menjejaskan perlindungan polisi/sijil. Kelonggaran ini boleh disediakan oleh penanggung insurans hayat dan pengendali takaful keluarga melalui jaminan tanpa luput (no-lapse guarantee), pelanjutan tempoh tangguh (grace period) atau cara lain yang memastikan polisi/sijil tidak terjejas semasa tempoh penangguhan. Pilihan ini akan ditawarkan dari 1 April 2020 hingga 31 December 2020.

2. Memberikan fleksibiliti untuk menghidupkan semula atau mengekalkan perlindungan insurans hayat dan takaful keluarga

Selain itu, penanggung insurans dan pengendali takaful juga akan menyediakan bantuan yang berikut kepada pemegang polisi dan peserta takaful yang terjejas sehingga 31 Disember 2020:

  1. Melanjutkan tempoh yang membolehkan pemegang polisi dan peserta takaful menghidupkan semula polisi/sijil yang telah luput;
  2. Memberikan pilihan supaya pemegang polisi dan peserta takaful boleh terus membuat bayaran premium/sumbangan dan mengekalkan polisi/sijil mereka. Pilihan ini boleh merangkumi perubahan pada jumlah perlindungan, perubahan pada struktur premium/sumbangan dan pertukaran kepada polisi berbayar (paid up policy);
  3. Memberikan pengecualian fi dan caj yang dikenakan untuk mengubah polisi/sijil; dan
  4. Memberikan pengecualian apa-apa penalti/akibat daripada kelewatan pembayaran premium/sumbangan, terutamanya jika pemegang polisi dan peserta takaful tidak dapat mengakses saluran pembayaran elektronik semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

3. Fleksibiliti untuk membayar premium insurans am dan sumbangan takaful am

Penanggung insurans am dan pengendali takaful am akan memudahkan permohonan fleksibiliti daripada pemegang polisi dan peserta takaful yang terjejas membayar premium/sumbangan semasa tempoh ini. Fleksibiliti ini bertujuan memastikan perlindungan risiko yang berterusan ke atas harta benda dan perniagaan mereka. Langkah ini termasuk perbincangan dengan pemegang polisi dan peserta takaful untuk menstruktur semula polisi/sijil mereka agar dapat mengurangkan jumlah premium/sumbangan yang perlu dibayar.

4. Mempercepat proses tuntutan

Semua penanggung insurans dan pengendali takaful akan mempercepat dan memudahkan proses tuntutan berkaitan dengan COVID-19. Keutamaan akan diberikan pada proses pengeluaran surat jaminan, penepian tempoh menunggu dan pemprosesan pembayaran tuntutan.

Pemegang polisi dan peserta takaful dinasihati supaya menghubungi penanggung insurans dan pengendali takaful masing-masing untuk memanfaatkan fleksibiliti ini bagi menguruskan polisi dan sijil mereka.

5. Langkah-Langkah Pengawalan dan Penyeliaan Tambahan              

Bank akan mengurangkan had faktor tekanan kadar faedah (IRCC) dan kadar keuntungan (PRCC) yang terpakai masing-masing di bawah Rangka Kerja Modal Berasaskan Risiko bagi Penanggung Insurans dan Rangka Kerja Modal Berasaskan Risiko bagi Pengendali Takaful (Rangka Kerja). Had IRCC and PRCC akan dikurangkan daripada 40% kepada 30% berkuat kuasa 31 Mac 2020. Pengurangan ini mencerminkan dengan lebih jelas perubahan keadaan pasaran semasa yang sedang berlaku sejak faktor tekanan yang pertama kali ditetapkan pada tahun 2009.

Selain itu, Bank akan mempertimbangkan cadangan daripada penanggung insurans dan pengendali takaful untuk menggunakan metodologi alternatif bagi membuat pengiraan caj risiko kadar faedah dan kadar keuntungan.

Perubahan ini adalah selaras dengan penambahbaikan yang telah dirancang bagi meningkatkan liputan risiko (risk capture) dan konsistensi secara keseluruhan Rangka Kerja.

Bank juga akan melanjutkan tempoh bagi semua konsultasi mengenai kertas perbincangan dan draf dedahan yang sedang dijalankan kepada 30 Jun 2020. Fleksibiliti akan turut diberikan kepada penanggung insurans dan pengendali takaful untuk memenuhi garis masa serahan pengawalan bagi mengambil kira usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk membendung penularan COVID-19.

Lihat juga:

  1. Kemudahan Pembiayaan BNM
  2. Soalan Lazim mengenai Kemudahan Pembiayaan untuk Membantu PKS yang Terjejas Akibat Wabak COVID-19 (Dikemas kini pada10 April 2020)
     

 

 

[1] Merujuk individu yang telah dijangkiti, menjalani tempoh kuarantin di rumah atau mengalami kehilangan sumber pendapatan; serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kehilangan sumber pendapatan akibat kesan ekonomi yang berpunca daripada COVID-19. Contoh peristiwa yang boleh menyebabkan kehilangan sumber pendapatan yang sedemikian termasuk dibuang kerja, masa bekerja yang lebih pendek dan potongan gaji atau komison bagi pekerja yang bergaji; serta kehilangan pendapatan perniagaan bagi yang bekerja sendiri dan PKS.

Bank Negara Malaysia
27 Mar 2020

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.