Print       Share


Kenyataan Bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia - Mempercepat Tindakan Iklim Melalui Sektor Kewangan

Ref No : 09/20/03 15 Sep 2020 Embargo : For immediate release    

Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) mengadakan mesyuaratnya yang ketiga pada 14 September 2020. Mesyuarat tersebut membincangkan kemajuan inisiatif di bawah empat jawatankuasa kecilnya (iaitu Pengurusan Risiko; Tadbir Urus dan Pendedahan; Produk dan Inovasi; dan Keterlibatan dan Pembinaan Keupayaan) serta fokus keutamaan untuk 12 bulan yang akan datang.

Ahli mesyuarat menegaskan betapa pentingnya pengurusan perubahan iklim memandangkan risiko dan impak sistemik ketara yang disebabkan oleh peristiwa iklim boleh memberikan kesan terhadap kehidupan dan punca pendapatan. Pandemik COVID-19 yang berlaku ketika ini telah memperlihatkan kesan yang sangat luas daripada peristiwa global yang serupa, dengan kejutan permintaan dan penawaran yang merebak merentasi sempadan. Hal ini telah meningkatkan keyakinan bahawa kerja-kerja JC3 patut disegerakan demi menyokong usaha membangunkan daya tahan terhadap iklim dan peristiwa yang berkaitan dengan alam sekitar, serta menjamin peralihan yang teratur ke arah ekonomi yang lebih mampan.

Mesyuarat ini membincangkan hasil kerja jawatankuasa kecil yang telah disiapkan pada tahun ini dan kerja-kerja yang akan dijalankan.pada masa hadapan.

  1. Berikutan daripada konsultasi awam ke atas Kertas Perbincangan Bank Negara Malaysia mengenai Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (Climate Change and Principle-based Taxonomy) yang diterbitkan pada bulan Disember 2019, lebih daripada 80 institusi telah memberikan komen dan saranan. Dokumen yang disemak semula, yang merangkumi penambahbaikan sistem klasifikasi dan ruang lingkup aplikasi, serta panduan tambahan untuk pelaksanaan akan diterbitkan pada awal 2021. Sejajar dengan itu, 12 institusi kewangan yang menjadi ahli JC3 akan turut serta dalam pelaksanaan taksonomi perintis yang dijadualkan bermula pada bulan ini. Ahli mesyuarat juga memberikan maklum balas mengenai perkembangan dokumen rujukan berkenaan pengurusan risiko iklim dan analisis senario yang akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kecil 1 selama beberapa bulan yang akan datang bagi memantapkan lagi amalan pengurusan risiko dalam sektor kewangan.

     
  2. Ahli mesyuarat membincangkan hasil penilaian yang dilakukan terhadap amalan pendedahan berkaitan iklim bagi kesemua sampel institusi kewangan yang beroperasi di Malaysia berdasarkan saranan Pasukan Petugas Mengenai Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim (Task Force on Climate-related Financial Disclosure, TCFD). Hasil daripada penilaian itu akan dimanfaatkan untuk kerja-kerja yang dirancang bagi membangunkan Panduan Aplikasi Mengenai Pendedahan Berkaitan Iklim yang akan bermula tidak lama lagi sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan kualiti pendedahan.

     
  3. Ahli mesyuarat bertukar-tukar pandangan mengenai keadaan permintaan dan penawaran yang membentuk landskap kewangan hijau semasa di Malaysia. Cabaran utama yang dikenal pasti oleh para peserta sektor kewangan termasuklah kekurangan dan fragmentasi maklumat, jurang pengetahuan teknologi, masalah koordinasi dan kekaburan terhadap strategi kebangsaan. Pandangan awal dikongsi mengenai langkah-langkah untuk mengatasi jurang pasaran ini, yang akan dikembangkan lebih lanjut oleh Jawatankuasa Kecil Produk dan Inovasi. Ahli mesyuarat juga membincangkan kepentingan pelabur institusi dalam membangunkan produk dan perkhidmatan bagi menangani perubahan iklim dan bersetuju untuk berinteraksi lebih lanjut dengan pelabur institusi bagi mengenal pasti peluang dalam bidang tersebut.

     
  4. Bagi meneruskan usaha keterlibatan dan membina keupayaan JC3, tiga program kesedaran dan pendidikan diatur walaupun terdapat kekangan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Program-program tersebut mengumpulkan para penyedia perkhidmatan kewangan, kementerian dan agensi kerajaan, institusi pendidikan, badan perniagaan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi pengalaman, mengembangkan pengetahuan teknikal dan membangunkan jaringan dalam bidang yang berkaitan dengan risiko iklim. Mesyuarat turut membincangkan rancangan untuk membangunkan program peningkatan keupayaan teknikal yang lebih tersusun untuk para peserta industri kewangan.

Sebagai sebahagian daripada keutamaannya dalam 12 bulan ke hadapan, para ahli mesyuarat beriltizam untuk berusaha melaksanakan lebih banyak saranan yang dibuat oleh TCFD dan melakukan tindakan yang lebih konkrit untuk membuka jalan ke arah penerapan standard pendedahan oleh industri dalam masa terdekat. Ahli mesyuarat JC3 juga bersetuju untuk membangunkan langkah-langkah bagi mengatasi jurang antara maklumat iklim dengan maklumat berkaitan alam sekitar yang wujud sekarang ini sebagai sebahagian daripada pelan kerja masa hadapan JC3. Hal ini perlu bagi menyokong pengurusan risiko dan penyelesaian produk oleh para penyedia perkhidmatan kewangan.

Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
15 September 2020
 


 

Mengenai JC3

 

JC3 merupakan platform yang ditubuhkan pada bulan September 2019 untuk melaksanakan tindakan kerjasama bagi membangunkan daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia. JC3 dipengerusikan bersama oleh Puan Jessica Chew Cheng Lian, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan ahli yang terdiri daripada pegawai kanan daripada Bursa Malaysia dan 19 pemain industri kewangan serta pakar-pakar yang berkaitan.

Bank Negara Malaysia
15 Sep 2020

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.