Cetak       Kongsi


Perpindahan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil ke Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK)

No Ruj : 08/20/04 14 Aug 2020 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia dan AKPK mengumumkan bahawa mulai 1 September 2020, AKPK akan mula menawarkan penyelesaian khusus bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS, termasuk PKS Mikro) untuk menguruskan hutang mereka dan menggalakkan amalan pengurusan kewangan yang berhemat. Langkah ini dibuat berikutan perpindahan fungsi Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) daripada Bank Negara Malaysia kepada AKPK. Dengan perpindahan ini, AKPK akan menjadi platform sehenti untuk individu dan PKS mendapatkan perkhidmatan penstrukturan hutang, pendidikan dan khidmat nasihat kewangan.

AKPK kini boleh memberikan perkhidmatan penstrukturan hutang dan khidmat nasihat yang lebih cekap dan holistik untuk PKS yang mempunyai pinjaman dengan beberapa bank. AKPK berada pada kedudukan yang baik untuk menjalankan fungsi ini memandangkan pengalaman dan kepakarannya yang luas dalam membantu individu yang mengalami masalah kewangan menguruskan kewangan mereka melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) yang tersusun. AKPK juga memainkan peranan yang penting dalam memperkukuh kemampuan kewangan rakyat Malaysia melalui program pendidikan dan kaunseling kewangannya yang sesuai mengikut individu.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2006, AKPK telah memberikan perkhidmatan kaunseling kepada 1,096,448 individu, dengan sebanyak 342,815 peserta telah memohon masuk ke Program Pengurusan Kredit (PPK). Daripada jumlah keseluruhan yang mendaftar dengan PPH, lebih daripada 28,000 peserta telah menyelesaikan hutang mereka sepenuhnya, yang secara agregat berjumlah RM1.28 bilion.

Pada masa hadapan, PKS yang menghadapi masalah pembayaran balik pinjaman juga boleh menghubungi AKPK untuk mendapatkan khidmat nasihat dalam menyusun pelan pembayaran balik yang sesuai dengan bank mereka. PKS juga akan mendapat akses yang mudah dan selesa ke SPPK melalui saluran dalam talian dan rangkaian 11 cawangan AKPK di seluruh Malaysia.

Dengan berakhirnya tempoh moratorium secara umum pada 30 September 2020, PKS yang masih menghadapi kesukaran untuk membayar obligasi pinjaman mereka diminta mendapatkan nasihat awal mengenai pembayaran balik daripada bank masing-masing. SPPK di bawah AKPK merupakan saluran tambahan bagi PKS mendapatkan bantuan dan nasihat mengenai penstrukturan dan penjadualan semula hutang, yang melengkapkan usaha industri perbankan dalam memberikan bantuan kepada PKS yang menghadapi masalah kewangan.

SPPK ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2003 untuk memberikan bantuan kepada PKS yang berdaya maju dalam semua sektor ekonomi yang menghadapi kesukaran dalam membayar balik hutang mereka dengan beberapa institusi kewangan. Dalam hal ini, SPPK membantu PKS membuat penstrukturan dan penjadualan semula hutang mereka. SPPK merupakan platform yang membolehkan institusi kewangan dan PKS mencari jalan penyelesaian dalam pemulihan hutang secara damai dan kolektif tanpa menggunakan saluran undang-undang. Dengan itu, PKS dapat memberikan tumpuan pada usaha membangunkan semula perniagaan mereka. Permohonan yang dirujuk kepada SPPK akan dinilai secara objektif oleh Jawatankuasa Penyelesaian Pinjaman Kecil (JPPK). Jawatankuasa ini terdiri daripada anggota bebas dengan kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan dan keusahawanan, pembangunan kewangan dan perbankan. Sejak tahun 2003, SPPK telah membantu lebih daripada 1,200 PKS dengan menjadualkan dan menyusun semula pembiayaan perniagaan yang berjumlah RM1.7 bilion.

Sebagai sebuah agensi di bawah Bank Negara Malaysia, Bank memberi sokongan sepenuhnya kepada AKPK dalam melaksanakan mandatnya yang telah diperluas untuk meningkatkan daya tahan PKS dari segi kewangan dan seterus menyumbang kepada kestabilan kewangan yang lebih menyeluruh.

Bank Negara Malaysia
Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit
14 Ogos 2020

 

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.