Cetak       Kongsi


Institusi perbankan akan memberikan fleksibiliti pembayaran balik pinjaman kepada peminjam yang terjejas akibat COVID-19

No Ruj : 07/20/05 29 Jul 2020 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia (BNM) merujuk pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia tentang langkah-langkah untuk memberikan tempoh lanjutan moratorium bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik kepada individu dan PKS yang terus terjejas akibat COVID-19.

Menjelang tamatnya moratorium secara umum pada 30 September 2020, BNM telah bekerjasama rapat dengan institusi perbankan dalam usaha memastikan bantuan terus diberikan kepada peminjam yang terjejas akibat COVID-19. Institusi perbankan terus bersedia untuk membantu peminjam yang terjejas akibat COVID-19 melalui pelan pembayaran balik dan pengaturan lain yang bersesuaian dengan keadaan spesifik setiap peminjam.

Pendekatan yang lebih bersasar bagi membantu peminjam individu dan PKS ini adalah selaras dengan kawalan pergerakan yang telah dilonggarkan sejak awal Mei. Semenjak itu, hampir kesemua perniagaan dalam sektor ekonomi telah memulakan operasi dan semakin ramai rakyat Malaysia yang telah kembali bekerja. Sehubungan dengan itu, banyak peminjam yang awalnya memilih untuk menyertai moratorium ini telah mula menyambung semula pembayaran balik pinjaman.

Namun demikian, situasi adalah terus mencabar bagi sesetengah pihak dalam aspek pendapatan dan aliran tunai, terutamanya mereka yang telah kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan. Dalam hal ini, pendekatan bersasar boleh memastikan bahawa sumber kewangan dan perhatian dapat diberikan keutamaan untuk golongan yang paling memerlukan.

Industri perbankan akan memberikan tempoh lanjutan moratorium bersasar dan peruntukan fleksibiliti pembayaran balik seperti yang berikut:

  • Individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih lagi belum mendapat pekerjaan lain akan ditawarkan tempoh lanjutan moratorium pinjaman selama tiga bulan lagi oleh bank mereka. •
  • Individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas akibat COVID-19 akan ditawarkan pengurangan ansuran pinjaman yang sepadan dengan pengurangan gaji mereka, bergantung pada jenis pembiayaan. Institusi perbankan akan menawarkan tempoh fleksibiliti ini selama sekurang-kurangnya enam bulan. Institusi perbankan juga akan mempertimbangkan lanjutan pemberian fleksibiliti pada akhir tempoh tersebut, dengan mengambil kira gaji peminjam pada ketika itu.

 

Bagi pembiayaan sewa beli, peminjam yang terjejas akan ditawarkan jadual ansuran pembayaran yang disemak semula supaya selaras dengan Akta Sewa Beli 1967.

Selain itu, institusi perbankan juga komited untuk memberikan fleksibiliti pembayaran balik kepada individu lain dan semua peminjam PKS yang terjejas akibat COVID-19. Fleksibiliti yang ditawarkan oleh sesebuah bank akan mengambil kira keadaan spesifik setiap peminjam. Tawaran ini termasuk: 

  • membenarkan peminjam membayar bahagian faedah sahaja bagi sesuatu pinjaman dalam tempoh tertentu; 
  • memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan ansuran bulanan; atau 
  • memberikan fleksibiliti lain sehingga kedudukan peminjam lebih stabil bagi menyambung pembayaran balik baki pinjaman. 

 

Semua peminjam lain yang mampu perlu mula membuat pembayaran balik, kerana tindakan ini akan mengurangkan hutang dan kos pembiayaan keseluruhan yang mereka tanggung.

Cara memohon

Para peminjam dikehendaki memohon secara terus dengan bank masing-masing bagi mendapatkan fleksibiliti yang dinyatakan ini, mulai 7 Ogos 2020. BNM telah menyarankan kepada pihak bank supaya mempermudahkan proses permohonan dan keperluan dokumentasi untuk peminjam. Menyedari akan keadaan yang luar biasa ini, fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh ini tidak akan keluar dalam laporan CCRIS peminjam.

Peminjam yang mempunyai pinjaman dengan lebih daripada satu bank tidak perlu bimbang kerana mereka boleh dibantu melalui khidmat pusat “sehenti” yang relevan untuk mendapatkan pakej bantuan pembayaran balik yang bersesuaian: 

  • Bagi individu, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) 
  • Bagi PKS, Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (Small Debt Resolution Scheme, SDRS) 

 

BNM akan memantau kemajuan pelaksanaan inisiatif yang dijalankan oleh institusi perbankan bagi membantu peminjam yang masih menghadapi kesulitan kewangan sementara. BNM juga akan terus menumpukan usaha bagi memastikan sistem perbankan terus menjalankan fungsi perantaraannya dengan berkesan dalam menyokong pemulihan ekonomi.

 

----
 

Mengenai AKPK
AKPK ialah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk memberikan khidmat nasihat dan bantuan kepada peminjam individu bagi menguruskan kewangan mereka melalui peruntukan yang berikut: (i) kaunseling dan khidmat nasihat mengenai pengurusan kewangan; (ii) program pengurusan hutang untuk membantu pengguna supaya dapat mengawal semula kewangan mereka; dan (iii) pendidikan kewangan tentang kemahiran pengurusan kredit dan cara membelanjakan wang dengan betul. Hubungi AKPK melalui www.akpk.org.my.

Mengenai SDRS
SDRS ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk memberikan bantuan pembayaran balik kepada PKS melalui penstrukturan dan penjadualan semula pembiayaan mereka yang sedia ada dengan institusi kewangan. Hubungi SDRS melalui BNMLINK di telelink.bnm.gov.my.

Bank Negara Malaysia
29 Jul 2020

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.