Print       Share


Pelancaran program Fintech Booster

Ref No : 08/20/01 04 Aug 2020 Embargo : For immediate release    

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) hari ini melancarkan program Fintech Booster untuk terus menyokong pertumbuhan dan pengembangan syarikat fintech di Malaysia. Fintech Booster yang dibangunkan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia ini menyediakan program sumber daya pengembangan bagi syarikat fintech yang berpusat di Malaysia untuk mengembangkan produk dan perkhidmatan inovatif yang sangat bermanfaat dengan meningkatkan pemahaman dan usaha wajar terhadap keperluan undang-undang, pematuhan dan pengawalselian.

Tiga vertikal akan diperkenalkan dalam program yang merangkumi Undang-Undang dan Pematuhan, Model Perniagaan, dan Teknologi. Vertikal pertama mengenai Undang-undang dan Pematuhan akan memulakan pelancaran program dengan membolehkan syarikat fintech mengambil bahagian dalam sesi awam atau klinik yang akan disediakan oleh rakan peserta Fintech Booster. Topik-topik perbincangan merangkumi aspek undang-undang syarikat, keselamatan siber dan tadbir urus data. Enam firma perundangan dan perundingan akan menyumbangkan kepakaran mereka dari segi undang-undang dan pematuhan secara sukarela untuk peringkat program vertikal kali ini.

Program ini juga bertujuan untuk membina pusat sehenti bagi pakar runding, penasihat dan penyedia penyelesaian dari segi alat dan sokongan yang diperlukan oleh syarikat fintech bagi membangunkan produk dan perkhidmatan mereka. Dengan memupuk kerjasama di seluruh sektor awam dan swasta dan antara institusi sedia ada dan pendatang baharu, program Fintech Booster ini diharapkan dapat memacu ekosistem fintech yang lebih dinamik yang dapat mendorong inovasi yang berterusan dalam sektor perkhidmatan kewangan. Di samping itu, usaha ini akan menyumbang ke arah ekonomi digital yang berkembang maju di Malaysia.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai program Fintech Booster, sila kunjungi http://fintechbooster.com.my/

Bank Negara Malaysia
Malaysia Digital Economy Corporation
4 Ogos 2020

 


 

Mengenai Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan badan berkanun yang diberikan mandat untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan yang bertujuan bagi menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berterusan. Fungsi BNM termasuk menyelia institusi kewangan dan mengawasi infrastruktur sistem pembayaran negara.

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation atau MDEC (sebelumnya dikenali sebagai Multimedia Development Corporation Sdn. Bhd.) merupakan agensi utama dalam memacu ekonomi digital di Malaysia di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Sejak ditubuhkan 24 tahun yang lalu, misi MDEC adalah untuk mengembangkan ekonomi digital negara. Usaha pelaksanaan MDEC tertumpu pada usaha untuk mengembling pelaburan, membangunkan pakar teknologi tempatan, menjadi pemangkin ekosistem inovasi digital dan menyebarkan inklusif digital.

MDEC juga bertanggungjawab dalam memastikan bahawa Malaysia dapat memainkan peranan penting dalam mengembangkan dan memupuk bakat untuk mendorong inovasi digital di seluruh dunia, sambil menarik penyertaan daripada syarikat ICT global untuk melabur dan mengembangkan penyelesaian digital canggih dan kreatif di negara ini. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai usaha dan inisiatif MDEC, sila kunjungi https://www.mdec.my/

 

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.